SERAMAI 1,192 profesional tempatan bakal pulang ke tanah air menerusi program Program Membawa Balik Pakar (REP).
Sebelum ini, nilai gaji menjadi faktor penolak kepada golongan
profesional tempatan sehingga memaksa mereka berhijrah bekerja dan
menetap di luar negara.
Masalah pengaliran keluar golongan bijak pandai warga kita bukan isu
yang baru. Hairannya, jika kita perhatikan sekitar Kuala Lumpur, kelibat
orang asing memakai kot dan bertali leher lengkap dengan kasut hitam
berkilat begitu ramai merayap di jalan raya pada pagi dan petang hari
bekerja.
Jika warga asing yang bekerja di sektor kilang atau ladang dipanggil
"buruh", kelompok imigran kolar putih itu pula dipanggil ekspatriat.
Anak-anak rakyat asing kelas tinggi inilah juga ramai dilihat di sekitar
Lembah Klang berulang-alik dengan LRT ke sekolah antarabangsa.
Menurut sumber daripada seorang sahabat penulis yang bekerja dalam
sektor swasta, jawatan seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dimonopoli
oleh warga asing dengan gaji mereka mencecah sekitar RM50,000 hingga
RM70,000 sebulan.
Secara kasarnya, jumlah tersebut adalah lapan kali ganda lebih tinggi daripada gaji seorang jurutera tempatan!
Mengapa begitu ramai warga asing profesional diberi jawatan dengan
gaji yang amat tinggi sedangkan golongan profesional tempatan kita
dicampak gaji relatif rendah berbanding kepakaran yang dimiliki?
Peribahasa 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri'
kini seperti sudah terbalik maksudnya jika dikaitkan dengan isu ini.
Sebenarnya, 'hujan emas' di negara ini sudah turun lebat dalam
kantung dan akaun warga asing baik bergelar ekspatriat mahupun buruh.
Berbeza pula dengan warga kita yang menganggap lebih baik negara
orang kerana menawarkan kualiti hidup yang jauh lebih baik daripada
tanah air sendiri.
Terasa seperti hamba lebih rendah tarafnya daripada buruh walau
bergelar profesional di negara sendiri apabila bekerja di bawah seliaan
beberapa lapis hierarki organisasi yang atasnya majoriti warga asing!
Negara lain seperti Singapura lebih pantas meragut sejumlah tenaga
pakar dan berkemahiran dari negara luar tidak terkecuali Malaysia.
Baru-baru ini misalnya, Singapura telah berjaya 'merampas' Datuk Chef
Wan untuk dijadikan ikon baru republik itu dalam perniagaan medan
selera. Malah, nama 'One Market' digunakan sempena mengambil nama Chef
Wan.
Singapura pula bukan berseorangan sebaliknya bekerjasama dengan
Indonesia melalui sebuah konglomerat terkenalnya yang melabur sebanyak
RM20 juta untuk tujuan projek tersebut.
Ketika Malaysia bercita-cita tinggi mahu muncul sebagai hab makanan
halal sedunia, Indonesia dan Singapura telah mara ke depan dengan
memanfaatkan warga kita pula untuk projek sajian makanan halal dari
tujuh buah negara ASEAN!
Benar. Pengaliran profesional merupakan fenomena global. Eduardo
salah satu nama besar di sebalik Facebook asalnya warga Amerika Syarikat
(AS) tetapi kini rela memeluk taraf penduduk tetap Singapura. Namun,
itu AS yang mempunyai lambakan cerdik pandai jauh lebih tinggi sesuai
dengan statusnya sebagai negara maju berbanding negara kita.
Langkah membawa balik kepakaran tempatan yang masih ramai
berselerakan di seluruh dunia memang wajar diteruskan. Dalam masa sama,
jangan pula kelompok cerdik pandai yang masih setia berada di negara ini
diabaikan.
Daripada menabur duit kepada profesional asing yang majoritinya buta
budaya serta diragui taat setianya kepada organisasi malah negara ini,
lebih baik gaji selumayan itu diberikan kepada para profesional tempatan
sesuai dengan kualiti yang mereka miliki.
Usah keadaan seperti dalam peribahasa 'yang dikejar tak dapat, yang
dikendong keciciran' berlaku dalam pengurusan modal insan rakyat kita
sendiri.
/hwa: utusan.com.my | 21/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan