Pages

14 Oktober 2012

'Pemimpin tamak, Islam hancur'

KOTA BHARU 10 Okt. - Sikap tamak pemimpin Islam terhadap kuasa berbanding kepentingan agama akan hanya menyebabkan kehancuran kepada umat Islam.
Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah berkata, sikap tamat sedemikian juga boleh membawa kehancuran kepada negara Islam, selain mencalar kesucian agama Islam itu sendiri.
Beliau berkata, pemimpin Islam sepatutnya lebih mengutamakan usaha mengukuhkan kedudukan Islam dan umat Islam, mengambil kira pelbagai cabaran yang dihadapi oleh umat Islam sekarang.
"Sikap tamak kuasa itu juga boleh membawa kepada hilangnya kemuliaan agama dan umat Islam itu sendiri apabila mereka saling bertelagah sesama sendiri semata-mata hendak mengejar kuasa.
"Lebih buruk lagi, akibat tamakkan kuasa, mereka sanggup pula bersekongkol dengan golongan kafir atau bukan Islam, sedangkan sesama Islam sering bertelagah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa yang menyelar pemimpin-pemimpin Islam yang sanggup mengetepikan kepentingan agama demi kuasa.
Ketika menyampaikan kertas kerja bertajuk 'Dakwah Islamiyah Mendepani Kemelut Politik Semasa Malaysia' dalam Seminar Dakwah Nasional di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (PWTC) semalam, Nasharudin berkata, golongan tersebut lebih mementingkan maslahah dan strategi daripada melaksanakan prinsip asas dalam Islam semata-mata disebabkan percaturan politik.
Mengulas lanjut, Abdullah yang bersetuju dengan pandangan Nasharudin itu berkata, pemimpin Islam pada hakikatnya lebih bertanggungjawab menjaga kemaslahatan umat Islam, berbanding kuasa.
Malah kata beliau, antara tanggungjawab pemimpin Islam ialah mengukuhkan perpaduan sesama umat Islam, bukannya menjalin kerjasama dengan golongan bukan Islam, lebih-lebih lagi kumpulan yang dilihat mampu menguasai mereka.
"Yang penting, tegakkan hukum Islam, kehendak agama wajib dilaksanakan termasuk jangan mewujudkan permusuhan sesama Islam.
"Sekiranya pemimpin Islam lebih gilakan dan mengejar kuasa, tidak melaksanakan tanggungjawab mereka sebagaimana dikehendaki oleh agama, maka ia merupakan bahaya besar dan kehancuran besar kepada umat Islam," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan