ADAB dan akhlak adalah penarik kepada dakwah
Islamiyyah. Sejarah membuktikan, selain daripada kebenaran Islam, akhlak
terpuji yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW merupakan pemangkin kepada
penyebaran agama Islam.
Akhlak yang mulia inilah juga menyebabkan bangsa-bangsa lain selain
Arab, memeluk agama Islam. Ini terbukti dengan Islamnya umat Melayu di
rantau sebelah sini di tangan ulama-ulama dan pedagang-pedagang dari
Tanah Yaman dan benua kecil India.
Adab dan akhlak yang keji menjauhkan manusia dari dinul Islam. Bukan
setakat menjauhkan, tetapi membawa fitnah pula kepada agama itu sendiri.
Guru-guru agung Islam mengagaskan ilmu yang tinggi membentuk akhlak
yang mulia.
Umpama resam padi, makin berisi sepatutnya semakin tunduk jadinya,
bukan seperti resam anjing, makin kecil saiz tubuhnya tetapi makin
garang dan makin kuat salakannya. Bagi popularis agama, contoh dan
teladan guru-guru agung sama ada warisan Islam mahupun Barat tidak
dijadikan amalan.
Dalam ilmu Islam, al-Quran dan Sunnah merupakan asas kepada semua
hukum agama. Tiada alasan ataupun pegangan yang boleh menafikan dua
sumber ini. Perkara ini amatlah dipegang oleh ulama'-ulama' Ahli Sunnah
Wal Jamaah rujukan kita zaman-berzaman.
Tradisi Barat menganugerahkan ijazah kedoktoran sebagai satu
pengiktirafan kepada pemegangnya untuk menyelidik dan membahas ilmu
secara rasional mengikut struktur dan kaedah ilmu dalam bidang
masing-masing. Namun, ia bukanlah lesen untuk membolehkan seseorang itu
menganggap dirinya sahih malah lebih sahih dari al-Quran dan Sunnah.
Adab ini sengaja tidak difahami oleh golongan popularis agama. Jika
ada perbahasan berkaitan ilmu Islam terutamanya dalam bab muamalat
sesama manusia yang mereka berkepentingan, maka ditolaklah al-Quran dan
hadis serta dinaikkan garapan idea mereka, dan falsafah-falsafah
reformis kristian melawan garis panduan ilmu agama Islam.
Dengan itu, pengikut mereka terkeliru dengan gagasan awal mereka yang
pada mulanya kononnya berdasarkan jejak salafussoleh. Ini kerana apa
yang didengar pengikut mereka sesuai dengan apa yang dikehendaki oleh
nafsu mereka dan bukannya berdasarkan nas yang sahih.
Golongan ini malah melabel mereka-mereka yang tetap istiqomah
berpegang kepada al-Quran dan Sunnah dengan pelbagai label seperti
literalis dan jumud malah sentiasa berusaha mengadudombakan golongan ini
dengan para ilmuwan agama yang berlainan aliran agar dapat menangguk
populariti di air yang keruh.
Popularis agama mempunyai sifat aneh. Di dalam al-Quran, telah
disebutkan bahawa orang mukmin itu sewajarnya bersifat lemah-lembut
sesama mukmin. Popularis agama walaupun mengaku mengikut seruan
salafussoleh, tetapi mereka tidak segan-silu mengkritik ulama-ulama
gerakan ini tanpa menyelidiki hujah dan nas yang menjadi asas kepada
terbitnya suatu hukum sesuai dengan keadaan sosio-budaya negara ulama
terbabit.
Contohnya, popularis agama mengeji pendapat ulama Saudi yang
mengharamkan wanita memandu. Ya, tidak salah untuk mengkritik tetapi
sebagai seorang yang memakai baju akademik, pendapat tersebut sepatutnya
difahami asbabnya dan kemudiannya dicabar dengan nas dan hujah bukannya
dikeji dan dijadikan bahan ketawa.
Popularis agama kononnya tidak bersetuju pendapat ulama Saudi atas
hak asasi dan juga mahu keluar dari kejumudan tetapi mereka tidak pula
mengkritik tindakan mundur United Kingdom (UK) sebuah negara bukan
Islam, yang masih mengenakan lesen terhadap pemilikan televisyen dengan
harga yang mahal dan mengenakan denda berat terhadap mereka yang
melanggar peraturan yang tidak munasabah di era keterbukaan dan
teknologi maklumat ini.
Ketakutan bagi mereka yang menyimpan televisyen secara haram di UK
lebih kurang sama sahaja dengan ketakutan bagi orang yang menyimpan
radio di zaman penjajahan Jepun. Tidak pula mereka mengkritik tindakan
kuno kerajaan Britain apabila mereka berada di bumi UK, jauh sekali
memuji keterbukaan penguasa negara kita dan negara Islam yang lain dalam
hal penyebaran maklumat. Sifat mengampu mereka juga amat jelik sekali.
Mereka tergamak mengampu kerabat diraja British tetapi mencemuh dan
mencerca sultan sendiri tanpa malu, bagi memenuhi selera
pengikut-pengikut popularis yang gemar mahu pandangan yang mengikut
nafsu politik mereka.
Maka, sebenarnya, kritikan mereka bukanlah berpunca daripada
keikhlasan popularis agama dalam memperjuangkan hak bersuara tetapi
sekadar memperlekehkan segolongan ulama tertentu untuk membolehkan
mereka menyuntik agenda popularis mereka untuk menyimpangkan pengikut
mereka daripada jalan al-Quran dan Sunnah.
Begitu juga adab dan akhlak mereka dengan ulama yang tidak sealiran.
Kadangkala kebiadapan mereka berhujah dengan ulama terutamanya bertaraf
senior menyebabkan ulama berkenaan jauh hati dan mencari punca asbab
kebiadapan popularis agama.
Lalu, ideologi dan guru-guru agung gerakan salafussoleh seperti Ibn
Taymiyyah, Ibnul Qayyim dan Muhammad ibn AbdulWahhab yang terkena
getahnya kerana disangka aliran inilah yang menerbitkan akhlak yang
rendah. Maka, terselamatlah popularis agama dan malanglah bagi gerakan
salafussoleh gerangan bantahan dari ulama-ulama yang tidak sealiran.
Benar, barangkali popularis agama mempunyai hujah yang lebih dekat
dengan kebenaran dalam isu tertentu, tetapi bukankah dengan akhlak yang
mulia, suasana harmonis boleh tercipta. Sedangkan Nabi Musa pun
berdakwah kepada Firaun dengan lemah-lembut dan akhlak yang mulia,
inikan pula dengan ulama-ulama tidak sealiran yang lebih senior dan
berusia?
Kebebasan bersuara dan mengkritik selalu dilaungkan. Namun,
hakikatnya, ini hanyalah bersifat propaganda. Popularis agama tidak
berani berforum dan berdebat di hadapan khalayak yang bukan
penyokongnya. Tetapi, kononnya mencabar mereka yang tidak sealiran
dengan mereka untuk berforum atau berdebat di hadapan audiens, moderator
dan tajuk yang ditentukan oleh mereka sendiri.
Kebenaran tidak akan tumpas walaupun di hadapan majoriti yang
menentang sebesar mana sekalipun. Mereka hanya mahu popular tanpa
mempedulikan kebenaran. Jika tersebar pendapat yang tidak bersetuju
dengan pandangan mereka, ini akan menjatuhkan persepsi penyokong mereka
bahawa pendapat popularis agama adalah pendapat yang tidak boleh dicabar
kesahihannya. Justeru mereka memilih untuk mencabar orang lain berdebat
hanya di medan yang mereka yakini boleh memenangi sorakan dan bukan
menegakkan kebenaran.
Popularis agama hanya mampu berkomunikasi satu hala. Jika pandangan
berbeza disuarakan di dinding media sosial mereka, popularis agama tidak
segan untuk menyekat suara tersebut atas dasar tuan rumah sepatutnya
dihormati dan menghalau unsur tidak baik kononnya.
Tetapi, apabila berhadapan dengan pemerintah, mereka menyokong pula
demonstrasi yang tentu menyusahkan rakyat untuk bergerak, membeli-belah
dan mengunjungi majlis-majlis kenduri-kendara. Ini semata-mata untuk
membolehkan mereka kekal untuk popular di kalangan golongan tertentu
agar terus diangkat sebagai ulama berjiwa rakyat. Tetapi, cubalah rakyat
yang sama mendemonstrasikan rasa tidak setuju dengan pendapat mereka,
tentu sekali akan disekat dan dibentak mereka.
Popularis agama bukanlah mereka yang berani berhujah dalam suasana
yang adil. Sifat ini walaupun sering mereka laungkan untuk orang lain
terutamanya kaum pemerintah, tetapi gagal dipraktikkan oleh mereka di
alam realiti. Mereka boleh mencandui pengikut dan penyokong mereka,
tetapi bagi yang lain, mereka ini tidaklah lebih dari hanya sang badut
agama.
Akhlak mereka menyebabkan mereka yang berpegang teguh pada al-Quran
dan Sunnah dicemuh dan dicaci serta nama-nama ulama terdahulu terkesan
dari perbuatan mereka. Pembersihan jiwa dan metod mengikut jalan para
sahabat, dan ulama terkemudiannya adalah ubat kepada masalah moral
popularis agama yang semakin kronik dan parah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan