KUALA LUMPUR 14 Okt. - Kerajaan Indonesia pernah meminta kerajaan
negara ini memantau kegiatan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) kerana
pertubuhan tidak berdaftar itu dipercayai cuba menggugat keharmonian
negara tersebut pada lewat 90-an.
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Kedah, Zamil Ibrahim (gambar)
mendedahkan, campur tangan pertubuhan propembangkang berkenaan terhadap
isu Timur Timor mengakibatkan Indonesia kehilangan wilayah tersebut
dengan wujudnya sebuah negara Timor Leste.
Katanya, Suaram dalam kaitan dengan isu kemerdekaan Timor Leste itu
banyak mengaturkan program, bengkel dan mesyuarat serta meminta campur
tangan dunia luar terutama dari Barat.
"Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution
bersama beberapa Exco Pemuda UMNO pernah menceroboh sebuah hotel di
Kuala Lumpur kerana marahkan Suaram sebab menggugat hubungan baik
Malaysia dan Indonesia.
"Ketika itu, Saifuddin yang merupakan Setiausaha Pemuda UMNO membuat
serbuan kerana Suaram mengadakan program berhubung isu Timur Timor di
Malaysia. Walau bagaimanapun, beliau ditangkap kerana menceroboh.
Saifuddin boleh sahkan perkara ini," dakwanya dalam kenyataan di sini
hari ini.
Beliau mengulas kecaman pelbagai pihak terhadap Suaram ekoran
pendedahan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan,
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pertubuhan itu menerima dana
lebih RM0.5 juta daripada penyangak mata wang berketurunan Yahudi,
George Soros antara 2007 hingga 2010.
Jelas Zamil, kebanyakan individu yang terlibat dalam tindakan
menggugat kestabilan negara jiran berkenaan pada ketika itu kini menjadi
Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) terutama di Selangor
selain memegang jawatan dalam PKR.
Sehubungan itu, kata beliau, rakyat Indonesia perlu mengetahui pihak
yang pernah menggugat kestabilan negara mereka kini berada dalam parti
yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim, individu yang dipuja di negara
tersebut.
"Saya hairan sebab penderitaan umat Islam di Mindanao, Rohingya,
selatan Thailand dan Gaza tidak pula terdapat dalam agenda Suaram.
"Saya tidak terkejut jika fail-fail yang dimahukan kerajaan daripada Suaram boleh berada di Timor Leste kini," katanya.
Zamil turut mencabar pemimpin pembangkang yang pernah menentang
Suaram terutamanya Saifuddin sendiri menafikan dakwaan beliau tersebut.
Pada masa sama, beliau meminta kerajaan tidak memandang remeh
keterlibatan Suaram dalam pelbagai isu melibatkan keselamatan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan