LAPORAN Ketua Audit Negara Tahun 2011 (Audit 2011) menunjukkan
Pendidikan Industri YS Selangor Sdn. Bhd. (PIYSB) iaitu syarikat
subsidari Menteri Besar Selangor (MBI) yang bertanggungjawab
mengendalikan pendidikan Unisel dan Inspens mengalami peningkatan
kerugian selepas cukai 2008 - RM1.63juta, 2009 - RM13.36 juta dan 2010 -
RM39.69 juta.
Syarikat milik kerajaan negeri itu dilaporkan mengalami peningkatan
kerugian sebelum cukai sebanyak 198.1 peratus berbanding RM12.62 juta
pada 2009.
Sejak kerajaan negeri diperintah oleh DAP-PKR-Pas pada 2008, prestasi
pendapatan PIYSB semakin menurun. Menurut laporan itu, pendapatan PIYSB
pada 2008 - RM91.41 juta, 2009 - RM89.35 juta dan 2010 - RM71.82 juta.
Bukan itu sahaja kerugian terkumpul dan jumlah liabiliti PIYSB meningkat
pada tahun 2010.
Apakah yang mahu diselindungkan oleh kerajaan Selangor? Apabila
rakyat mempersoalkan tentang prestasi Unisel, unjuran pengambilan
pelajar yang semakin menurun, tangkas Menteri Besar, Setiausaha Politik
atau Exco Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan menafikan
perkara ini.
Audit 2011 telah menjelaskan kepada rakyat betapa lemahnya tadbir
urus korporat PIYSB apabila Jawatankuasa Audit dan Pemeriksaan tidak
ditubuhkan, audit dalam tidak berfungsi, Mesyuarat Agung Tahunan tidak
dijalankan dan prosedur operasi yang tidak diluluskan oleh Lembaga
Pengarah. Audit 2011 mengesahkan episod kelamnya pendidikan di Selangor.
Yayasan Selangor ditubuhkan pada 1970 yang berfungsi merangka
strategi pendidikan kepada masyarakat luar bandar telah membuat
keputusan untuk merobohkan dua buah asrama pusatnya di Kampung Pandan
atas tujuan pembangunan. Sedangkan matlamat asas penubuhan kedua-dua
asrama tersebut adalah memberi peluang kepada anak-anak kampung belajar
di sekolah terbaik di Kuala Lumpur.
Pembaziran, salah urus tadbir dan salah laku sumber manusia merupakan
bukti kegagalan sebuah institusi yang sepatutnya menumpukan kepada
kemudahan pendidikan berbanding dengan perkara-perkara lain. Pada masa
sama, Yayasan Selangor menghadapi kes saman RM1 juta oleh bekas Timbalan
Pengurus (Pendidikan) bersama 10 kakitangan lain.
Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) di Bagan Terap, Sungai
Besar tempat anak-anak muda Selangor membangunkan kemahiran teknikal
akhirnya ditutup. IKYS yang mula beroperasi pada Januari 2000 ditutup
kerana tidak memberi keuntungan kepada Yayasan Selangor dan kerajaan
negeri. IKYS dibina dengan kos RM25 juta.
Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) yang bertujuan mengurangkan jurang
kemiskinan menerusi strategi pendidikan kepada anak yatim dan miskin
akhirnya dipinggirkan oleh Menteri Besar. Yayasan terpaksa melupakan
hasrat untuk melihat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Serendah
apabila Menteri Besar enggan membenarkan pembinaan tersebut.
Baru-baru ini Mahkamah Tinggi memutuskan tanah seluas kira-kira 323.7
hektar yang dilucut hak oleh kerajaan negeri akhirnya dipulangkan
kepada Yayasan tersebut.
Unisel dengan siri-siri kekalutan pentadbirannya menyebab institusi
itu bukan lagi menjadi pilihan pelajar. Terlalu banyak insiden politik
yang menyebabkan imej Unisel terjejas.
Pelantikan Ahli Parlimen PKR - Merbok Kedah, Datuk Rashid Din memberi
isyarat seolah-olah sudah tiada lagi ahli politik di Selangor yang
berimej cendekiawan sedangkan Unisel adalah universiti milik kerajaan
negeri.
Kita juga tidak lupa apabila seramai 3,000 pelajar Unisel yang tidak
dapat menginap di kampus Bestari Jaya, terpaksa tidur di bilik rakan dan
surau berikutan pengurusan kolej kediaman Unisel yang enggan
membenarkan mereka menduduki asrama. Masalah itu didakwa berlaku kerana
Unisel tidak melunaskan kos pengurusan kolej kediaman kepada pihak
syarikat konsesi selama 17 bulan bagi kampus induk dan lapan bulan bagi
kos pengurusan asrama.
Episod empat tahun di bawah kepimpinan Khalid Ibrahim memberi gambaran yang kelam kepada rakyat.
Semakin banyak yang dimiliki hilang dan semakin banyak yang dipegang tertiris.
BUDIMAN MOHD. ZOHDI ialah Pengerus, Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan