MANILA 16 Okt. - Kepimpinan Malaysia terserlah di rantau ini kerana
negara dapat menyumbang kepada keamanan dan kesejahteraan terutama bagi
Bangsamoro dan kawasan selatan Filipina, kata Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak.
Najib berkata, Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro yang
ditandatangani antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam
Moro (MILF) semalam, susulan peranan fasilitator Malaysia sejak 2001
yang berjaya membuka lembaran baru bagi masa depan Bangsamoro di selatan
Filipina, yang turut memberi kesan lebih positif dalam konteks hubungan
dua hala Kuala Lumpur-Manila.
Namun Najib berkata, bukanlah perkara mudah untuk sesebuah negara
itu menjadi pemudah cara dalam konflik sebegini panjang dan Malaysia
berjaya dalam hal ini sehingga mendapat pujian dan penghargaan tinggi
dari Presiden Benigno Aquino III dan kerajaan Filipina.
"Kalau dua orang bergaduh biasanya tak boleh duduk semeja, jika ada
dua pihak terbabit dalam konflik, mereka tidak boleh duduk keliling meja
untuk mula bercakap dan berunding...melainkan ada pihak ketiga untuk
memudahkan perkara itu. Pihak ketiga ini bukan sebarangan, tidak boleh
sebarangan orang dan mesti berwibawa.
"Menggunakan istilah Aquino (Presiden Benigno Aquino III), kita
berjaya menjadi "honest broker" (broker yang jujur) antara kerajaan
Filipina dan MILF sehingga kerangka perjanjian yang ditandatangani di
Malacanang jadi realiti," katanya berucap di Majlis Mesra Bersama Rakyat
Malaysia, di sini, malam tadi. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan