Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak yang sentiasa turun padang mendengar masalah rakyat tanpa
mengetepikan mana-mana kaum untuk memberikan keadilan kepada semua.
*****
KELMARIN, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membuat sidang akhbar di
Pulau Pinang menafikan pernah menyebut seperti yang dilaporkan di
muka hadapan Mingguan Malaysia terbitan 7 Oktober 2012.
Nampaknya, Ketua Menteri Pulau Pinang itu sekali lagi menyinga
terhadap akhbar ini. Beliau seperti mana dilaporkan portal
propembangkang, Malaysiakini mendakwa Utusan Malaysia memutar fakta
untuk menjejaskan nama baiknya melalui laporan berhubung ucapannya dalam
satu perjumpaan bersama sekumpulan pemimpin gereja di Pulau Pinang,
Khamis lalu.
Namun, apa pun kata Guan Eng, beliau memang ada hak untuk bercakap apa sahaja dan membuat penafian.
Dan tanpa prejudis atau prasangka, ucapan Guan Eng dalam perjumpaan
dengan sekumpulan pemimpin gereja itu dipetik akhbar ini daripada
Malaysiakini sendiri.
Berikut dipaparkan laporan daripada wartawan portal berita berkenaan, Susan Loone pada 11:54 a.m 5 Oktober 2012:
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, penganut Kristian
tidak harus berdiam diri walaupun merasakan mereka tidak bersalah, suci
dan tidak terlibat dalam perbuatan salah".
Bercakap di hadapan 300 pemimpin gereja, Lim berkata, walaupun
penganutnya bertanggungjawab di hadapan tuhan, penting untuk mereka
menyuarakan keadilan untuk semua" - slogan yang juga menjadi seruan
Pakatan Rakyat.
Gereja boleh memainkan peranan (menentang ketidakadilan) untuk
mewujudkan masyarakat yang lebih kuat," katanya dalam program dialog di
negeri itu semalam.
Turut hadir exco negeri Abdul Malik Abdul Kassim, Wong Hon Wai dan
Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia, Pulau Pinang Bishop Emeritus
Antony Selvanayagam.
Dalam sesi dua jam itu, Lim diminta berkongsi cabaran yang dihadapi
dalam menangani isu-isu berkaitan gereja sejak mengambil alih
pentadbiran negeri pada daripada BN pada 2008."
Saya (penulis) tidak mahu mengulas lanjut akan penafian Guan Eng
kelmarin dan kenyataannya kepada sekumpulan paderi tersebut, Khamis
lalu.
Tetapi saya mahu rakyat merenung dan menilai secara bijaksana apakah
keadilan untuk semua masih belum dicapai atau dinikmati setakat hari
ini di sebuah negara yang makmur dan harmoni bernama Malaysia?
Setiap rakyat Malaysia sebenarnya bertuah dilahirkan di negara ini
yang mempunyai kepelbagaian kaum. Pengalaman krisis politik di negara
Arab seperti Mesir, Tunisia, Syria dan Libya hanya menimbulkan
kemusnahan, kerosakan harta benda awam, pertumpahan dan pembunuhan. Ia
membawa kepada keruntuhan ekonomi dan kemakmuran.
Kita sememangnya bertuah tinggal di Malaysia. Kajian Indeks Keamanan
Global (GPI) 2011 oleh Institut Ekonomi dan Keamanan Antarabangsa yang
berpusat di Sydney, Australia menunjukkan Malaysia menduduki tempat
ke-19 daripada 153 negara yang mampu mengekalkan kestabilan politik dan
keamanan negara. Malaysia juga negara paling aman di Asia Tenggara dan
ke-4 di Asia Pasifik selepas New Zealand, Jepun dan Australia. Ini
adalah julung kalinya Malaysia diberi ranking setinggi itu sejak 2007.
Di kalangan negara Islam pula, Malaysia menduduki tempat kedua selepas
Qatar apabila negara itu diletakkan di tangga ke-12 dan negara paling
selamat di Asia Barat.
Laporan kajian Doing Business 2012 pula menempatkan Malaysia pada
kedudukan ke-18 dan mengekalkan status sebagai negara terunggul di dunia
bagi mengumpul kredit, keempat di dunia bagi langkah untuk melindungi
pelabur. Dalam kajian terbaru oleh Crescent Rating, Malaysia berada di
tempat pertama sebagai destinasi Organisasi Konferensi Islam (OKI) untuk
kategori Halal Friendly dalam kelompok 10 buah negara iaitu Mesir,
Turki, Indonesia, Emeriyah Arab Bersatu, Maghribi, Tunisia, Jordan,
Brunei dan Qatar.
Ini fakta dan data dikeluarkan oleh pihak yang berwibawa. Rakyat
Malaysia terdidik dengan nilai-nilai murni iaitu penerimaan dengan
menghormati bukan sahaja kebudayaan kaum masing-masing tetapi juga
pencapaian kaum tertentu hasil titik peluh sendiri.
Daripada 20 orang kaya di Malaysia, orang Melayu hanya tiga orang
(15 peratus) manakala Cina 16 orang (80 peratus) dan India seorang (lima
peratus).
Sehingga tahun 2008, bilangan profesional bumiputera ialah seramai
68,776 orang iaitu 42.5 peratus atau 0.33 peratus daripada bilangan
penduduk bumiputera di negara ini. Bilangan profesional kaum Cina pula
seramai 60,768 (45/5 peratus) daripada populasi penduduk Cina manakala
India (12,224 atau 0.64 peratus).
Pada 2008, jumlah pemilikan ekuiti ialah seperti berikut:
* Bumiputera sebanyak 21.9 peratus.
* Bukan bumiputera sejumlah 36.7 peratus.
* Warga asing pula sebanyak 37.9 peratus.
* Nominee sebanyak 3.5 peratus.
Sehingga 2008, data menunjukkan sasaran ekuiti bumiputera belum
mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu 30 peratus (DEB). Usaha perlu
terus dibuat untuk memastikan kedudukan ini tercapai (jumlah penduduk
bumiputera ialah 67 peratus). Bagaimanapun, kedudukan ekuiti bumiputera
boleh dianggap baik berbanding pada 1970 dengan bumiputera memegang 2.4
peratus sahaja. Jumlah peningkatan dari tahun 1970-2008 ialah sebanyak
19.5 peratus.
Bagaimana pula peratusan pemilikan premis perniagaan berdasarkan kaum?
Sehingga 2007, pemilikan bangunan oleh bumiputera berada pada kadar
15 peratus sahaja iaitu pemilikan bangunan (15.7 peratus), kompleks
perniagaan (29.2 peratus), premis perindustrian (3.5 peratus) dan hotel
(20.8 peratus).
Pemilikan terbesar ialah oleh kaum Cina iaitu 76.1 peratus dengan
mereka memiliki bangunan (75.7 peratus), kompleks perniagaan (61.9
peratus), premis perindustrian (87.2 peratus) dan hotel (54 peratus).
Kaum India pula memiliki 3.8 peratus daripada keseluruhan premis
perniagaan iaitu bangunan (4.3 peratus), kompleks perniagaan (2.9
peratus), premis perindustrian (1.5 peratus) dan hotel (2.7 peratus).
Pemilikan harta dalam kalangan bumiputera masih rendah berbanding orang
bukan bumiputera terutama kaum Cina.
Fakta-fakta yang dibentangkan oleh saya tadi hanya sekelumit
daripada kebijaksanaan akal fikiran rakyat Malaysia yang menjadikan
persefahaman sebagai asas untuk mengekalkan keharmonian, keamanan dan
ketenteraman di negara ini.
Apakah keadilan untuk semua belum tercapai? Kalaulah kita boleh
bertanya kepada Ketua Menteri Pulau Pinang -Mana satu yang betul Guan
Eng?"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan