KOTA BHARU 7 Ogos - Pas Kelantan tidak menafikan
adalah haram mengundi golongan yang menentang Islam pada dasarnya namun
ia dibolehkan bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang
diterajui UMNO.
Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk Mohamad Daud berkata, hukum itu boleh berubah mengikut keadaan dan waktu tertentu.
Beliau mendakwa, dalam situasi sekarang, dasar kerajaan BN jelas
bercanggah dengan tuntutan agama dan ia sepatutnya ditolak walau dengan
apa cara sekalipun.
"Kita sedia maklum UMNO dan BN menolak perjuangan Islam, tolak hukum
hudud selain banyak kepincangan yang berlaku dalam pemerintahannya
seperti rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.
"Maka, Pas yang memperjuangkan Islam mesti tolak kerajaan yang
membenarkan kemungkaran berlaku. Untuk itu, kita memang tidak mampu
melainkan dengan adanya pakatan pembangkang seperti sekarang.
"Kalau tidak undi DAP kita tidak boleh menang, jadi kita memerlukan
satu gabungan yang besar untuk menjatuhkan kerajaan UMNO dan BN, maka ia
dibolehkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia
(Perkasa) yang mempersoalkan hukum dalam Islam mengenai tindakan ahli
Pas mengundi DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, persoalan itu perlu
dijawab oleh Pas kerana adalah jelas Pengerusi DAP, Karpal Singh dan
keseluruhan pemimpin parti tersebut ketika ini menentang keras penubuhan
sebuah negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud.
Difahamkan sebelum ini, pemimpin tertinggi Pas seperti Mursyidul
Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang didakwa mengeluarkan arahan meminta ahli-ahli parti mereka
mengundi DAP.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pusat
mengakui kapasiti yang ada pada parti itu sekarang terlalu kecil dan ia
memerlukan kepada pakatan kukuh bagi menumbangkan kerajaan BN yang
mempunyai banyak komponen.
/hwa: utusan.com.my | 8/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan