Ahli-ahli Pas perlu menunjukkan
keberanian untuk mengenegahkan beberapa isu yang kini menjejaskan imej
Pas sebagai sebuah parti Islam dalam muktamar tahunan di Kota Bharu,
minggu depan.
*****
Bersatulah wahai kaum muslimin
Dengan obor sinar kebahagiaan
Berjihadlah wahai kaum muslimin
Biar syahid ataupun kemenangan
Berjuanglah wahai Ansorullah
Dengan matlamat daulah Islamiah
Berkorbanlah wahai yang beriman
Dengan harta dan segenap kepunyaan
Bergeraklah ke gerbang jasa
Kalah menang bukan alasannya
Sucikanlah niat di hati
Hingga nyata benarnya janji Rabbi
Selamatlah parti Islam melangkah
Membimbing ummah ke medan siasah
Berpedomankan Al Quran dan Sunnah
Suburlah hidupnya dan pasti berbuah....
ITULAH antara lirik lagu tema rasmi Pas 'Berjihadlah' yang harus
difahami oleh perwakilan Pas sebelum mereka melangkah ke Kota Bharu,
Kelantan untuk menghadiri muktamar tahunan parti itu selama lima hari
mulai Rabu ini.
Sebelum Pas terus dibuai dengan mimpi-mimpi indah untuk menawan
Putrajaya, menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan menggantikan UMNO,
mereka juga perlu bermuhasabah untuk menentukan apakah Pas kini berada
di landasan bagi merealisasikan apa yang mereka lafazkan dalam lagu tema
rasmi mereka itu.
Tetapi persoalannya, sejauh manakah perwakilan ke muktamar berkenaan
mempunyai keberanian untuk mengetengahkan beberapa perkara atau masalah
pokok yang dianggap telah mencalarkan imej Pas sebagai sebuah parti yang
memperjuangkan Islam dan dianggap paling berwibawa berbanding Parti
Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Berikut penulis gariskan beberapa perkara pokok yang perlu perwakilan
Pas bangkitkan jika benar mereka bercita-cita untuk melihat parti itu
tidak akan menjadi lebai malang menang sorak kampung tergadai:
l HALA TUJU - Persoalan ini adalah perkara pokok paling utama
yang perlu diberi perhatian oleh perwakilan Pas jika benar mereka ingin
bersorak gembira dalam pilihan raya umum nanti. Mungkin ketika di
muktamar, perwakilan akan dibuaikan dengan alunan kononnya rakyat kini
sudah bersama pakatan pembangkang yang turut dianggotai PKR dan DAP.
Himpunan Hijau ke Putrajaya dan Himpunan Kebangkitan Rakyat akan
dijadikan contoh kononnya, rakyat semakin tidak sabar untuk bersama-sama
dengan pakatan pembangkang untuk menumbangkan kerajaan BN. Persoalannya
apakah semua itu benar atau ia sekadar untuk menghilangkan keresahan
berikutan semakin ramai khususnya dalam kalangan umat Islam
tertanya-tanya ke arah mana perjuangan Pas sekarang.
Keadaan itu berlaku kerana sejak 2004 semakin terserlah 'kerelaan' Pas untuk mengubah dasar perjuangannya.
Ketika awal-awal penubuhannya dulu, Pas bercakap soal kemerdekaan
yang boleh ditegakkan hukum Islam dan mendesak Islam dijadikan dasar
negara.
Pada akhir tahun 1956, ketika mengambil alih pucuk pimpinan Pas, Dr
Burhanuddin al-Helmy pernah berkata,''Dalam perjuangan kita (Pas) bagi
mencapai kemerdekaan, kita telah dan terus menerus memperjuangkan Melayu
itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di
atas asas ideologi Islam yang maha suci".
Persoalannya, apakah perjuangan Pas sekarang demi menegakkan
perjuangan Islam yang maha suci atau hanya sekadar untuk merebut kerusi?
Jika persoalan ini tidak berani dibangkitkan oleh perwakilan maka
tidak usahlah berdegar-degar bercakap soal hendak menegakkan perjuangan
Islam.
- IMEJ PAK TURUT - Perwakilan Pas perlu bertanya kepada
barisan kepimpinan, apakah imej ini sekadar satu persepsi atau realiti.
Ia memandangkan sepanjang bersahabat dengan PKR dan DAP, Pas yang
ditubuhkan oleh sekumpulan ulama bukan lagi sebuah parti yang digeruni.
Perjuangan Islam yang menjadi teras kewujudan Pas semakin ditinggalkan
apabila parti itu bekerjasama dengan kedua-dua parti berkenaan atas nama
tahaluf siyasi.
Penulis akui, dalam sebuah masyarakat majmuk seperti biasa, Pas tidak
boleh bersendirian dalam perjuangan politiknya tetapi janganlah sampai
kerana kemaruk hendak berkuasa maka prinsip sendiri pun ditinggalkan.
Sepanjang berada dalam pakatan pembangkang, Pas dilihat telah
mencemarkan imej Islamnya dan sebagai sebuah parti yang berwibawa.
Walaupun sejarah perjalanan politik Pas jauh lebih hebat berbanding DAP
dan PKR namun Pas dilihat sentiasa tunduk dengan kehendak politik
kedua-dua parti itu.
Selain mengubah perjuangan negara Islam kepada negara berkebajikan
dengan alasan negara berkebajikan juga adalah sebahagian pengisian dalam
negara Islam, Pas juga bersedia memecat mana-mana pemimpinnya yang
dilihat boleh menggugat hubungan mereka dengan PKR dan DAP.
Pas terlalu sayangkan hubungan tersebut sehinggakan ada yang melihat
apa yang boleh dikorbankan harus dikorbankan hatta prinsip perjuangan
sendiri sekali pun.
Jika perwakilan muktamar tidak bersetuju dengan pandangan ini, apatah
lagi tersinggung dengan panggilan 'pak turut' ini, mereka perlu
mendesak supaya Pas diberi peluang bertanding lebih banyak kerusi
berbanding PKR dan DAP.
Pas perlu mendesak supaya PKR bersedia mengorbankan kerusinya untuk
Pas bagi membolehkan parti itu memenangi banyak kerusi. Lagi pun apa
yang hendak dirisaukan, kalau betul PKR dan DAP sudah 'bertahaluf
siyasi' dengan Pas, sudah pasti mereka akan berusaha bersungguh-sungguh
memastikan kemenangan Pas.Melalui cara sedemikian barulah Pas akan
menjadi sebuah parti yang dominan dalam pakatan pembangkang dan bukan
sekadar pak turut.
l HUKUM HUDUD - Beranikah perwakilan ke muktamar untuk
bertanya kepada kepimpinan mereka sejauh manakah ikhlasnya Pas
memperjuangkan hukum hudud. Ia memandangkan ramai yang berpendapat hukum
hudud hanya modal politik Pas menjelang pilihan raya.
Kalau benar Pas mahu melaksanakan hukum hudud maka mereka perlu tegas
dan bukannya berdolak-dalik dengan memberikan seribu satu alasan.
Tindakan terbaru dengan menyerang habis-habisan Presiden MCA, Datuk Seri
Dr.Chua Soi Lek yang dikatakan menghina hukum Islam apabila menolak
hukum hudud versi Pas tidak akan mampu menutupi persepsi bahawa hukum
tersebut hanya mainan politik Pas.
Kalau betullah Pas menganggap kenyataan Soi Lek suatu penghinaan
kepada hukum Islam, bagaimana pula dengan pemimpin-pemimpin DAP yang
dilihat dulu, kini dan selamanya menolak hukum tersebut.
Jika alasan pemimpin DAP tertentu tidak faham Islam kerana mereka
bukan Islam, bagaimana pula dengan Soi Lek? Apakah kerana Soi Lek
daripada BN maka itu dilihat 'lebih besar kesalahannya' berbanding
pemimpin DAP yang menolak hukum hudud?
Pas tidak boleh bersikap hipokrit dalam isu hukum hudud, kalau betul
mereka mahu melaksanakan hukum berkenaan apabila pembangkang memenangi
pilihan raya, maka perwakilan perlu mendesak supaya ia dimasukkan dalam
agenda Buku Jingga pakatan pembangkang.
Atau paling tidak pun ia dijadikan agenda utama dalam manifesto
pakatan itu dalam pilihan raya umum nanti. Kalau itu tidak dilakukan,
tidak payahlah perwakilan membuang masa untuk menunjukkan kononnya
mereka terkilan apabila hukum hudud versi Pas dikritik oleh Soi Lek.
l PENEGAK KEBENARAN ATAU PENTINGKAN KUASA - Salah satu sebab
kenapakah imej Pas tercalar adalah akibat kenyataan dan tindakan
mengelirukan parti itu dalam berhadapan dengan pelbagi isu. Paling
ketara ialah sikap Pas yang bersedia berkompromi apa sahaja jika
melibatkan pemimpin PKR dan DAP biar pun bertentangan dengan imej Pas
sebagai sebuah parti Islam yang sepatutnya berpegang kepada hakikat yang
benar itu benar, yang batil itu batil.
Sememangnya terdapat terlalu banyak isu yang memperlihatkan Pas
sanggup menjadi 'pejuang bisu' jika ia melibatkan pakatan pembangkang.
Terbaru isu kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar. Pemimpin Pas
lebih selesa menuduh ia kononnya diputar belitkan oleh media pro UMNO.
Walaupun isu ini menjadi perhatian orang Melayu dan umat Islam namun
sekali lagi kita melihat Pas lebih meletakkan kepentingan politik
mengatasi segala-galanya.
Itulah antara persoalan yang perlu diketengahkan di muktamar tersebut
kalau benar perwakilan Pas merasakan mereka masih lagi pejuang Islam,
jika tidak kehadiran mereka di negeri Cik Siti Wan Kembang itu bagi
memerah otak mengatur strategi menghadapi pilihan raya umum sekadar
untuk memperkukuhkan PKR dan memperkasakan DAP.
- SELAMAT BERMUKTAMAR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan