KEPALA BATAS 20 Ogos - Ahli-ahli akar umbi Pas Pulau Pinang
menyatakan sokongan padu terhadap pendirian bekas Timbalan Presiden
parti itu, Nasharudin Mat Isa (gambar) yang sanggup melakukan apa sahaja
bagi mempertahankan kesucian Islam.
Mereka juga bersependapat dengan Ahli Parlimen Bachok tersebut supaya
Pas mengkaji semula kedudukannya termasuk keluar daripada pakatan
pembangkang dan menjadi parti yang berdiri dengan sendiri.
Mereka turut melahirkan kekecewaan dengan sikap pemimpin tertinggi
Pas yang membisu dalam soal penentangan keras DAP terhadap pelaksanaan
hukum hudud.
Ketua Pas Cawangan Bagan, Azmi Jaafar berkata, pemimpin parti itu
sepatutnya meletakkan kepentingan Islam dan perpaduan ummah melebihi
agenda politik sempit mereka.
Pemimpin atasan Pas dilihat mula menggadai prinsip perjuangan asal demi meraih sokongan politik pada pilihan raya semata-mata.
Selama ini kami dididik oleh mereka supaya memegang teguh prinsip
menegakkan Islam tetapi tiba-tiba mereka jugalah yang menggadai atau
menjual prinsip tersebut demi meraih kuasa," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang dihadiri oleh
sekumpulan ahli Pas Pulau Pinang termasuk yang pernah memegang
jawatan-jawatan penting dalam parti itu di sini Jumaat lalu.
Khamis lalu, sebaik sahaja tiba dari Mekah, Nasharudin mengadakan
sidang akhbar khas bagi membalas kenyataan beberapa pemimpin Pas yang
mempertikaikan kehadirannya di Tanah Suci bersama Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak.
Mereka juga membidas Nasharudin berikutan kenyataan beliau yang
menggesa Pas mengkaji semula kedudukannya dalam pakatan pembangkang jika
DAP terus menolak pelaksanaan hukum hudud.
Sementara itu, bekas Setiausaha Pas Pulau Pinang, Mohamad Nordin
Mohd. Nor berkata, pemimpin DAP terutama Pengerusinya, Karpal Singh
secara terang-terangan menunjukkan beliau menentang penubuhan negara
Islam.
Justeru, sebagai orang Islam, sudah semestinya menjadi kewajipan
untuk ahli Pas menghentikan mana-mana perbuatan menyentuh perasaan dan
kesucian agama itu.
Sekiranya Karpal sanggup menggadai nyawa untuk memastikan sistem
perundangan Islam tidak dilaksanakan di negara ini, maka ahli-ahli Pas
juga rela berbuat perkara sama demi Islam," tegasnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan Karpal dan pemimpin DAP lain
supaya berhenti menimbulkan perkara sensitif sedemikian bagi mengelakkan
keadaan buruk berlaku.
Bagi bekas Setiausaha Pas Kepala Batas, Abdul Halim Abd. Rashid,
matlamat utama perjuangan Pas bukannya mahu memerintah Malaysia tetapi
hendak mewujudkan keharmonian dalam kalangan semua kaum dengan cara
berdakwah.
Beliau memberitahu, pemimpin Pas sepatutnya dapat mengajar erti perpaduan ummah sebenar kepada rakan mereka yang bukan Islam.
Tambahnya, mereka wajar menunjukkan Islam sebagai agama yang telah
terbukti berjaya menjaga keharmonian semua kaum di dunia dengan
asas-asas perpaduan sesama umat.
Sebaliknya jika Pas sendiri kini menjadi juara perpecahan umat Islam
dengan sikap dwistandard mereka dalam isu perpaduan ummah. Bagaimanakah
keharmonian semua kaum dalam negara ini akan terjamin?" ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 21/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan