CAKAP-CAKAP mengenai tarikh Pilihan Raya Umum
Ke-13 (PRU-13) makin rancak sekarang. Sana sini orang memperkatakan
mengenai bila tarikhnya. Malah ramai pula yang muncul sebagai tukang
tilik tidak rasmi dalam menentukan masa yang sesuai untuk pilihan raya.
Lebih-lebih lagi apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
sendiri seolah-olah telah memberikan bayangan ia bakal diadakan pada
hujung tahun ini.
Betulkah ia akan berlangsung pada Disember seperti mana yang diyakini ramai orang? Atau kemungkinan tahun depan?
Sebelum ini pun banyak sudah ramalan dan telahan dibuat. Tetapi
semuanya tidak menjadi realiti. Hingga kini tarikh tersebut terus
menjadi misteri. Ada yang mengatakan ia akan diadakan pada Mac. Tetapi
apabila Mac tiba dan Parlimen tetap tidak dibubarkan, ia dikatakan Julai
pula.
Apabila Julai juga tidak menjadi kenyataan, maka September pula
dikatakan bakal dijadikan medan untuk memilih kerajaan baru. Tetapi kini
September sudah separuh bulan dan baru-baru ini Perdana Menteri memberi
bayangan baru iaitu kemungkinan hujung tahun.
Walaupun tarikh PRU-13 itu masih lagi menjadi teka-teki, namun
parti-parti politik yang akan bertanding telah membuat pelbagai
persiapan. Di sesetengah tempat, sudah ada perang sepanduk dan bendera
seolah-olah musim pilihan raya sudah tiba.
Bagi Barisan Nasional (BN) tugas yang menanti mereka pada pilihan
raya kali ini dikatakan cukup berat. Selain mahu memulihkan tsunami yang
melanda pada 2008, asakan demi asakan yang dilakukan oleh lawan pada
kali ini memerlukan jentera pilihan rayanya benar-benar bersedia.
Ada tiga keutamaan dalam amanat Perdana Menteri untuk PRU-13 iaitu
mempertahankan Putrajaya, merampas kembali Selangor dan mendapatkan
majoriti dua pertiga di Parlimen yang hilang pada Pilihan Raya Umum
Ke-12 (PRU-12).
Sudah tentu amanat ini bukan ringan. Sebab itu jentera parti tidak
mempunyai pilihan selain bertungkuslumus menggerakkan setiap agenda dan
rangka kerja bagi mendekati pengundi.
Saingan yang diterima pula bukan calang-calang yang mana ia perlu
ditangkis dengan teliti dan berkesan. Sepatutnya, ketika ini data
mengenai pengundi di sesuatu kawasan sudah dalam dalam tangan pemimpin
di setiap kawasan dan daerah.
Mereka sepatutnya sudah tahu siapa pengundi lama dan mana pula
pengundi baru. Dari situ boleh disusun gerak kerja dan kempen yang
sesuai untuk mendekati kumpulan sasar.
Dalam keadaan banyak kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN)
di seluruh negara dimenangi BN pada PRU-13 dengan majoriti yang sangat
kecil, pertambahan pengundi baru boleh menjadi sesuatu yang sangat
membimbangkan.
Ini kerana tiada siapa tahu ke mana kecenderungan mereka. Adakah
mereka penyokong BN atau pengikut pakatan rakyat? Misalnya, dalam satu
kawasan Parlimen di Selangor, jumlah pengundi baru yang direkodkan ialah
hampir 20,000 orang.
Di seluruh Selangor sendiri dikatakan ada hampir 800,000 pengundi
yang akan mengundi buat pertama kali dalam PRU-13. Siapa yang akan
diundi oleh golongan ini pasti menjadi tanda tanya?
Berdasarkan prinsip siapa cepat dia dapat, maka mana-mana parti yang
terlebih dahulu mendekati dan menawan hati golongan pengundi ini sudah
tentu akan memiliki kelebihan pada PRU-13.
Sebab itu jentera BN perlu bekerja keras terutama untuk memastikan
kehadiran pengundi baru memberi kelebihan kepada BN. Tetapi malangnya
sumber memberitahu ketika PRU-13 makin hangat diperkatakan, terdapat
jentera BN di kawasan dan negeri tertentu yang seolah-olah tidak ada
rasa apa-apa. Mereka masih lagi hanyut dibuai mimpi silam.
Dalam BN itu sendiri ada banyak parti komponen. Jadi, setiap satu
daripadanya perlu memainkan peranan. Setiap entiti yang ada dalam parti
seperti pemuda dan wanita perlu digerakkan ke tahap maksimum. Ketika ini
tidak ada lagi istilah santai atau penilaian rambang.
Setiap analisis mesti tepat supaya datanya boleh digunakan untuk membantu parti dalam merangka strategi.
Disebabkan jumlah pengundi yang mengundi buat pertama kali pada
PRU-13 cukup ramai, maka strategi lama juga tidak lagi sesuai diguna
pakai.
Jentera parti perlu menggerakkan mekanisme baru dan perlu lebih kreatif serta responsif dalam menjalankan gerak kerja.
Mereka juga tidak lagi boleh menumpukan kepada kawasan tradisi
semata-mata. Jangan hanya asyik tertumpu di kawasan yang mereka rasa
selesa dan kawasan yang sudah dianggap sebagai kubu kuat.
Jika mahukan kemenangan dan mengekalkan Putrajaya, jentera BN kena
tumpu pada kawasan-kawasan baru terutama yang ada ramai pengundi yang
akan mengundi untuk pertama kali.
Sebab itu kena ada pendekatan makro dan mikro terutamanya jentera di
peringkat pusat daerah mengundi. Mereka merupakan jentera yang paling
dekat dengan akar umbi dan yang bakal menentukan kemenangan kepada
parti.
Keadaan boleh dianggap sebagai kritikal sekarang terutama di
Selangor, Pulau Pinang dan Kedah yang dimenangi pakatan pembangkang pada
PRU-12.
Tanpa usaha keras dan terancang, BN bakal berhadapan dengan laluan sukar untuk mengembalikan sokongan di negeri-negeri terbabit.
Jika jentera BN tidak benar-benar bersedia amanat Perdana Menteri
untuk mengekalkan Putrajaya, menawan kembali Selangor dan mendapat
majoriti dua pertiga di Parlimen bakal berhadapan dengan laluan getir.
Perdana Menteri sendiri sudah merintis jalan melalui pelbagai siri
lawatan ke seluruh selain melaksanakan pelbagai pakej untuk meringan
beban rakyat.
Kini para pemimpin peringkat akar umbi kena memastikan jentera parti
telah bergerak untuk menyusuli jalan yang telah dirintis Perdana Menteri
itu.
Bagi yang bercita-cita menjadi calon, mereka sepatutnya telah mengenal pasti siapa bakal pengundi mereka.
Pada masa ini mereka yang teringin menjadi calon, yang rasa layak dan
bakal terpilih sebagai calon sepatutnya sudah tahu pola dan
kecenderungan pengundi di kawasan mereka. Jangan hanya duduk menunggu
nama diumumkan. Buat kerja dan rintis jalan untuk menuju kemenangan
Mungkin sebenarnya ketika ini Perdana Menteri menunggu supaya jentera BN benar-benar bersedia sebelum PRU-13 diumumkan?
/hwa: utusan.com.my | 11/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan