KUALA TERENGGANU 9 Ogos - Pas masih berdolak-dalik berhubung isu
berdosa dan haram jika umat Islam mengundi parti yang jelas menolak
hukum hudud pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Abu Bakar Abdullah
berkata, dalam kehidupan hari ini, bukan sahaja orang bukan Islam yang
sejak awal lagi menentang hukum Allah, malahan umat Islam sendiri turut
melakukan perbuatan serupa.
"Ini jelas, sesiapa sahaja yang melanggar hukum Allah, tak kira sama
ada bukan Islam, malah orang Islam sendiri ada yang menolak hukum Allah,
ini tak boleh dan berdosa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas pendapat para ulama serta tokoh agama bahawa
umat Islam dilarang menyokong golongan atau parti bukan Islam yang tidak
menerima pemerintahan Islam.
Malah, mereka berpendapat, adalah haram dan berdosa bagi umat Islam
menyokong parti yang secara terang-terangan menentang penubuhan negara
Islam dan hukum hudud.
Sebelum itu, Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah
menegaskan adalah haram umat Islam menyokong DAP kerana parti itu secara
jelas menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hudud.
Dalam pada itu, Abu Bakar enggan mengulas lanjut berhubung perkara
itu sambil menegaskan: "Apa-apa pun tunggu Pilihan Raya Umum Ke-13, bila
pakatan pembangkang menang dan memerintah negara, kita akan tetap
laksanakan hudud.''
Katanya, Pas konsisten untuk melaksanakan hudud walaupun ditentang oleh DAP.
''Biarlah kita ada kuasa dulu, baru kita laksanakan. Umat Islam perlu
ada kuasa di peringkat Persekutuan dan negeri, baru boleh buat hudud,"
jelasnya.
/hwa: utusan.com.my | 10/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan