HARI ini sudah 20 Ramadan. Tinggal kira-kira 10 hari lagi umat Islam
akan menyambut Aidilfitri. Kemudian 10 hari lagi rakyat Malaysia akan
menyambut pula Hari Kemerdekaan Ke-55 pada 31 Ogos ini.
Semangat hendak menyambut dua peristiwa besar ini sama hebat. Tapi
menjelang Hari Kemerdekaan kali ini, macam ada yang tidak kena.
Mood rakyat mengibarkan bendera Jalur Gemilang seperti biasa belum
begitu ketara kerana banyak pihak yang fokus untuk sambut Hari Raya
Aidilfitri dahulu.
Namun untuk tahun ini agak pelik dan tidak berlaku sebelum ini
apabila pakatan pembangkang mahu menggunakan tiga tema berlainan untuk
sambutan Hari Kemerdekaan.
Alasannya, kerana tidak bersetuju dengan tema "55 Tahun Merdeka Janji Ditepati" yang ditetapkan oleh Kerajaan Pusat.
Khabarnya Kerajaan Kedah pimpinan Pas pilih tema Terus Berbakti",
Kerajaan Pas Kelantan menggunakan Menerajui Perubahan" sementara
kerajaan DAP di Pulau Pinang dan PKR di Selangor akan menggunakan tema
Sebangsa, Senegara, Sejiwa".
Aduh! Belum lagi dapat menawan Pusat Pentadbiran Kerajaan
Persekutuan, Putrajaya - pemimpin pembangkang sesuka hati mahu guna tema
sendiri sempena sambutan Hari Kemerdekaan.
Saya ingin ingatkan kalau ada yang sudah lupa, parti mana yang
dipilih oleh rakyat untuk mentadbir dan memerintah negara ini sekarang -
Barisan Nasional (BN) atau gabungan PKR, DAP dan Pas?
Kalau BN yang diberi mandat maka hormatilah keputusan rakyat itu.
Biarlah guna satu tema sahaja. Ingatlah sewaktu negara ini mendapat
kemerdekaan, negeri-negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor
bukan merdeka secara berasingan.
Ingatlah selama ini kita sama-sama guna tema yang seragam. Tak ada dua atau tiga tema.
Disebabkan hanya perbezaan tema, masyarakat kita berbelah bahagi pendapat - mana satu yang patut mereka ikut?
Apakah negara lain juga ketika hendak menyambut hari kemerdekaan,
mereka membenarkan penggunaan tema yang bebas dan pelbagai. Kalau mereka
ada tema hari kemerdekaan pun seperti Malaysia, rasanya tak mungkin
temanya pelbagai.
Kita sedar ada perbezaan ideologi politik dan sebagainya di kalangan orang politik, tapi jangan peningkan kepala rakyat.
Pemimpin PKR, DAP dan Pas kena banyak bersabar. Ini adalah masa BN
memerintah. Jadi belajarlah menghormati keputusan Kerajaan Pusat.
Contohilah negara-negara maju, perbalahan politik ada musimnya dan tidak berlaku sepanjang tahun seperti Malaysia.
Pakatan pembangkang sepatutnya tak perlu takut pengaruh tema "55
Tahun Merdeka Janji Ditepati". Tema-tema Hari Kemerdekaan terdahulu pun
ada yang mirip pada sokongan kepada BN tetapi ia tak menjadi kudis
kepada pembangkang. Kenapa takut sangat dengan perkataan janji
ditepati.
Sepatutnya PKR, DAP dan Pas belajar menghormati keputusan Kerajaan
Pusat. Lainlah cerita kalau rakyat memberi mandat kepada mereka untuk
memerintah Kerajaan Pusat, pada masa itu buatlah tema sendiri.
/hwa: utusan.com.my | 9/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan