SHAH ALAM 5 Okt. - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
didesak supaya tidak cuba menyembunyikan fakta berhubung pembelian dan
pemilikan bas mewah dua tingkat untuk kegunaan kempen Parti Keadilan
Rakyat (PKR).
Desakan itu dikemukakan Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS),
antara lain turut meminta Abdul Khalid mendedahkan punca kewangan
sebenar bagi pembelian bas yang sebelum ini dianggarkan berharga
RM900,000.
Pengerusinya, Hamidzun Khairuddin berkata, sikap berdiam diri tentang
isu tersebut seolah-olah ada sesuatu tidak kena dalam proses pembelian
bas berkenaan yang menurut Abdul Khalid dibuat menerusi sewa beli selama
enam bulan tanpa menggunakan wang kerajaan negeri.
"Namun sehingga hari ini, Abdul Khalid tidak mendedahkan secara
terperinci bagaimana pembelian bas mewah itu dibuat, termasuk sumber
kewangan untuk membeli kenderaan yang didaftarkan di bawah namanya
dengan nombor pendaftaran BLU 8779.
"Apakah Abdul Khalid sengaja tidak mahu mendedahkan proses sebenar
pembelian bas mewah itu, sebaliknya hanya membuat kenyataan secara umum
bahawa beliau memilikinya melalui sewa beli selama enam bulan.
"Sekiranya Menteri Besar merasakan proses pembelian dan pemilikan bas
mewahnya itu dibuat secara telus, beliau harus mendedahkan secara
terperinci tentangnya. Sebagai Menteri Besar, sebarang tindakan yang
dilakukannya tidak boleh lari dari sudut kepentingan awam di negeri
ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini, sebuah laman blog, http://sel13.com menyiarkan
laporan mempertikaikan pembelian 50 model lori kompaktor sampah bernilai
RM14.5 juta oleh kerajaan PKR Selangor termasuk bas dua tingkat dan
trak kontena serba guna untuk parti itu.
Selain itu, blog terbabit turut mempersoalkan kenyataan Abdul Khalid
yang mendakwa bas mewah digunakan parti itu sepanjang kempen Pilihan
Raya Umum Ke-13 adalah disewa dan dibiayai sepenuhnya oleh beliau tanpa
menggunakan wang kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Hamidzun turut meminta Menteri Besar supaya
mendedahkan butiran terperinci pembelian bas mewah itu sama ada
mempunyai kaitan dengan pembelian 50 buah kompaktor sampah oleh kerajaan
negeri sebelum ini.
Katanya, selain jenamanya sama iaitu Dong Feng dari China, bas mewah
serta kompaktor sampah tersebut turut dipasang dan diubahsuai dari
sebuah kilang yang sama di Rawang.
"Jika Menteri Besar memiliki bas mewah terbabit, adakah beliau
mempunyai kaitan dengan pembelian 50 buah kompaktor sampah oleh kerajaan
negeri sebelum ini. Jika tidak, Menteri Besar perlu menjelaskan
syarikat mana yang menaja pembelian bas mewah itu.
"Kita difahamkan Menteri Besar tidak boleh membuat pinjaman untuk
membeli bas mewah itu kerana beliau disenaraihitamkan, susulan kes
pinjaman RM60 juta dengan Bank Islam yang kini dalam proses mahkamah,"
ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) supaya menjalankan siasatan tentang pembelian bas mewah
tersebut sama seperti suruhanjaya itu melaksanakan siasatan terhadap
syarikat National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan