Pages

15 Ogos 2012

Himpunan 'Janji Bersih' bakal cemarkan Hari Raya

KESYAHDUAN, kemuliaan dan kegembiraan umat Islam merayakan Aidilfitri tahun ini mungkin akan terganggu atau tercemar dengan tunjuk perasaan 'Janji Bersih' yang akan berselindung di sebalik sambutan Hari Kemerdekaan secara bersendirian oleh pakatan pembangkang pada malam 30 Ogos di Dataran Merdeka.
Bila rancangan perhimpunan itu diberikan tema 'Janji Bersih' sebagai menyanggah tema perayaan hari kemerdekaan - Merdeka 55 Tahun 'Tepati Janji,' maka yang terlintas di mata umum ialah rusuhan yang berkaku pada perhimpunan Aman Bersih 3.0 pada 28 April 2012.
Orang ramai pada keseluruhannya tidak menerima jaminan Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil, A. Samad Said, bahawa perhimpunan itu tidak bercampur aduk dengan politik kerana didukung bersama oleh 20 kelompok NGO dan Bersih.
Ini adalah menghina kemampuan berfikir rakyat kerana mereka bukanlah membaca sebuah sajak kabur, tetapi persajakan yang sangat rendah mutunya dengan bau hambar politik yang amat mudah untuk difahami mereka. Apakah peserta NGO bersih politik?
Yang mengadakan himpunan Aman Bersih pada 28 April lalu pun bukan anjuran politik, tetapi akhirnya timbul tokoh-tokoh politik yang menghasut peserta menyerang dan melakukan tindakan ganas terhadap anggota polis.
Gambaran yang dipertontonkan oleh stesen-stesen TV dan juga klip video mengenai demonstrasi itu telah memberi kesan negatif yang menakutkan rakyat hingga ke hari ini, kerana apa pun alasan yang diberikan oleh pihak penganjur, tetapi rakyat berfikir hal seumpama itu tidak wajar berlaku di Malaysia.
Bacaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bahawa perhimpunan 'Janji Bersih' itu akan berunsurkan politik menepati fikiran rakyat. Nasihat beliau supaya pihak tertentu tidak mengadakan perhimpunan berunsur politik sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini menggambarkan antisipasinya terhadap kemungkinan buruk dan rasa tanggungjawabnya terhadap keselamatan dan imej negara.
Katanya, pihak terbabit sepatutnya tidak mencampuradukan antara usaha meraih sokongan politik dengan Hari Kemerdekaan yang akan disambut oleh seluruh rakyat tetapi yang lebih penting lagi gangguan kepada ketenteraman umat Islam yang berada dalam perasaan keharmonian dan perasaan persaudaraan Islam dalam menyambut Aidilfitri.
Pengumuman yang dibuat oleh Samad Said itu, sebenarnya adalah suatu usaha untuk mengasingkan rakyat daripada turut serta dalam perayaan ulang tahun kemerdekaan yang telah berdekad tidak pernah berasingan.
Dari sejak kemerdekaan negara, tiap ulang tahunnya disambut bersama oleh rakyat pelbagai peringkat dan kaum, baik daripada kanak-kanak sekolah, pelajar, kakitangan jabatan kerajaan, prajurit tanah air, pertubuhan pertubuhan awam dan lain-lain yang mewakili keseluruhan rakyat dalam suasana indah, ceria, perpaduan dan patriotisme.
Tahun ini tentunya kebanggaan mereka akan lebih besar lagi kerana benar-benar berada dalam negara yang menepati janji kepada mereka.
Alasan pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang bahawa himpunan 'baju kuning' itu tiada kena-mengena dengan politik tidak akan dapat menutup mata rakyat daripada melihat tema Janji Bersih juga bersifat politik kerana mahu mencabar tema kerajaan 'Janji Ditepati' yang dianggap oleh mereka berbau politik.
Dalam pada itu, rakyat tidak dapat melupakan semua 'Janji Bersih' itu telah pun menjadi kotor dalam perhimpunan Aman Bersih dengan demonstrasi merempuh sekatan polis, menyerang kereta polis, menendang, menyepak dan sebagainya menggambarkan mereka anti polis. Terima kasih kepada TV3 dan RTM yang mengulanginya berkali-kali kerana kesannya amat besar sekali. Teruskan kerja mulia ini demi kepentingan keselamatan negara.
Jangkaan pakatan pembangkang bahawa mereka masih popular dan kerana itu mereka mahu mengadakan lagi demonstrasi baju kuning adalah tidak berasaskan kepada realiti yang menyerap di seluruh negara selepas demonstrasi ganas dan kotor pada 28 April itu.
Rakyat Malaysia pada keseluruhannya bersifat sederhana. Mereka tidak suka sesuatu yang bersifat melampau atau melampaui batas-batas peradaban. Jika kejadian 13 Mei 1969 tanpa penyebaran klip video yang boleh menggerunkan atau mengerikan rakyat tetapi peristiwa ganas 28 April 2012 yang dilakukan pembangkang telah mengejutkan mereka, lebih menakutkan dari hanya mendengar cerita 13 Mei - walaupun tidak berlaku kematian.
Ini kerana mereka sendiri tidak senang melihat hal ini berlaku di negara asing yang miskin, apatah lagi berlaku di negara mereka yang demokratik, aman dan makmur.
Sesungguhnya tanpa disedari oleh pihak pembangkang, pandangan-pandangan rakyat terhadap mereka pada keseluruhannya telah banyak berubah tetapi kesan buruk kepada mereka adalah peristiwa 28 April 2012. Janganlah ingat semua orang anti polis dan tidak menghormati polis.
Pada peringkat ini, berita program rancangan perhimpunan 'Janji Bersih' telah pun menimbulkan kemarahan rakyat yang berada dalam semangat persiapan untuk menyambut Aidilfitri yang mulia.
Kerajaan tidak seharusnya terlalu bimbang dengan ancaman himpunan kuning itu kerana semakin banyak mereka tersalah langkah atas kepercayaan palsu terhadap diri mereka sendiri, semakin teruk kesan negatif yang akan menimpa mereka.
Biarlah mereka berteriak dalam keadaan kesakitan yang semakin bertambah dan semakin tenat. 
/hwa: utusan.com.my | 14/8/12 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan