Pages

3 September 2012

Bisik-Bisik Awang Selamat

Lagi kisah biadap

APA sudah jadi dengan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim apabila tidak memaklumkan kepada Sultan Selangor berhubung sambutan malam kemerdekaan anjuran kerajaan negeri itu.
Sudahlah begitu, beliau mengundang pula Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim untuk menjadi tetamu utama dan menyampaikan ucapan. Kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang dan pemimpin parti, belum cukup untuk melayakkan beliau diberi penghormatan luar biasa. Seolah-olah kedudukan Anwar lebih besar daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Perkara seperti itu tidak pernah berlaku. Apa makna menjadi Menteri Besar jika tidak tahu protokol dan tidak mengutamakan sultan pada majlis seperti itu. Tetapi Awang percaya apa yang berlaku sudah dirancang. Difahamkan, ada pihak yang telah mengingatkan kerajaan negeri tentang hal tersebut termasuk Anwar tidak layak dijemput tetapi tidak dihiraukan. Awang tidak terkejut kerana PKR sememangnya makin terdesak untuk mempolitikkan apa sahaja. Sehingga semalam, Khalid berdolak-dalik. Dari awal lagi penjelasan beliau tidak menyakinkan. Pada mulanya Khalid mempertahankan tindakan tidak memaklum kepada Sultan kerana mendakwa itu amalan biasa. Sedangkan pihak istana Selangor menegaskan, memaklumkan kepada Sultan adalah amalan biasa sebelum ini. Setelah mendapat bantahan banyak pihak, nada Khalid berubah pula dengan menyalahkan pihak lain. Ada yang bertanya apakah Anwar yang mendesak Khalid agar beliau diberi ruang untuk hadir dan berucap, Awang tidak pasti. Apa pun, Awang ucapkan tahniah kepada pasukan tentera dan polis yang segera menarik diri daripada majlis tersebut apabila mendapat tahu berlaku manipulasi. Ia adalah mesej yang sangat jelas untuk ditafsir oleh semua.
Khalid selaku Menteri Besar sepatutnya merasa malu. Sekali lagi beliau telah bertindak biadap. Jika hal ini tidak ditentang habis-habisan, kedudukan Institusi Raja Melayu dan Perlembagaan negara akan terhakis. Seperti titah Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah, pencerobohan besar bermula dengan pencerobohan kecil. Pencerobohan itu semakin menjadi-jadi sejak pembangkang memerintah beberapa negeri. Ini termasuk sikap Khalid - pemimpin Melayu dan Islam - yang umpama pagar makan padi.

Bendera baru?

SEORANG pemimpin pembangkang, M. Manoharan (DAP) menyatakan hasrat untuk menukar bendera Malaysia jika pakatan pembangkang memerintah negara pada PRU-13.
Bukan sekadar mengeluarkan kenyataan itu, beliau turut menolak untuk mengibarkan Jalur Gemilang pada sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia pada tahun lalu.
Tindakan tersebut mencetuskan bantahan rakyat Malaysia. Tahun ini, ada juga kisah yang seumpama. Beberapa aktivis pembangkang bertindak lebih jauh dengan mengibarkan bendera merah putih seakan bendera Singapura di Dataran Merdeka pada malam ambang kemerdekaan, Khamis lalu.
Mereka yang merupakan peserta Himpunan Janji Bersih tanpa rasa malu dan bersalah berbuat demikian di khalayak ramai. Mereka mendakwa bendera itu akan menggantikan Jalur Gemilang sekiranya pakatan pembangkang berkuasa.
Ramai yang menganggap perbuatan tersebut sebagai biadap dan kurang ajar. Memang benar tetapi Awang melihat lebih daripada itu. Ia adalah ancaman kepada keselamatan negara, yang pihak berkuasa mesti bertindak segera. Sesiapa yang berkenaan perlu disiasat dan jika perlu didakwa. Seandainya perkara itu dibiarkan begitu sahaja, ia akan memberi isyarat yang salah kepada rakyat Malaysia.
Awang tidak terkejut perbuatan seumpama itu akan berulang lebih kerap sekiranya pihak berkuasa tidak bertegas. Di negara-negara lain terutama China, Singapura dan Indonesia, penghinaan terhadap bendera negara tidak boleh dikompromi. Apatah lagi mengibarkan bendera lain, yang merupakan perbuatan khianat terhadap negara sendiri. Pernah ada individu yang dijatuhi hukuman mati atas perbuatan seumpama itu.
Yang Awang hairan, mengapa mereka sampai boleh terlepas melakukan perbuatan itu dan pulang ke rumah. Di mana agensi pihak berkuasa kita? Selain kejadian tersebut, Awang sangat terganggu dengan perbuatan beberapa peserta Himpunan Bersih yang bertindak biadap dan memalukan. Ada yang melondehkan seluar menunjukkan punggung sebagai tanda menghina pemimpin negara.
Sekali lagi, Awang hairan, mereka juga boleh terlepas. Inilah akibat daripada budaya politik ekstrem yang dibawa oleh pembangkang. Persoalannya, mengapa mereka berani melakukan provokasi dan penghinaan keterlaluan, apakah mungkin pihak berkuasa kita berlembut dan tidak lagi digeruni?
/hwa: utusan.com.my | 2/9/12 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan