KUALA LUMPUR 10 Ogos - Akuan bersumpah penyiasat
persendirian, P. Balasubramaniam yang menuduh Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu
didakwa dirancang pihak tertentu termasuk beberapa pemimpin pembangkang.
Perkara itu didedahkan pengendali portal propembangkang, Raja Petra
Kamaruddin selepas beliau mendedahkan peraranan seorang pemimpin Parti
Keadilan Rakyat (PKR), Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa bersama seorang
peguam di sebalik akuan bersumpah tersebut bagi memfitnah Najib.
Dalam pendedahan di portal malaysia-today.net itu beliau turut
menyebut pembabitan beberapa pemimpin pembangkang dan peguam yang
terlibat dalam merancang untuk menghasilkan akuan bersumpah berkenaan
termasuk M. Puravalen yang didakwa mempunyai hubungan rapat dengan ahli
perniagaan, Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan.
Raja Petra mengakui semua kenyataan yang dibuat Balasubramaniam pada
sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR memang telah dirancang lebih awal agar
penyiasat persendirian itu tidak tersalah cakap.
Pada masa sama Raja Petra mengakui Balasubramaniam dibayar untuk
membuat akuan bersumpah tersebut dan dakwa beliau, perkara itu memang
diketahui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya bertemu Balasubramaniam 2 Julai 2008 iaitu sehari selepas
beliau membuat akuan bersumpah. Pertemuan itu berlaku selepas saya
dihubungi Sivarasa yang meminta saya pergi ke rumah seorang peguam bagi
membincangkan kes pembunuhan Altantuya.
"Kami berbincang bagaimana perkara ini perlu ditangani dan apa yang
Balasubramaniam perlu cakap semasa sidang akhbar yang akan dibuat
keesokan hari di Ibu Pejabat PKR," dakwanya sebagaimana dipetik dari malaysia-today.net.
Pada 1 Julai 2008, Balasubramaniam mengejutkan negara apabila
mengeluarkan akuan bersumpah mengaitkan Perdana Menteri dalam pembunuhan
tersebut tetapi selang dua hari kemudian penyiasat persendirian itu
membatalkan akuan bersumpah berkenaan.
Dalam pada itu, Raja Petra mendakwa Anwar telah mengarahkan seorang
tauke Cina membayar kepada Balasubramaniam sebanyak RM20,000 sebulan
bagi memastikan penyiasat persendirian tersebut terus menyokong
pembangkang.
Katanya, langkah itu diambil selepas Balasubramaniam dikatakan sedang
melakukan rundingan rahsia bagi membolehkan beliau mendapat bayaran RM5
juta menyebabkan Anwar bimbang jika penyiasat persendirian tersebut
membongkar rahsia mereka.
Dalam pada itu, Sivarasa dan Balasubramaniam gagal dihubungi malam ini untuk mengesahkan dakwaan Raja Petra tersebut.
/hwa: utusan.com.my | 11/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan