TAJUK besar di atas juga boleh berbunyi seperti ini: Kisah politik
anak-beranak, politik ketamakan, fobia kalah, persaingan dan rivalry?
Sedar atau tidak di Kedah sekarang sedang berlaku satu krisis pentadbiran yang cukup kronik.
Pas negeri itu sudah mula menentang secara berdepan dengan Perkhidmatan Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS).
Tidak pernah dalam sejarah cemerlang dan terbilang lebih 100
tahunnya, KCS diperlakukan sebegini buruk - lebih buruk daripada episod
penyapu di Selangor dulu.
Dikatakan, krisis KCS dengan bekas MB Kedah, Tan Sri Sanusi Junid dulu pun tidak seberat ini.
Pas kini amat bimbang sangat dengan KCS yang terlalu profesional,
mengikut buku dan tidak mendengar cakap mereka. Pas merasakan KCS perlu
dijinakkan menjelang pilihan raya umum ini.
Masanya bagi Pas sudah terlalu suntuk.
Oleh itu SUK Kedah (SS atau Setiausaha Kerajaan Negeri), Datuk Rasli Basir perlu dijatuhkan.
Jika SUK enggan turun, maka beliau perlu dipaksa turun. Jika itu pun gagal, Pas merasakan satu rampasan kuasa perlu dilakukan.
Oleh itu, pemberontakan harus dilancarkan sekarang.
Perlu diingat dalam konteks KCS Kedah, ia terletak di bawah Istana
Kedah atau Tuanku al-Sultan Kedah selaku Yang di-Pertuan Agong,
sepenuhnya.
SUK sekarang baru sahaja disambung perkhidmatan selama setahun lagi
dari Jun 2012 sehingga Jun 2013 oleh Tuanku al-Sultan (bukannya oleh MB
Azizan Razak!).
Dalam erti kata mudah pegawai-pegawai KCS merupakan anak-anak
peliharaan Tuanku Sultan. Seluruh rakyat Kedah amat memahami "hubungan
sunyi" itu. Persoalannya adakah Pas dan konco-konconya tidak atau tidak
mahu memahaminya?
Bagi orang Melayu melanggar perintah, arahan, perkenan sultan dan raja-raja merupakan satu penderhakaan.
Episod drama Pas ini bermula ekoran keputusan SUK menukar DO (Pegawai
Daerah) Kubang Pasu yang juga menjalankan tugas YDP Majlis Daerah
Kubang Pasu, Ahmad Fisol Md. Nor, berkuat kuasa 1 Oktober lalu. Tempat
Fisol, sebaliknya diambil alih oleh DO Kuala Muda (tiada status YDP),
Datuk Abdul Aziz Abdul Ghani.
Isu itu diambil kesempatan oleh kerajaan Pas Kedah dengan menggunakan
ahli-ahli Majlis Kubang Pasu terdiri daripada pengikut tegar Pakatan
Rakyat yang dikepalai Pas, untuk memberontak.
Lebih malang pemberontakan ke atas SUK dan KCS ini sekarang
diperluaskan ke seluruh negeri. Puak-puak yang mahu menjatuhkan SUK cuba
mengadu-dombakan keadaan.
Pas tidak mahu DO Fisol ditukar. Saya tidak pasti permainan siapakah ini? Namun jom kita lihat susur-galur kepada krisis ini.
SUK mengatakan tindakannya menukar DO Fisol ke Kuala Muda sebagai sah
setelah mendapat perkenan Sultan dan mengikut undang-undang. Sebaliknya
DO Kuala Muda, Abdul Aziz ditukar ke Kubang Pasu juga sah. Ia merupakan
satu proses pentadbiran yang biasa.
Pejabat Menteri Besar membantahnya. Tapi mengapa MB dan Exco-exconya terlalu membantah?
Sebenarnya isu di sebaliknya ialah juga berhubung kait dengan salah
seorang Exco Kedah, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan
Perumahan Kerja Raya Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Ir.
Amiruddin Hamzah yang bercita-cita mahu menjadi MB menggantikan Azizan
yang asyik uzur.
Amiruddin juga mahu mematikan terus pengaruh salah seorang lagi Exco
YB Phahrolrazi Zawawi selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan,
Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga negeri, yang merupakan pesaingnya
untuk jawatan MB. Difahamkan Phahrolrazi disukai oleh SUK.
Amiruddin cuba mempengaruhi MB yang uzur, yang tidak dapat menerima
keputusan al-Tuanku Sultan Kedah menyambung kontrak SUK selama satu
tahun.
Calon SUK yang mereka idamkan bukan SUK sekarang kerana bukan Pak
Turut mereka, tetapi adalah Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Mohd.
Puat Mohd. Ali, seorang pegawai lebih junior berbanding pegawai-pegawai
kanan termasuk Pengarah Tanah Negeri dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi
Negeri yang baru bersara, Datuk Bashirudin.
Alasannya mudah kerana cita-cita mereka boleh dilaksanakan melalui Puat.
Mereka juga mahu Fisol kekal di Kubang Pasu dengan jawatan sebagai DO
dan YDP. Difahamkan isteri Fisol pula ialah anak saudara kepada isteri
Puat. Puat pula ialah sepupu MB Azizan.
Saya sungguh pening dengan hubungan anak beranak ini. Adakah unsur nepotisme juga memainkan peranan?
Sebagai SUK, Puat juga dikatakan boleh mewarnakan KCS selari dengan politik Pas lebih-lebih lagi diambang PRU 13 ini.
Kumpulan ini, diperkuatkan dengan penglibatan beberapa pegawai
Persekutuan yang dikatakan bermuka Pas dan menafsir semua peraturan,
norma dan undang-undang, selari dengan kehendak kerajaan Pas demi
kelangsungan hidupnya.
Dalam kes pertukaran DO Kubang Pasu, Penasihat Undang-Undang gagal
menasihatkan secara betul berhubung penafsiran Akta 171 PBT 1976 dalam
perlantikan Yang Dipertua (YDP) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan
dibaca bersekali dengan keputusan Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT)
berhubung YDP yang menjadi amalan seluruh Malaysia.
Di bawah Akta 171 itu, pertukaran ke jawatan Yang Dipertua Majlis
Daerah Kubang Pasu tidak dibuat terlebih dahulu untuk mendapat kelulusan
kerajaan negeri.
Penasihat Undang-Undang dikatakan gagal menasihatkan kerajaan
berhubung ada kuasa-kuasa SUK yang tidak boleh disentuh yang menjadi
amalan selama ini.
Beliau tidak bersama SUK sebab tiada untung, tetapi selesa bersama
MB, YB Amiruddin dan Puat bagi maksud yang tersirat untuk menjatuhkan
SUK.
Puat, YB Amiruddin dan Penasihat Undang-Undang menganggap KCS bukan sahabatnya sebab dilihat sebagai bukan penyokong Pas.
Berikutan daripada itu, pada 3 Oktober lalu mesyuarat Exco memutuskan seperti berikut:
n Membatalkan pertukaran DO Ahmad Fisol dengan melantik semula Ahmad Fisol sebagai YDP dan DO Kubang Pasu.
Ini jelas berlawanan dengan ketetapan yang diputuskan oleh MNKT kerana Ahmad Fisol bukan lagi YDP dan DO Kubang Pasu.
n Melarang SUK daripada membuat pertukaran pegawai-pegawai KCS
sehingga PRU 13 dan melarang SUK daripada menandatangani memo
pertukaran.
n Melaksanakan keputusan itu secepat mungkin.
Dengan keputusan ini mereka mengisytiharkan peperangan ke atas institusi KCS yang berpaksikan Tuanku Sultan.
Seluruh rakyat Kedah khasnya, dan rakyat Malaysia amnya, sedang menyaksikan satu krisis pentadbiran yang sangat gawat.
Kita tidak pasti sampai bila peperangan ini akan berakhir. Perlu
diingat sejarah KCS selama lebih 100 tahun cukup unik dan ia sepatutnya
dipelihara selama-lamanya.
Kita berharap puak-puak Pas yang baru mendapat bunga ini, tidak menjahanamkan KCS!
Bagi UMNO negeri pula, mengapa senyap sepi saja? Sokonglah KCS...!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan