KLUANG 7 Okt. - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan tindakan pembangkang yang semakin
kerap menggembar-gemburkan isu agama dan perkauman sejak akhir-akhir ini
adalah semata-mata atas kepentingan politik mereka terutama apabila
pilihan raya umum semakin dekat.
"Setiap kali (semakin dekat) pilihan raya umum atau kecil, mereka
akan menimbulkan isu-isu sedemikian," katanya kepada pemberita selepas
Karnival Jelajah Sihat Bersama Komuniti dan perasmian Klinik 1Malaysia
Taman Seri Lambak, di sini, hari ini.
Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, tindakan itu jelas semata-mata atas kepentingan politik mereka.
"Bila jumpa penganut Kristian mereka (pembangkang) cakap macam ini...
bila jumpa penganut Islam dan Buddha mereka cakap begitu.. Mereka buat
pertimbangan bahawa pilihan raya umum tidak lama lagi, jadi mereka fikir
memang sesuai untuk gembar-gemburkan isu kaum, isu agama ketika ini,"
katanya.
Hishammuddin yang juga Anggota Parlimen Sembrong berkata, demikian
sebagai mengulas tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang
meminta penganut Kristian supaya tidak berdiam diri walaupun merasakan
mereka "tidak bersalah, suci dan tidak terlibat dalam perbuatan salah"
ketika berucap di hadapan 300 pemimpin gereja, baru-baru ini.
Bishop Gereja Lutheran Evangelical, Rt Rev Dr. Solomon Rajah kemudian
turut menyifatkan permintaan Lim supaya pihak gereja bangkit menyatakan
ketidakadilan seperti dilaporkan portal berita propembangkang, Malaysiakini itu, hanya akan dilihat sebagai satu usaha untuk mempengaruhi pihak gereja agar berpolitik.
Hishammuddin berkata, setiap rakyat perlu memahami taktik yang
digunakan pembangkang itu dan sekali gus berusaha membentuk gelombang
yang membina bagi melawan perkara buruk yang dibawa pembangkang.
Katanya, rakyat juga perlu faham bahawa pelbagai isu akan berleluasa
pada "musim politik" ini terutamanya isu lapuk yang akan dibangkitkan
semula oleh pembangkang.
"Serangan peribadi ke atas pemimpin juga isu biasa bagi mereka (pembangkang).
"Kita jangan ikut rentak mereka. Jangan lawan buruk dengan buruk,
tetapi lawan buruk dengan baik. Kita mengamalkan politik sihat dan dapat
diterima semua pihak. Kita tidak bawa politik sempit dan jalanan,"
tegasnya. — BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan