Pages

10 Oktober 2012

Jangan kaitkan Pas dengan tindakan Anwar

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din (gambar) meminta mana-mana pihak tidak mengaitkan Pas dengan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan buku tulisan bekas Ahli Parlimen India, Mobashar Jawed Akbar yang berfahaman liberal.
Beliau yang dipetik dari sebuah portal berita AntaraPos.com menegaskan demikian ekoran kenyataan Mobashar yang didakwa meremehkan peranan Islam dalam pembentukan sesebuah negara ketika majlis itu di ibu negara, baru-baru ini.
Haron ketika dihubungi portal berita berkenaan turut meminta semua pihak agar tidak menganggap tindakan Ketua Pembangkang itu yang seakan-akan bersekongkol dengan individu seperti Mobashar sebagai sesuatu yang direstui Pas.
''Itu tindakan dia (Anwar) sendiri. Anwar pun ada caranya. Dia pun tak tubuhkan parti Islam, dia tubuhkan parti Keadilan (Parti Keadilan Rakyat-PKR). Tak apalah itu pandangan politik dia.
''Dia rasakan itu boleh mendapatkan keuntungan (buat) dia, maka dia buat. Kita pun tak campur hal PKR. Pas dengan Pas, PKR dengan PKR dan DAP dengan DAP,'' katanya.
Kenyataan Haron itu turut dipetik beberapa blog lain.
Beliau mengulas tindakan Anwar mengundang dan melancarkan buku tulisan Mobashar, Tinderbox: The Past and Future of Pakistan di ibu negara.
Mobashar dalam majlis yang turut dihadiri beberapa pemimpin PKR lain itu antara lain berkata : ''Islam adalah sebuah persaudaraan dan bukannya sebuah negara.''
Haron menambah, apa yang dilakukan Anwar adalah atas pertimbangan politiknya sendiri.
''Dia (Anwar) tak asaskan politiknya dengan Islam. Jadi dia tak macam kita (Pas). Kita asaskan kepada Islam. Semuanya kita rujuk dengan Islam,'' tegas beliau.
Ditanya wartawan portal berita itu berhubung kenyataan Mobashar, katanya, prinsip yang dinyatakan oleh penulis buku berkenaan jelas bertentangan dengan agenda Islam.
''Yang benarnya Islam itu adalah suatu cara yang lengkap. Apa sahaja yang melengkapkan kehidupan manusia, Islam menawarkannya termasuklah penubuhan negara.
''(Perkara itu) jelas dalam al-Quran dan Nabi (Muhammad SAW) buat (laksanakan),'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan