MUAR 9 Jun - Dakwaan pemilikan 20 akaun induk bernilai lebih RM3
bilion melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan satu perkara kecil atau
remeh kerana ia melibatkan jumlah yang cukup besar.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, selaku
ketua pembangkang, Anwar perlu bertanggungjawab dengan tampil memberi
penjelasan berhubung pemilikan itu yang sehingga kini masih belum
dijawabnya.
"Jadi tanggungjawab ketua pembangkang dia kena jelaskan. Kalau tak
betul kena jawab tak betullah, rakyat nak tahu. NGO-NGO (pertubuhan
bukan kerajaan) ini mewakili rakyat, apakah benar atau tidak (dakwaan
itu).
"Kalau tidak betul harus ambil tindakan kepada yang membuat kenyataan
itu. Ini terserah kepada Anwar untuk menilai," katanya pada sidang
akhbar selepas melancarkan Program Kasihi Pekebun Kecil Negeri Johor
2012 di Dataran Sarang Buaya, Sungai Balang dekat sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri
Mohd. Shafie Apdal; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali
Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Muar; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan
Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr.
Robia Kosai dan Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil
Perusahaan Getah (RISDA), Tan Sri Rahim Thamby Chik.
Semalam, beberapa NGO mendesak Anwar supaya memberi penjelasan
berhubung pemilikan akaun tersebut semasa menjawat jawatan Menteri
Kewangan pada akhir 1990-an.
Rabu lalu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa),
Datuk Ibrahim Ali menyarankan kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja
bagi menyiasat dakwaan pemilikan 20 akaun itu kerana boleh dikaitkan
dengan tuduhan penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah.
Muhyiddin berkata, sekiranya Anwar masih berdiam diri maka kewibawaan
dan integritinya sebagai seorang pemimpin akan terjejas dan kesannya
amat buruk.
/hwa: utusan.com.my | 10/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan