KUALA LUMPUR 18 Ogos - Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa sedia bertemu Pengerusi DAP, Karpal Singh di mahkamah.
Ahli Parlimen Bachok itu menyifatkan Karpal yang menolak dan
menentang keras pendirian Pas yang mahu melaksanakan hukum hudud itu
sebagai telah menolak sebahagian daripada Islam yang sekali gus menolak
Islam.
Justeru saya kekal dengan pendirian saya bahawa Karpal adalah anti Islam dan bersedia untuk bertemu beliau di mahkamah.
Menolak sebahagian daripada Islam bermakna menolak Islam," katanya
kepada Mingguan Malaysia menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), di sini
hari ini.
Karpal semalam berkata, beliau dalam perkiraan untuk mengambil
tindakan undang-undang ke atas Nasharudin berikutan ulasan bekas
Timbalan Presiden Pas itu bahawa Karpal anti-Islam kerana menentang
hukum hudud.
Nasharudin berkata, beliau telah dididik oleh Pas bahawa ajaran Islam
itu adalah syumul dengan merangkumi setiap aspek kehidupan iaitu
akidah, perundangan dan akhlak.
Sehubungan itu, beliau yakin bahawa penolakan Karpal terhadap hukum
hudud turut menjelaskan bahawa Pengerusi DAP itu juga menolak Islam.
Sementara itu, Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) bersedia
menawarkan khidmat guaman kepada Nasharudin sekiranya Karpal mahu
menyaman bekas Timbalan Presiden Pas itu.
Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pihaknya setakat
ini masih belum mengadakan mesyuarat untuk membincangkan perkara
tersebut namun tidak menolak kemungkinan ada ahli-ahlinya yang ingin
menawarkan khidmat guaman kepada Nasharudin.
"Persatuan memang selalu mengadakan perbincangan bila timbulnya isu-isu melibatkan Islam.
"Cuma buat masa ini kita belum adakan mesyuarat lagi mungkin lepas raya nanti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Zainul Rijal, Karpal berhak untuk menyaman Nasharudin kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang bebas dan demokrasi.
"Dari sudut undang-undang, pihak pembelaan (Nasharudin) hanya perlu
bersedia dengan mengumpul bukti berhubung kenyataan dan tindakan Karpal
sebelum ini untuk berlindung di bawah fair comment (komentar yang adil)
iaitu kenyataan-kenyataan yang dibenarkan dibuat mengikut
undang-undang," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 19/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan