KUALA LUMPUR 22 Ogos - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir
Mohamad menggesa rakyat terutama para pengundi supaya tidak tertipu
dengan pakatan pembangkang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
ghairah menabur janji menjelang pilihan raya umum akan datang.
Menurut beliau, sikap pembangkang menabur janji menukar Malaysia
menjadi negara kebajikan merangkumi aspek seperti pemansuhan yuran
pendidikan, tol serta penyediaan subsidi tinggi bagi petrol hanyalah
sebahagian daripada rayuan mereka untuk menggantikan Barisan Nasional
(BN).
Jika perkara sebegitu dilaksanakan, katanya, negara akan menghadapi
kesukaran kewangan dalam menyediakan infrastruktur dan kemudahan seperti
persekolahan serta pencen kepada rakyat seperti kegagalan yang dilalui
oleh negara Sosialis dan Komunis satu masa dahulu.
Justeru katanya, sikap pembangkang menabur janji bagi menghadapi
pilihan raya adalah berbeza dengan usaha melaksanakannya, sebaliknya itu
hanya rayuan bagi membolehkan mereka menggantikan Barisan Nasional (BN)
nanti.
"Harapan terbaik (pembangkang) ialah keupayaan memori rakyat pendek,
mereka kebiasaannya lupa kepada janji-janji," katanya dalam entri blog
beliau bertajuk Perubahan hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir, membidas Anwar kerana menggunakan
penyelesaian disediakan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi
menghadapi Krisis Kewangan Asia 1997-1998 sewaktu menjadi Timbalan
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dahulu.
Akibat model IMF tersebut, katanya, bank dan syarikat tempatan
menghadapi ancaman bankrap akibat pinjaman tidak berbayar di samping
masalah kos import serta kos sara hidup rakyat semakin melonjak.
Katanya, rekod Anwar sebagai Menteri Kewangan adalah buruk namun
gemar mendakwa kejayaan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang dilaksanakan oleh
individu lain sebagai usaha beliau.
Kini sebagai pemimpin pembangkang, katanya, Anwar mendakwa akan
melakukan pelbagai perubahan tetapi gagal melaksanakannya sewaktu berada
di dalam kerajaan.
/hwa: utusan.com.my | 22/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan