Pages

7 Ogos 2012

Hudud: PKR, Anwar perlu nyata pendirian

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Pertelingkahan berpanjangan di antara Pas dan DAP mengenai hasrat melaksanakan hudud sejak lebih 10 tahun lalu dilihat berpunca daripada kegagalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendirian tegas mengenai hukum Islam berkenaan.
Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Chandra Muzaffar berkata, tindakan Anwar selaku Penasihat PKR yang membisu sehingga kini, membawa kesan negatif kepada pakatan pembangkang seperti disaksikan kebelakang ini.
Katanya, Anwar melalui PKR yang telah berjaya menyatukan Pas dan DAP mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan segala perkara berbangkit di antara pakatan pembangkang itu dapat diselesaikan secara berhemah.
"Tindakan membisu Anwar ini amat berbahaya kerana sehingga kini seingat saya, beliau menyokong hudud atas kapasiti peribadi tetapi tidak pula memasukkannya dalam perjanjian Buku Jingga pembangkang, jadi apakah maksudnya.
"Berbeza dengan Parti Perikatan (kini Barisan Nasional), ia dengan berani dan penuh tanggungjawab menyelesaikan isu kedudukan istimewa Melayu, keistimewaan bahasa Melayu, Islam, hak kaum lain dan kewarganegaraan sebelum negara mencapai kemerdekaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Chandra mengulas kenyataan bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin yang mendedahkan ahli Pas peringkat akar umbi kini mahu parti itu meninggalkan pembangkang ekoran pendirian Pengerusi DAP, Karpal Singh terhadap Islam.
Bekas Setiausaha Pemuda PKR, Lokman Noor Adam pula berkata, perjuangan asal Pas untuk melaksanakan hukum hudud dan dasar negara Islam kini semakin terkubur kerana parti yang menggunakan label Islam itu dilihat semakin tunduk kepada DAP serta PKR.
Lebih menyedihkan, katanya, Anwar yang merupakan bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dilihat kini bersekongkol dengan DAP untuk menekan Pas bagi menggugurkan slogan 'Negara Islam' kepada 'Negara Berkebajikan.'
"Pada 1999, Anwar yang berada dalam penjara gagal menyatukan Pas dan DAP tetapi setelah keluar penjara beliau mampu meletakkan ketiga-tiga parti di bawah satu payung dan saya yakin Pas setuju mengenepikan perjuangan Islam atas tekanan dan pujukan Anwar," katanya.
Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari memberitahu, taktik Ketua Pembangkang itu yang mengamalkan dasar pecah dan perintah k atas Pas serta DAP kini dilihat semakin memakan diri beliau sendiri.
Justeru, katanya, ia merupakan bukti jelas bahawa pakatan pembangkang yang dianggotai oleh tiga parti berkenaan sehingga kini tidak mempunyai hala tuju jelas dalam perjuangan tetapi sekadar mahu mengambil alih pentadbiran negara daripada BN,'' katanya.
/hwa: utusan.com.my | 7/8/12 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan