NAJIB Tun Razak dan Awang Adek
Hussin bersama Mustapa Mohamed serta ahli keluarganya menyaksikan
perlawanan akhir badminton antara Lee Chong Wei menentang Lin Dan
selepas Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Rakyat dan
Penyampaian Sumbangan kepada Masyarakat di Bachok, Kelantan, malam tadi.
*****
BACHOK 5 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kekalahan
pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei kepada musuh
tradisinya Lin Dan sebagai bermaruah kerana beliau telah menunjukkan
semangat juang dan komitmen yang tinggi.
Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia harus berbangga dengan usaha
dan corak permainan yang ditunjukkan Chong Wei sebelum tewas dengan dua
mata pada set ketiga dalam perlawanan akhir perseorangan badminton di
temasya Olimpik London.
Malah beliau berkata, kerajaan bersedia untuk menentukan ganjaran
yang sepatutnya diterima oleh pemain badminton nombor dua dunia itu di
atas usaha yang ditunjukkan untuk mengharumkan nama negara.
"Walaupun Chong Wei tewas, dia telah menunjukkan semangat yang cukup tinggi dan gigih untuk meraih kemenangan.
"Kita anggap ini sebagai satu usaha yang cukup bersemangat. Walaupun
tidak berjaya, dia telah menunjukkan komitmen yang tinggi, sebagai
rakyat Malaysia kita berbangga dengan usaha dan corak permainan yang
diperlihatkan oleh Chong Wei.
"Memang kekalahan ini bermaruah sebab dia tidak menyerah kalah dengan
mudah, dia telah berjuang habis-habisan meskipun tidak berjaya
disebabkan corak permainan Lin Dan yang agresif, tetapi dia telah
menaikkan imej negara, kita akan tentukan apa yang sepatutnya untuk
beliau," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat isyak dan tarawih di Masjid Naim, Jelawat di sini malam ini.
Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk
Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek
Hussin.
Chong Wei menunjukkan prestasi yang amat membanggakan dalam final tersebut sebelum tewas kepada Lin Dan 21-15, 10-21 dan 19-21.
Sementara itu di Putrjaya, Timbalan Perdana Menteri menyifatkan Chong
Wei sebagai hero negara meskipun tewas kepada Lin Dan dalam final
tersebut.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana Chong Wei telah
menunjukkan semangat juang dan kesungguhan yang tinggi dalam usaha
mendapatkan pingat emas pertama untuk Malaysia dalam temasya Sukan
Olimpik.
"Mungkin nasib tidak menyebelahi Chong Wei,tetapi apa-apa pun kita
ucapkan tahniah dan saya kira beliau telah bermain bermati-matian dan
bersungguh-sungguh.
"Saya dapat menyaksikan sendiri begitu hebat persaingan itu dan Chong
Wei telah bersedia, namun begitu dalam mana-mana pertandingan ada kalah
dan ada menang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan siaran
langsung perlawanan akhir acara badminton tersebut di Pusat Konvensyen
Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa dan
Pengerusi Eksekutif Eden Inc. Sdn. Bhd., Tan Sri Abdul Rahim Mohamad.
Terdahulu, beliau meluangkan masa berbuka puasa bersama 127 anak-anak
yatim dari Rumah Nur Hikmah dan Badan Amal Nur Zaharah, selain
menyampaikan sumbangan wang tunai kepada dua rumah amal itu sempena
sambutan perayaan Aidilfitri di Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-anak
Yatim EDEN.
Muhyiddin berkata, beliau percaya kesungguhan Chong Wei itu mampu
menyemarakkan lagi semangat rakyat negara ini untuk meraih pingat emas
pertama Sukan Olimpik pada masa depan.
"Mudah-mudahan satu hari nanti kita akan memperoleh pingat emas Sukan Olimpik," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 6/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan