PERSEPSI adalah satu proses yang mana penerimaan
naluri kita diterjemah dan digabungkan menjadi satu pandangan yang
menyeluruh terhadap persekitaran kita. Walaupun semestinya berdasarkan
kepada infomasi yang tidak lengkap dan tidak sahih, persepsi sering
disamakan dengan realiti dan mewakili perangai kita.
Hari ini kita lihat politik di serata dunia menjadi lebih bercelaru.
Kita berdepan dengan persoalan tentang kebebasan serta pertembungan
antara hak individu dan kepentingan masyarakat dalam konteks demokrasi
dan hak asasi. Dalam order baru dunia, kuasa besar Barat berjaya
membentuk hegemoni, politik dan ekonomi, tanpa adanya dunia multipolar.
Serentak dengan itu, situasi ekonomi dunia terus tidak menentu; dan
mengikut ramalan Bank Dunia, ekonomi dunia akan terus bergerak perlahan.
Pengerusi Federal Reserve Amerika Syarikat pula meramalkan ekonomi
negara itu tidak akan bertambah baik, malahan akan terus meruncing.
Berlatar belakang kedudukan ekonomi dunia yang tidak
memberangsangkan, bidang politik juga menyaksikan perubahan kerajaan
sama ada melalui proses pilihan raya bebas atau melalui pemberontakan
seperti mana yang telah tercetus khususnya di Asia Barat. 'Sumpitan'
daripada kuasa dalaman kerajaan, kuasa luar akhirnya mengakibatkan
kerajaan berkenaan digulingkan dengan pertumpahan darah dan kehilangan
nyawa di kalangan mereka yang terlibat dan tidak terlibat.
Maka nyata bahawa persepsi ekonomi-politik hari ini sememangnya
bercelaru. Soalnya adakah persepsi ini terancang agar akhirnya keadaan
bercelaru ini menjemput campur tangan asing secara terang-terangan
melalui ketetapan atau resolusi Majlis Keselamatan PBB sebagai
pengendorsnya untuk menghalalkan campur tangan dan perubahan.
Jelas sekali campur tangan ke atas negara-negara Islam adalah amat
ketara berbanding yang diberikan perhatian kepada negara-negara lain
yang berkonflik contohnya di Amerika Latin. Namun apa yang dipanggil
penyelesaian itu tidak menjamin keamanan dan keselamatan. Kuasa-kuasa
besar Barat terus menggunakan kekuatan ketenteraan dan PBB dibawa
bersama bagi mencorakkan order baru dunia di atas asas persepsi bahawa
campur tangan kemanusiaan dan mahu mendemokratikkan negara-negara
tersebut adalah jalan penyelesaian yang terbaik. Walaupun perubahan yang
mereka bawa tidak semestinya menjadi jawapan ataupun jalan penyelesaian
kepada konflik dalaman sesebuah negara, ia tidak pula menjadi
persoalan.
Justeru masalah keselamatan, keamanan, ekonomi dan politik terus
menekan dan membawa penderitaan kepada rakyat di negara-negara yang
kononnya telah diselamatkan. Tapi apa yang jelas ia berjaya melahirkan
negara-negara yang pro Barat dengan agenda demokrasi dan kebebasan.
Persoalannya, sama ada hegemoni dan sistem ekonomi kapitalis yang
dieksport Barat dapat menangani segala kemelut termasuk ekonomi dan
politik di Eropah belum lagi terserlah.
Apa yang nyata ialah tersebarnya satu persepsi bahawa perlunya
transformasi melalui sistem kapitalis, demokrasi dan globalisasi di
negara-negara yang tidak mengenalnya sebelum ini. Tetapi realitinya
masih lagi sangsi. Pendekatan sebegitu dianggap sebagai penjajahan cara
baru yang bertukar hanya bentuknya. Tambahan lagi, banyak pendapat yang
mengatakan sistem kapitalis, demokrasi dan globalisasi bukanlah satu
penyelesaian muktamad untuk semua keadaan yang dihadapi oleh dunia.
Tidak dapat dinafikan yang umat manusia berada di atas satu pentas
yang telah didekatkan serta saling kebergantungan akibat dari kemajuan
teknologi maklumat dan internet. Dalam tamadun sains dan teknologi ini
jelas sekali kuasa terkuat yang muncul hari ini adalah pihak media.
Mereka berupaya bercanang, mereka-reka, dan membina persepsi yang tidak
berlandaskan realiti semasa. Pengaruh media menjadi dominan dan berjaya
serta berkesan membentuk persepsi dalam semua persoalan.
Persepsi boleh membentuk pemikiran, pegangan dan keputusan sama ada
semasa berdepan dengan krisis ataupun di luar krisis. Masyarakat
setempat dan antarabangsa tidak dapat lari daripada hakikat ini. Media
alternatif telah menyentuh dan menentukan hala tuju dalam pelbagai
bidang termasuk politik domestik dan antarabangsa. Justeru, kebebasan
demokratik seharusnya diteraskan kepada wasatiyyah atau
kesederhanaan bagi mencapai keseimbangan dalam melaksanakan
tanggungjawab di antara hak individu dan masyarakat. Komunikasi dan
penyampaian maklumat yang bergerak begitu pantas dengan insiden dan
kejadian semasa memerlukan kerajaan berada di hadapan.
Pada hari ini, Malaysia sedang melalui proses transformasi yang amat
hebat dalam sejarah politik dan ekonomi negara. Ia dilaksanakan untuk
menaikkan taraf hidup, melahirkan peluang perkerjaan dan menjadikan
Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi serta terhubung di antara
satu wilayah dengan wilayah yang lain atau dari satu tempat ke tempat
yang lain. Pemimpin dan mereka yang berada di persekitaran pemimpin
perlu dapat menguasai setiap nadi dan pergerakan dasar, sama ada
tersurat ataupun tersirat.
Mereka harus mengerti dan memahami niat dan tujuan Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA),
ProgramTransformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (
GTP) yang luhur dan murni itu dapat dirasai dan dikecapi oleh rakyat.
Dalam konteks ini amalan dan implementasi akan diyakini oleh golongan
yang hendak dimanfaatkan. Jika program-program dapat dilaksanakan dengan
telus dan sempurna maka akan terbitlah keyakinan terhadap pemimpin dan
kerajaan dan kredibiliti pemerintah akan dapat ditingkatkan.
Bila dapat diajukan dasar, sasarannya dan maklumat dengan telus dan
tepat maka susah untuk dimanipulasikan oleh mana-mana pihak yang
berkepentingan untuk memenuhi agenda mereka bagi melahirkan persepsi
negatif terhadap kerajaan. Persepsi negatif hanya boleh dikalahkan
dengan kebenaran. Tetapi jika kebenaran tersembunyi, akhirnya
pembohongan yang diulang-ulangkan oleh mereka yang tidak
bertanggungjawab akan diterima sebagai kebenaran.
Justeru, kejayaan dan kegagalan kerajaan pada dewasa ini bergantung
banyak kepada bagaimana pemimpin dan jentera dianggap cekap dan
autoratif dalam menengahkan kebenaran sebagai realiti. Sekali gus pihak
yang lain tidak dapat membentuk persepsi negatif terhadap setiap dasar
atau tindakan kerajaan.
Kerajaan tidak boleh hanya respons setelah sesuatu terjadi dan
persepsi negatif telah diatur bentuk oleh 'Dr. Spin' pihak lawan.
Apabila itu berlaku mereka akan mewarnakan kebenaran melalui persepsi
mereka. Begitu juga kerajaan tidak boleh membiar atau mengizinkan
manipulasi fakta oleh pihak lain dan kemudiannya kelam-kabut menyediakan
jawapan.
Dasar pemerintah sebenarnya hendaklah diterjemah dan diimplimentasi
agar dapat dilihat sendiri manfaatnya oleh rakyat dan bukan sesuatu yang
dilaung-laungkan oleh kerajaan. Dalam hal ini kerajaan tidak boleh
bersikap defensif dan apologetik. Sudah banyak sentuhan yang dihulurkan
melalui program dan tindakan sama ada untuk jangka masa pendek ataupun
panjang.
Media arus perdana dan alternatif harus digunakan untuk melaporkan
pencapaian sebenar program dan tindakan tersebut, bukan hanya setakat
untuk melaungkan persepsi transformasi. Pemimpin pula perlu perihatin
membicara menggunakan bahasa dan memahami kecenderungan setiap peringkat
masyarakat . Jika tidak, jurang realiti dan persepsi akan dibentuk oleh
orang lain dan akan merugikan pemerintah.
Sekiranya ingin berjaya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, kerajaan
perlu menangani pertarungan persepsi ini dengan cara yang bijak dan
berkesan. Persepsi yang pemimpin kerajaan atau politik tidak bersih atau
sombong atau hidup mewah atau susah untuk ditemui perlu dapat diatasi
melalui pendekatan yang sungguh mesra rakyat dan terbuka dengan cara
bertawaduk seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri.
Pada masa yang sama dari sekarang hingga PRU-13, insya-Allah
masyarakat tidak didedahkan dengan cerita-cerita skandal, salah laku
sama ada bersifat jenayah ataupun tidak, yang membangkitkan kemarahan
dan keraguan rakyat atau menyinggung sensitiviti mereka sehingga boleh
menjejaskan sokongan dan minat kepada kerajaan dalam PRU-13.
Seharusnyalah parti pemerintah dapat mengatasi pihak pembangkang
dengan memaparkan keupayaan, keikhlasan dan ketelusan kerajaan.
Sebenarnya pemerintahlah penterjemah dan pelaksana kepada pembinaan satu
negara bangsa berteraskan 1Malaysia untuk semua rakyat mengecapi
kemajuan dan kesejahteraan.
/hwa: utusan.com.my | 13/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan