Mukadimah
Pada 22 Ogos 2012 bersamaan 4 Syawal 1433H,
seorang insan istimewa berstatus orang kelainan upaya (OKU) iaitu Mohd.
Hidzir Othman dari Kampung Rendah, Rembau, Negeri Sembilan berkunjung ke
Utusan Melayu (M) Berhad di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Mohd. Hidzir, 45, dilahirkan tanpa kedua-dua belah kaki namun beliau
yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Insan Penyayang Malaysia
(PKIPM) Negeri Sembilan dan Exco PKIPM pusat tetap gagah bergerak
menggunakan tangan kanan dan kirinya melangkah memasuki pejabat Utusan
Melayu.
Status OKU bukan penghalang kepada Mohd. Hidzir untuk berkecimpung dalam bidang politik. Manusia cekal ini mula menyertai UMNO sekitar 1980-an sebelum memasuki Pas pada 1990 hingga 2001 dan pernah memegang jawatan dalam parti itu. Kini, beliau kembali ke pangkuan UMNO sebagai ahli seumur hidup mulai 2004.
Pelbagai pengalaman pahit getir pernah dilaluinya semasa bersama Pas: dituduh kafir kerana mengkritik Pas dan pemimpinnya malah dilabel pengintip kerana menjaga silaturahim dengan rakan-rakan dalam UMNO.
Ikuti wawancara wartawan Utusan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan jurufoto, IRWAN MAJID bersama Mohd. Hidzir tentang pandangannya berdasarkan pengalamannya selama 11 tahun bersama parti itu dan perkembangan politik semasa negara.
Status OKU bukan penghalang kepada Mohd. Hidzir untuk berkecimpung dalam bidang politik. Manusia cekal ini mula menyertai UMNO sekitar 1980-an sebelum memasuki Pas pada 1990 hingga 2001 dan pernah memegang jawatan dalam parti itu. Kini, beliau kembali ke pangkuan UMNO sebagai ahli seumur hidup mulai 2004.
Pelbagai pengalaman pahit getir pernah dilaluinya semasa bersama Pas: dituduh kafir kerana mengkritik Pas dan pemimpinnya malah dilabel pengintip kerana menjaga silaturahim dengan rakan-rakan dalam UMNO.
Ikuti wawancara wartawan Utusan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan jurufoto, IRWAN MAJID bersama Mohd. Hidzir tentang pandangannya berdasarkan pengalamannya selama 11 tahun bersama parti itu dan perkembangan politik semasa negara.
UTUSAN: Boleh jelaskan penglibatan saudara dalam Pas?
MOHD. HIDZIR: Saya menyertai Pas pada 1990 dan pernah memegang
jawatan Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Teluk Kemang serta Setiausaha Pas
Cawangan Kampung Rendah, Rembau mulai 1996 hingga 2001. Selain itu, saya
terlibat secara langsung sebagai tenaga penggerak kepada penubuhan
cawangan baru Pas di enam lokasi sekitar Rembau iaitu Kampung Rendah,
Kampung Tanjung Sena, Pekan Rembau, Kampung Air Hitam, Kampung Pedas
Gaing dan Kampung Senama serta pemulihan semula Pas Cawangan Kampung
Seberang Batu Hampar dan Pas Cawangan Kampung Tanjung Berangan.
Sebelum itu, saya pernah menjadi ahli UMNO tetapi dasar Pas tentang
penubuhan sebuah negara Islam dan perjuangan melaksanakan hukum hudud
telah mencuit hati saya untuk memasuki parti itu. Bagaimanapun,
pemerhatian saya selama 11 tahun dalam Pas mendapati parti itu tidak
konsisten dan tidak istiqamah dari segi dasar perjuangan, hala tuju
serta strategi politik.
Lebih memburukkan keadaan, apa sahaja perkara yang melibatkan Pas
dan pemimpin-pemimpinnya tidak boleh ditegur atau dikritik. Bila saya
kritik, mereka tuduh saya kafir. Saya pernah dimarahi dalam mesyuarat
kerana mengkritik parti dan pemimpinnya. Saya dikatakan tidak
menghormati pemimpin dan parti. Macam-macam gelaran pernah saya terima
termasuk pengkhianat, petualang malah saya dituduh sebagai pengintip
yang diupah UMNO untuk membongkar rahsia Pas.
Saya tidak boleh menerima perjuangan seumpama itu. Memang saya amat
kecewa dengan sikap dan mentaliti Pas sehingga memaksa saya mengambil
keputusan meninggalkan parti itu pada 2001.
Dasar-dasar Pas yang mana kena kritik?
Saya cuma menyuarakan kritikan terhadap hasrat Pas membuka keahlian
kepada orang bukan Islam. Saya juga minta Pas jangan amalkan politik
kafir mengkafir, jangan memaki hamun UMNO dan jangan mencaci serta
menghina orang Islam daripada parti lain. Sebaik-baiknya, Pas jauhi
dasar perjuangan sebegitu. Pas melakukan kesilapan besar apabila menanam
sifat kebencian di kalangan ahli-ahlinya dan rakyat. Pemimpin-pemimpin
negara dan orang Melayu yang sebangsa dan seagama menjadi sasaran
kebencian. Sikap ini amat mengecewakan saya kerana Pas boleh berpeluk
dengan DAP tetapi dengan UMNO hendak berjabat tangan pun tidak mahu.
Bila timbul cadangan muzakarah dengan UMNO, Pas letak banyak syarat.
Walhal pemimpin Pas yang mula cetuskan hasrat bermuzakarah. Namun,
setelah UMNO memberi respons positif, Pas juga yang tolak muzakarah. Pas
terlalu ghairah bermain politik hingga terlupa tentang kepentingan
ummah dan bangsa. Mungkin Pas takut dengan sekutu-sekutunya dalam
pakatan pembangkang. Kononnya memperjuangkan Islam tetapi dasar parti
sering berubah. Saya juga dibiarkan terkontang-kanting keseorangan
setiap kali dikenakan tindakan ekoran mengkritik Pas dan pemimpinnya.
Tiada sokongan dan bantuan daripada ahli-ahli Pas yang lain walaupun ada
di antara mereka yang menyokong saya. Namun mereka hanya berani
cakap-cakap belakang sahaja. Kalau secara terbuka mereka tak berani.
Mengapa saudara tawar hati dengan Pas?
Saya paling kecewa apabila Pas membuat keputusan untuk menerima ahli
bukan Islam. Saya pernah mengemukakan surat bantahan secara terbuka dan
berbincang dengan beberapa pemimpin Pas pada masa itu meminta parti
jangan mengubah hala tuju perjuangannya. Jangan sesekali menerima
cadangan membuka keahlian parti kepada bukan Islam. Kalau Pas terima
ahli bukan Islam maknanya kita cakap tak serupa bikin.
Dulu Pas kata UMNO kafir sebab bekerjasama dengan bukan Islam tetapi
Pas akhirnya mengambil tindakan yang lebih teruk daripada itu. Sekarang
kita dapat melihat Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) diwujudkan.
Anggota DHPP bukan lagi sekadar ahli bersekutu kerana ia telah diiktiraf
sebagai salah satu sayap Pas. Maknanya ahli DHPP boleh bertanding,
boleh mengundi dan boleh diundi. Jadi, orang bukan Islam pun boleh
menentukan hala tuju perjuangan Pas. Bagi saya, ini satu kelemahan dan
kesilapan besar yang dilakukan oleh Pas.
Adakah pemimpin-pemimpin Pas benar-benar memahami hasrat dan kehendak akar umbi?
Mereka tidak nampak kesilapan sendiri dan masalah-masalah dalaman
parti kerana terlalu sibuk mencari kesalahan orang lain terutamanya
pemimpin-pemimpin UMNO. Pemimpin-pemimpin Pas tidak mahu bermuhasabah
diri. Sikap negatif ini sepatutnya dihapuskan sekiranya mereka
benar-benar ikhlas ingin memperjuangkan Islam. Sebaliknya, mereka
sentiasa mengamalkan syak wasangka, memburuk-burukkan, mencaci dan
menghina umat Islam yang lain. Mana boleh buat begitu. Itulah salah satu
punca umat Islam dipandang rendah oleh penganut-penganut agama lain.
Sebilangan kecil pemimpin Pas mempunyai pandangan berbeza dengan pucuk pimpinan parti. Akar umbi selalunya memihak kepada siapa?
Akar umbi Pas lebih cenderung kepada pucuk pimpinan. Mereka tidak
kisah siapa yang berada di atas. Mereka tetap sokong walaupun pucuk
pimpinan membuat kesilapan. Walaupun bekas Timbalan Presiden Pas,
Nasharudin Mat Isa dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan
Ali pernah membuat teguran, akar umbi sukar menerimanya. Kedua-dua tokoh
itu dianggap sebagai penentang pucuk pimpinan Pas. Bagi mereka, pucuk
pimpinan parti tidak boleh ditegur, tidak boleh dikritik. Jika
tokoh-tokoh berkaliber seperti Nasharudin dan Hasan pun tidak boleh
diterima, inikan pula pandangan pemimpin-pemimpin peringkat akar umbi.
Semua itu berlaku kerana ahli-ahli Pas terlampau taksub kepada individu
bukan kepada perjuangan.
Apakah Pas kini tidak lagi agresif memperjuangkan penubuhan negara Islam?
Secara terbuka, saya berpandangan perjuangan Pas sekarang ini sudah
menyeleweng dan menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya. Saya
tidak faham mengapa Pas tergamak menukar konsep perjuangannya daripada
negara Islam kepada negara berkebajikan. Bila dikritik,
pemimpin-pemimpin Pas pula berdolak-dalik dengan hujah-hujah kabur bagi
mengelabui mata rakyat. Mengapa tidak berterus-terang sahaja mengatakan
Pas terpaksa menggugurkan perjuangan menegakkan negara Islam kerana
tekanan rakan-rakan politik dalam pakatan pembangkang. Begitu juga
dengan isu hudud.
Kita tidak dapat melihat ketegasan pemimpin-pemimpin Pas bila
berdepan dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mulutnya begitu celupar
memperlekehkan hukum hudud. Sebaliknya, pemimpin-pemimpin Pas lebih
suka membuat aksi lawak murahan dengan menuding jari menyalahkan UMNO
sebagai punca hudud tidak dapat dilaksanakan, sedangkan dengan Karpal -
hendak angkat muka pun tak berani.
Dalam isu negara Islam dan hudud, Pas sepatutnya jangan mengalah
dengan DAP. Teruskan perjuangan itu walaupun mendapat tentangan hebat
daripada sekutu politiknya. Pas mesti berani kerana benar dan komited
untuk mengotakan janjinya. Jangan beralah sebab tekanan daripada DAP
namun dengan UMNO, Pas sentiasa tunjuk kuat dan hebat.
Mengapa menyertai semula UMNO?
Saya sebenarnya mendaftar dengan Pas sebagai ahli seumur hidup.
Semasa masih di dalam Pas, saya pernah menghadiri majlis-majlis
keramaian dan kenduri-kendara anjuran rakan-rakan saya dalam UMNO. Saya
tetap berusaha memenuhi jemputan rakan-rakan dari UMNO kerana fahaman
politik yang berbeza tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk memutuskan
silaturrahim. Malangnya, saya ditegur oleh pucuk pimpinan parti dan saya
dikatakan membelakangkan perjuangan parti. Mungkin mereka mahu saya
menjadi seperti katak di bawah tempurung yang tidak bercampur dengan
masyarakat.
Selepas keluar dari Pas, saya kerap menghadiri majlis-majlis anjuran
UMNO dan dari situ, pintu hati saya mula terbuka semula kepada UMNO.
Pada 2004, saya mendaftar di Ibu Pejabat UMNO di Menara Datuk Onn, Kuala
Lumpur sebagai ahli seumur hidup.
Sejak itu, saya disisihkan oleh rakan-rakan yang masih di dalam Pas.
Mereka anggap saya seperti sampah. Saya dituduh sebagai pengkhianat dan
petualang yang berpaling tadah. Kononnya saya diberi wang oleh UMNO
untuk mengubah haluan. Saya pernah cuba menjelaskan kepada mereka bahawa
tindakan saya itu adalah atas kesedaran sendiri semata-mata untuk
memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara. Tiada sesiapa
mempengaruhi saya. Mereka tidak mahu menerima penjelasan saya kerana
terlalu taksub dengan perjuangan Pas.
Mereka tidak mahu terima hakikat perjuangan Pas kini telah tersasar.
Amat sukar untuk mereka menerima pandangan pihak lain. Rakan-rakan saya
dalam Pas mempertahankan pucuk pimpinan dengan mengatakan apa yang
berlaku itu hanya strategi politik. Itu bukan strategi politik.
Perjuangan Pas kini bukan lagi kerana Allah SWT dan Islam,
sebaliknya cuma untuk kepentingan politik dan meraih undi. Berbeza
dengan UMNO, saya melihat pemimpin dan ahli-ahlinya bersikap terbuka dan
bersedia menerima sesiapa sahaja menyertai perjuangannya tanpa
memandang serong.
UMNO juga lebih komited menjaga kebajikan rakyat dan ahli-ahlinya
sedangkan Pas lebih banyak retorik tetapi banyak janjinya tidak
dilaksanakan. Sebagai sebuah parti Islam, Pas sepatutnya berdakwah
kepada saudara seagama dengan menunjukkan teladan yang baik. Kalau
hendak kritik pun, lakukan secara baik. Amalkan sikap terbuka dan
bersedia berunding. Malangnya, semua itu tidak berlaku.
Pada pandangan saudara, antara Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, siapa yang lebih layak diberi mandat mentadbir negara?
Seperti yang kita sering lihat, parti-parti pembangkang iaitu Pas,
Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tidak sehaluan dan sependapat. Apa
yang berlaku di negeri-negeri yang kini ditadbir pembangkang menunjukkan
wajah sebenar mereka yang hipokrit. Sebelum berkuasa, banyak janji
ditaburkan tetapi bila diberi peluang tidak mampu ditepati. Kemudian
mereka ambil jalan mudah menyalahkan pentadbiran kerajaan negeri
terdahulu di bawah BN sedangkan masalah berlaku selepas pembangkang
berkuasa. Cara pembangkang berkempen juga agak agresif dan gemar
mencetuskan provokasi. Mereka sentiasa menghasut agar rakyat melihat
kerajaan BN sebagai zalim.
Saya tidak faham apa yang mereka maksudkan kerajaan BN zalim. Adakah
kerana kerajaan tidak memberi dengan segala yang mereka tuntut seperti
yang cuba mereka lakukan pada perhimpunan haram Bersih 3.0 April lalu?
Saya tidak melihat BN sebagai sebuah parti yang zalim sebaliknya BN
merupakan sebuah parti pemerintah yang terbaik di dunia dari segi
pentadbiran, politik, ekonomi dan sosial.
Permuafakatan parti-parti komponen BN mencerminkan semangat toleransi
antara masyarakat berbilang kaum di negara ini. Saya harap rakyat
membuat pilihan terbaik pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan memilih BN
yang terbukti mampu menjamin kemajuan, kestabilan dan keselamatan
negara. Jika pembangkang sendiri tidak sepakat dalam menentukan dasar
pejuangan bersama, bagaimana hendak menentukan dasar pemerintahan
negara? Silap-silap negara boleh huru-hara sekiranya pembangkang
memerintah.
Pembangkang sebenarnya rasa terancam dengan keberkesanan formula
yang diamalkan BN selama ini. Sebab itulah mereka menggunakan taktik
kotor memesongkan pemikiran rakyat dengan dakyah-dakyah palsu. Saya
nasihatkan rakyat terutamanya anak-anak muda agar jangan percaya dengan
segala maklumat yang tertera pada laman web atau media pro pembangkang.
Jangan percaya bulat-bulat kerana banyak maklumat yang dipaparkan boleh
mempengaruhi rakyat membenci kerajaan dan UMNO.
/hwa: utusan.com.my | 3/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan