NAJIB Tun Razak menyampaikan sumbangan
Ihsan Ramadan kepada orang kurang upaya, Rohmatnor Yahya sambil
diperhatikan Mohd. Nasir Ibrahim Fikri (kanan) pada majlis Berbuka Puasa
Pemimpin Bersama Rakyat di pekarangan Masjid Padang Nenas, Kuala
Terengganu, semalam. - UTUSAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR
*****
KUALA TERENGGANU 9 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata,
kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak goyah dalam perjuangannya dengan
terus berpegang kepada prinsip 'Janji Ditepati' kerana ia merupakan
perkara wajib yang dituntut dalam Islam.
Malah, Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya sedia
ditolak oleh rakyat jika gagal mengotakan setiap janji demi masa depan
mereka dan negara.
Sehubungan itu katanya, kerajaan BN akan sentiasa komited dalam
menterjemahkan janji itu kepada segenap lapisan rakyat tanpa mengira
parti serta fahaman politik.
Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat untuk sama-sama meneruskan
perjuangan dengan memberi sepenuh kepercayaan agar kerajaan dapat terus
melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan bagi membela nasib mereka.
"Kita berjuang untuk tunaikan janji kepada rakyat. Kita teruskan
pembelaan pada rakyat. Jangan gusar dan goyah kerana kita berada di
landasan betul mengikut sunnah dan al-Quran.
"Marilah kita teruskan perjuangan dan berilah kepercayaan kepada
kerajaan yang berpegang pada prinsip 'Janji Ditepati'," katanya ketika
berucap pada majlis Berbuka Puasa Pemimpin Bersama Rakyat yang dihadiri
kira-kira 10,000 orang di pekarangan Masjid Padang Nenas dekat sini
petang ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Speaker Dewan
Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Ahli Parlimen Kuala
Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri dan Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Tepoh, Muhamad Ramli Nuh.
Najib berkata, sehubungan itu, tema sambutan Hari Kemerdekaan bukan
soal politik tetapi bertemakan rakyat, berlandaskan hukum, al-Quran dan
sunnah.
"Ini bukan soal politik, yang penting kita orang Islam wajib tunaikan
janji, tak kira pada BN ataupun 'belah sana' (pembangkang). Jangan main
politik," ujarnya.
Menurut Perdana Menteri, sebagai sebuah kerajaan, BN sentiasa berdiri
pada prinsip setiap janji wajib ditepati dan bukannya cakap tidak
serupa bikin.
"Itulah komitmen kerajaan BN, kita bukan main politik, kita tak boleh cakap tapi tak buat," jelasnya.
Beliau mengingatkan tentang sepotong hadis tentang tiga perkara iaitu
apabila bercakap dia bohong, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila
dipercayai dia khianati.
Dalam ucapannya, Najib turut teruja dengan sambutan segenap lapisan
rakyat bagi memeriahkan program berbuka puasa bersama beliau.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan ihsan Ramadan
dalam bentuk jubah dan air zam-zam kepada imam serta bilal dalam
Parlimen Kuala Nerus.
/hwa: utusan.com.my | 10/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan