Pages

14 Oktober 2012

Mursyidul Am Pas tidak demokratik ketepikan ahli

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersikap tidak demokratik apabila mengetepikan pandangan ahli akar umbi parti itu yang membantah kerjasama dengan DAP.
Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, isu yang dibangkitkan sebahagian ahli Pas itu agak besar dan sepatutnya dibincangkan dalam satu muktamar khas.
Menurut beliau, Menteri Besar Kelantan itu seharusnya sedar sebarang keputusan berhubung isu tersebut amat penting kerana kesannya boleh mempengaruhi masa depan negara.
“Ahli-ahli dan pemimpin akar umbi Pas tidak faham mengapa parti itu sanggup mempertahankan ‘tahaluf siyasi’ yang dijalin dengan DAP yang secara terang-terangan menolak Islam, malah pemimpin-pemimpin DAP tidak menyembunyikan hasrat untuk meminda Islam sebagai agama Persekutuan.
“Nik Abdul Aziz juga menafikan kegelisahan yang timbul dalam kalangan pimpinan Pas peringkat cawangan dan kawasan yang kurang senang apabila parti tersebut memilih untuk terus bersama dengan DAP dalam pakatan pembangkang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ismail Mina mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz semalam yang menegaskan Pas akan terus bekerjasama dengan DAP untuk mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 walaupun mendapat tentangan daripada ahli akar umbi.
Mursyidul Am Pas itu berkata, parti berkenaan hanya akan memenangi pilihan raya jika meneruskan kerjasama itu kerana memerlukan sokongan pengundi bukan Melayu.
Menurut Ismail Mina, Menteri Besar Kelantan itu sewajarnya memandang serius pandangan ahli Pas seumur hidup, Prof. Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad yang menyifatkan perjuangan politik Pas kini tidak lagi menepati kehendak Islam apabila bekerjasama dengan DAP.
“Kita semua mengenali Shahnon sebagai seorang aktivis Pas yang intelektual. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan Pas apabila Shahnon mengeluarkan kenyataan tersebut," ujarnya.
Selain itu, beliau memberitahu, Nik Abdul Aziz juga perlu melihat tindakan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din mempertahankan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa yang meminta parti mempertimbangkan semula hubungan dalam pakatan pembangkang sebagai satu petunjuk penting.
“Berdasarkan kenyataan-kenyataan Nik Abdul Aziz baru-baru ini, kita dapat menyimpulkan bahawa beliau tidak memahami situasi semasa ‘religio-politics’ di negara ini.
“Saya berpandangan Pas seharusnya membuka ruang untuk bekerjasama dengan UMNO yang konsisten mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan sekiranya mereka mahu mendapatkan kuasa," katanya.
Ismail Mina berkata, kemelut yang dihadapi Pas pada masa ini mungkin berpunca daripada gaya kepemimpinan Nik Abdul Aziz yang lemah sehingga menyebabkan beliau terpaksa tunduk kepada kehendak-kehendak puak Anwarinas.
Sementara itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia, Abdullah Zaik Abdul Rahman berpandangan Pas boleh menganjurkan satu referendum bagi mendapatkan keputusan berhubung isu kerjasama parti tersebut dengan DAP.
“Kritikan terhadap DAP bukan sahaja disuarakan oleh ahli-ahli akar umbi tetapi turut diluahkan oleh pimpinan golongan ulama dalam parti termasuk Haron, Nasharudin dan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib," katanya.
Menurut beliau, pucuk pimpinan Pas juga perlu menangani kecelaruan yang berlaku di peringkat akar umbi yang tidak pasti sama ada parti tersebut akan berpegang kepada prinsip perjuangan asalnya atau terus bersama DAP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan