SYEIKH Mohammad Abdul Qadir Al-Mandili yang merupakan ulama Melayu
terkemuka di Masjidil Haram, Mekah meninggal dunia pada 31 Julai lalu
pada usia 73 tahun.
Pemergian beliau merupakan kehilangan besar kepada umat Islam
terutamanya masyarakat dan dunia Melayu. Beliau merupakan antara tokoh
agama di dunia Melayu yang berjaya mendapat tempat di Mekah, khususnya
Masjidil Haram.
Sebenarnya, sejak sekian lama, ramai golongan pandai agama dunia
Melayu yang merantau sehingga Tanah Suci untuk belajar dan mendalami
ilmu agama, dan tidak terkecuali Syeikh Mohammad.
Beliau merupakan anak kepada Syeikh Abdul Qadir yang juga merupakan
ulama dan guru di Masjid Haram lahir di Alor Setar pada 1939 turut
terkenal di Indonesia, Patani dan Manila. Ayahnya berasal daripada
Mandiling, Indonesia dan berhijrah ke Malaysia ketika berusia 14 tahun.
Beliau belajar agama di pondok Gajah Mati, Kedah dan ketika itu hidupnya
sering dihimpit kesulitan.
Sebelum penjajahan Jepun, Syeikh Abdul Qadir berhijrah ke Mekah dan
meneruskan pengajian di Masjidil Haram. Ketika itu belum wujud
universiti dan Masjidil Haram dianggap universiti.
Penghijrahan ayahnya ini membuka laluan kepada Syeikh Mohammad dan
adik-beradiknya yang lain turut berpindah sama dan peluang ini digunakan
untuk belajar dan mendalami ilmu agama di Mekah.
Selepas mendapat bimbingan alim ulama di Masjidil Haram, ayah beliau
kemudian ditawarkan menjadi guru agama di situ hinggalah beliau
meninggal dunia ketika berumur 56 tahun.
Bagi Syeikh Mohamad pula, pendidikan awalnya bermula di Madrasah
Darul Ulum, Mekah yang diasaskan oleh rakyat Malaysia dan Indonesia.
Selepas itu beliau mendalami lagi ilmu melalui bimbingan ayahnya sebelum
melanjutkan pengajian di Universiti Madinah.
Sebelum mengikut pengajian di Universiti Madinah, beliau belajar
dengan ayahnya di Masjidil Haram selama tujuh tahun dan merupakan
kumpulan pelajar pertama diterima masuk Universiti Islam Madinah.
Beliau pernah dilantik sebagai Jemaah Ahli Syura Urusan Agama
Masjidil Haram di Mekah dan bekas guru di Maahad Al-Haram di Mekah serta
dihantar ke Asia Tenggara oleh Darul Ifta, Arab Saudi untuk memerhati
hal-ehwal agama.
Syeikh Mohammad terkenal di kalangan Jemaah dari Malaysia, Indonesia
dan Asia Tenggara lain kerana peranan beliau mengajar selepas Maghrib di
Masjidil Haram. Beliau antara 15 guru agama yang dipilih memberikan
kelas agama dan merupakan anak Melayu tunggal.
Antara keistimewaan yang diperolehi beliau semasa mengajar adalah
pihak pentadbir masjid turut menyediakan kerusi khas untuknya di sudut
masjid itu.
Setiap kali selepas solat Maghrib, satu sudut di Masjidil Haram
bergema bagaikan suasana masjid kampung apabila Syeikh Mohammad muncul
untuk memberi ceramah di sudut yang terletak berhampiran Kaabah dan
selari dengan Hajaratul Aswad.
Semasa menyampaikan kelas atau ceramah, Syeikh Mohamad akan
mengenakan jubah dan berkopiah yang ditutup kain serban serba putih dan
dengan raut wajahnya yang bersih dan tenang, beliau menyampaikan
ceramahnya dengan cara bersahaja dan sekali sekala menggunakan loghat
utara.
Walaupun menetap di Mekah sejak remaja, beliau masih mampu bertutur
bahasa Melayu dengan fasih sehingga menimbulkan kehairanan di kalangan
jemaah.
Beliau sering pulang ke Malaysia untuk melawat ahli keluarga dan sahabat-handai.
"Kawan kawan hairan bagaimana setelah lebih setengah abad saya
tinggal di Mekah, saya masih fasih berbahasa melayu," beliau dilaporkan
pernah berkata.
Beliau menetap di kawasan Awali, tidak jauh dari kota Mekah. Hasil
perkongsian hidup dengan dua isterinya, Syeikh Mohammad dikurniakan 18
anak.
Cara hidup Melayu masih sebati dengan jiwanya walaupun sudah lama di
perantauan. Ketika di rumah, beliau lebih selesa memakai kain dan baju
Melayu serta bercakap Melayu dengan anggota keluarga.
Bagi Syeikh Mohamad, kemewahan tidak datang bergolek dan ketika mula
menjadi guru agama dulu, beliau terpaksa mengambil upah menjahit kerana
gaji terlalu kecil.
Pengalaman lampau membuatkan beliau bersikap pemurah dan menurut para
temannya, boleh dikatakan hampir setiap kali selepas ceramah, beliau
akan menjemput orang ramai kerumahnya dan menjamu mereka dengan nasi
bukhari.
Kedudukan dan peranan Syeikh Mohammad sebagai ulama dan guru di
Masjidil Haram merupakan suatu yang dibanggakan apatah beliau merupakan
anak Melayu, sekali gus membuktikan dunia Melayu mampu mengeluarkan
tokoh penting agama.
/hwa: utusan.com.my | 6/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan