SINGKIR anggota UMNO yang cuba sabotaj calon parti semasa Pilihan
Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Itulah amaran UMNO. Tentunya parti-parti
politik lain termasuk parti komponen Barisan Nasional (BN) dan
pembangkang mempunyai pendirian yang sama. Cuma sejauh mana keupayaan
atau kekuatan parti politik mahu melaksanakannya. Ada parti yang begitu
'sayang' dengan anggota berkenaan dan terpaksa 'menyimpannya' kerana
pertimbangan politik tertentu. Tetapi secara keseluruhannya, mana-mana
parti politik sudah tentu akan menyingkirkan anggota yang tidak setia
kepada parti, lebih-lebih lagi sehingga mensabotaj calon pada PRU. Lebih
malang jika tindakan sabotaj itu menyebabkan calon parti kalah kepada
calon lawan.
Banyak faktor yang menyebabkan anggota parti mengambil tindakan
sabotaj lebih-lebih lagi menjelang PRU. Sabotaj, cah keting atau tendang
betis kawan sudah menjadi lumrah politik. Disebabkan tidak dipilih
menjadi calon atau calon pilihannya tidak dipilih, maka kesetiaan kepada
parti tiba-tiba hilang begitu sahaja. Mereka ini mudah merajuk dan
berkecil hati, tidak mempunyai jiwa besar kepada parti. Jika selama ini,
seseorang itu bekerja keras untuk memastikan kemenangan parti di
kawasannya tetapi disebabkan pemilihan calon tidak kena dengan
'seleranya', mereka sanggup menongkah arus.
Mereka ini kecewa apabila dirinya atau calon pilihan tidak terpilih.
Lebih marah lagi apabila ada calon 'payung terjun'. Bagi orang seperti
ini, matlamat sebenar politik bukan untuk parti, bangsa, agama dan
negara sebaliknya mahu mengejar kuasa, jawatan, kekayaan dan keuntungan
atas nama politik. Mereka ini mahu calon pilihan 'naik' untuk
kepentingan diri atau kumpulan tertentu. Mereka lupa kepentingan orang
lain dan masyarakat. Inilah sikap anggota parti yang hanya mahu 'mencari
makan' melalui politik. Mereka tidak peduli soal masa depan, maruah dan
integriti parti yang diwakili. Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi
cita-cita peribadi.
Lebih malang lagi apabila sabotaj ini bukan sahaja melibatkan anggota
di peringkat akar umbi tetapi juga di peringkat pemimpin. Pemimpin
melakukan sabotaj dengan menggunakan 'tangan-tangan' tersembunyi untuk
memberi tekanan kepada kepimpinan parti. Menjelang PRU ini, tidak
dinafikan ada yang sanggup melakukan pelbagai tindakan semata-mata mahu
menunjukkan pengundi masih memerlukannya sebagai wakil rakyat di kawasan
berkenaan. Memorandum, kempen tanda tangan, petisyen dan sebagainya
dihantar kepada pemimpin untuk menarik perhatian.
Justeru BN sama ada UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PPP dan sebagainya perlu
berani bertindak. Itu pun jika pemimpin masih mahu bercakap mengenai
model politik yang mengutamakan integriti.
Tetapi adakah parti politik perlu menunggu sehingga selesai PRU untuk
mengambil tindakan? Mungkin jika calon yang disabotaj masih menang,
perasaan marah parti boleh terubat tetapi bagaimana jika calon itu
kalah? Bak kata orang ketika itu nasi sudah menjadi bubur! Kekalahan yang berlaku akan merosakkan segala-galanya.
Memang sukar untuk mengenal pasti anggota parti yang akan bertindak mensabotaj parti menjelang PRU. Mereka ini ibarat musuh dalam selimut, api dalam sekam, gunting dalam lipatan atau musang berbulu ayam
yang akan bergerak tanpa disedari oleh pimpinan parti. Mereka ini
tiba-tiba 'menikam dari belakang'. Inilah yang ditakuti oleh mana-mana
parti politik menjelang PRU.
Sukar juga untuk mencari pemimpin atau anggota parti yang secara sukarela mengisytiharkan dirinya sebagai gunting dalam lipatan atau musang berbulu ayam.
Siapa sangka, anggota parti yang sudah berpuluh tahun bersama, mendapat
nikmat yang tidak terhingga semasa berjuang dalam parti atau parti
mempertahankannya serba sedikit akibat 'kepincangan' yang dilakukannya
selama dalam parti atau kerajaan akhirnya melangkah keluar. Disebabkan
kecewa atau merajuk dalam satu dua perkara, 'bunga' yang selama ini
dianggapnya harum semerbak bertukar menjadi 'busuk yang teramat busuk'.
Tetapi tindakan mereka meninggalkan parti menjelang PRU adalah lebih
baik dan bermaruah (walaupun sebenarnya tidak ada maruah politik)
daripada menunggu sehingga saat-saat akhir PRU akan diadakan.
Maka eloklah berundur sebelum terjebak melakukan pengkhianatan
terhadap parti yang diwakili. Pada masa yang sama, jika sekalipun
disedari ada anggota yang cuba sabotaj, agak sukar bagi pimpinan parti
untuk mengambil tindakan terhadap orang seperti ini kerana dibimbangi
akan memberi kesan yang lebih besar menjelang PRU. Mahu tidak mahu
mereka yang dikenal pasti sebagai orang yang bertanggungjawab melakukan
sabotaj akan disimpan dahulu dan dikenakan tindakan selepas berakhirnya
PRU. Sama ada calon yang diturunkan parti itu menang atau kalah, pihak
yang melakukan sabotaj perlu dihukum. Tiada maaf dan tiada kompromi bagi
mereka!
Namun sebelum berlaku sabotaj, beberapa perkara perlu diberi
perhatian. Kenapa sabotaj atau cah keting berlaku? Seperti disebut pada
awal tulisan ini, antara puncanya ialah kerana merajuk disebabkan tidak
dipilih sebagai calon atau calon bukan pilihan kumpulan tertentu.
Menjelang PRU, pemimpin parti sudah beberapa kali menyatakan kriteria
calon untuk dipilih. Harus diingat, jawatan di peringkat bahagian bukan
lesen mutlak untuk melayakkan mereka dipilih sebagai calon. Maka
bersedialah untuk menerima keputusan pucuk pimpinan parti walaupun
selama ini mereka sudah bekerja keras, banyak masa dan duit dihabiskan.
Sabotaj juga berlaku disebabkan rasa tidak puas hati terhadap
pemimpin yang gagal menyelaraskan pelbagai aktiviti menjelang PRU.
Sesuatu yang sering didengar ialah mengenai peruntukan menghadapi kempen
PRU yang tidak sampai ke bawah. Akhirnya berlakulah sabotaj seperti
tidak menampal poster, menutup bilik gerakan, tidak mengatur ceramah
kempen dan macam-macam lagi. Hakikatnya, sabotaj bukan sekadar berlaku
kerana tidak dipilih sebagai calon. Masih ada faktor lain yang
mempengaruhi tindakan sabotaj ini.
Akhirnya, kemenangan calon bergantung kepada sejauh mana kesetiaan
seseorang anggota parti sama ada ia bertaraf pemimpin atau anggota di
peringkat akar umbi. Tanpa kesetiaan dalam perjuangan, maka seribu satu
kemungkinan akan berlaku. Bagi UMNO, slogan Bersatu, Bersetia, Berkhidmat
perlu dijadikan pegangan anggotanya. Mereka harus bersatu, setia dan
berkhidmat kepada parti dalam apa keadaan sekali pun. Maka terimalah
sebarang keputusan pucuk pimpinan parti dalam menentukan siapa yang
dianggap calon boleh menang untuk menghadapi PRU yang dianggap sukar
ini.
Mungkin elok diamati kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah,
Ahmad Bashah Md Hanipah semalam mengenai kesediaannya menerima keputusan
pucuk pimpinan parti sekiranya tidak dipilih sebagai calon PRU. Mungkin
ramai lagi ketua bahagian atau pengerusi perhubungan yang senada
dengannya. Menurut Ahmad Bashah, beliau tidak akan terkilan jika tidak
dipilih semula setelah empat penggal menjadi wakil rakyat kawasan Dewan
Undangan Negeri (DUN) Bakar Bata.
"Ini pengakuan ikhlas saya. Yang penting kita jangan khianati parti
dan pucuk pimpinan. Jika tidak terpilih, saya pasrah dan rela," katanya.
Inilah semangat yang perlu ada kepada setiap anggota parti yang bercita-cita besar untuk menjadi calon PRU akan datang.
/hwa: utusan.com.my | 10/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan