Muhyiddin Yassin bersalaman dengan
Byong Man Anh di pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya, semalam.
Turut hadir Abdul Ghafar Mahmud (kiri), dan Profesor Lee Sing Kong. -
Utusan/HANAFI KHAMIS
*****
PUTRAJAYA 10 Sept. - Pakar pendidikan antarabangsa yakin laporan awal
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan esok
mampu untuk melonjakkan sistem pendidikan negara ke tahap prestasi
tinggi.
Bekas Menteri Pelajaran, Sains dan Teknologi Korea Selatan, Dr. Byong
Man Ahn dan Pengarah Institut Pendidikan Kebangsaan Singapura, Profesor
Lee Sing Kong juga kagum dengan penyediaan laporan tersebut kerana
mengambil kira pandangan pelbagai pihak.
"Kajian ini bukan sahaja mendapat pandangan pakar pendidikan
semata-mata tetapi juga ibu bapa, pihak-pihak berkepentingan malahan
pelajar sendiri.
"Projek kajian semula ini adalah sangat teliti dengan merangkumkan
soal intelektual dan pendekatan saintifik, kita tidak pernah melakukan
benda seperti ini di Korea Selatan," kata Byong Man Ahn yang juga Naib
Pengerusi Majlis Penasihat Presiden Mengenai Pendidikan, Sains dan
Teknologi di Korea Selatan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menemui Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bangunan Perdana Putra di
sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud.
Byong Man Ahn dan Sing Kong merupakan ahli dalam Panel Penilaian Antarabangsa Mengenai Kajian Semula Pendidikan Malaysia.
Dalam pada itu, Sing Kong berkata, laporan pendidikan yang akan
diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak esok merupakan
hasil kajian dan analisis yang mendalam.
"Banyak analisis data dan situasi telah dilakukan untuk membolehkan
kedudukan sedia ada serta matlamat pada masa depan dijelaskan, ia sekali
gus membantu kita menentukan usaha yang perlu dilakukan untuk mencapai
matlamat itu.
"Kini kita memerlukan satu pelan pelaksanaan yang bersepadu bagi
mencapai sasaran yang ditetapkan serta memenuhi keperluan abad ke-21,"
katanya.
Tambah Sing Kong, kerajaan semasa menyediakan Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2025 telah mengambil kira input daripada
sistem-sistem pelajaran berprestasi tinggi dari luar negara.
"Ahli-ahli Panel Penilaian Antarabangsa telah membawa cadangan
daripada sistem pendidikan berprestasi tinggi, kita akan terus memberi
maklum balas dan cadangan selepas ini," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 11/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan