SETIAP kali menjelang ulang tahun kemerdekaan tanah air ini, saya
pasti teringat pada lagu Keranamu Malaysia. Lagu ini menjadi lagu tema
ulang tahun kemerdekaan selama enam tahun bermula 2000.
Lagu yang dicipta oleh Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah) dan lirik
oleh anggota kumpulan Kopratasa, Syed Indera Syed Omar (Siso) membuatkan
siapa sahaja mendengarnya akan tumpah kasih dan cinta pada Malaysia
yang bertuah ini.
Selama enam tahun, Keranamu Malaysia berjaya menyusupi urat nadi dan
hati nurani rakyat seterusnya sanggup berkorban kerananya. Lagu yang
indah di telinga dan lirik yang sedap di jiwa membuatkan lagu ini
menjadi malar segar hingga hari ini. Malah boleh dianggap Keranamu
Malaysia lagu tema ulang tahun kemerdekaan yang terbaik.
Menghayati lagu ini pasti membuatkan kita yang mengaku rakyat negara
ini rasa bangga dan bertuah. Kemakmuran dan persefahaman dalam konteks
negara multiracial dirasakan sangat luar biasa pencapaian kita.
Semua ini dialirkan dalam lirik yang membawa rakyat lebihnya kita
berbanding negara orang. Inilah patriotik namanya kerana mampu
membuatkan rakyat berbangga dengan tempat dia dilahirkan dan mungkin di
situlah juga semadinya nanti.
Kuasa sebuah lagu terhadap rakyat yang hidup dan matinya di negara
ini sangat besar. Bukan sekadar ritual mesti ada lagu tema ulang tahun
kemerdekaan tetapi lebih daripada itu ialah menyuntik rasa terhutang
budi yang berganda kepada negara.
Semua itu ada dalam lirik Keranamu Malaysia yang menggambarkan rakyat
sanggup berkorban nyawa kerananya. Lagu ini diterima oleh semua rakyat,
melampaui batas ideologi politik, kaum, budaya dan agama.
Tetapi sayang sekali lagu itu hanya digunakan sehingga 2006 sahaja.
Kita tidak perlu menghasilkan lagu tema yang baru pada setiap tahun.
Alangkah baiknya kalau Keranamu Malaysia terus dimanfaatkan seperti kita
memiliki satu lagu kebangsaan sahaja.
Keranamu Malaysia bukanlah dibina oleh lirik yang terlampau puitis
hingga maksud tidak tertangkap oleh orang kebanyakan. Pada masa yang
sama tidaklah hilang seni berbahasa hingga merendahkan tahap pemikiran
rakyat.
Sejak 2006 setiap kali angin bulan Ogos meniupkan semula sejarah
jatuh bangun negara dan bangsa, saya kehilangan lagu malar segar yang
pernah mengisi ledak patriotik ulang tahun kemerdekaan negara. Judulnya
sahaja pun sudah cukup melakarkan maksud kebergantungan kita semua
sebagai rakyat kepada negara yang satu ini. Hayati bait ini dan akuilah
kebenarannya:
Keranamu kami mendakap tuah
Keranamu kami bangsa berjaya
Keranamu kami hidup selesa
Limpah budi kemakmuran negara
Keranamu kami bebas merdeka
Keranamu myawa dipertaruhkan
Keranamu rela kami berjuang
Demi bangsa kedaulatan negara
/hwa: utusan.com.my | 7/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan