NAJIB Tun Razak (depan, kanan)
bergambar bersama ketua-ketua negara yang menghadiri Sidang Kemuncak
Asia-Eropah Ke-9 (ASEM 9) 2012 di Vientiane, Laos, semalam. - BERNAMA
*****
VIENTIANE 5 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Perancis
berminat memperluaskan hubungan dagangan dengan Malaysia dalam bidang
awam dan ketenteraan.
Menurut Perdana Menteri, Presiden Perancis Francois Hollande
menyuarakan hasrat itu kepadanya semasa mereka mengadakan pertemuan dua
hala di luar Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) 2012 di sini hari ini.
Beliau berkata, Hollande menyatakan kemampuan Perancis untuk
membekalkan produk awam seperti pesawat Airbus dan peralatan ketenteraan
seperti jet pejuang Rafale serta helikopter.
Perancis juga bersedia meningkatkan perdagangan dalam apa juga
produk dan perkhidmatan dalam bidang pertahanan," katanya kepada
pemberita selepas menghadiri sidang pleno ASEM mengenai krisis ekonomi
dan kewangan global.
Beliau berkata, Presiden Perancis itu menyifatkan Malaysia sebagai
negara yang penting dan mahu meningkatkan hubungan dua hala dengan
Malaysia dalam pelbagai bidang yang memberi kepentingan bersama.
Syarikat penerbangan Air France juga akan memulakan penerbangan
terus ke Kuala Lumpur selewat-lewatnya pada April atau Jun tahun depan,"
katanya.
Hollande juga menyatakan minatnya untuk melawat Malaysia sekiranya beliau membuat lawatan ke rantau ini, tambah Najib.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, semasa mengadakan pertemuan
dengan Perdana Menteri Norway, Jens Stoltenberg pula, pemimpin Norway
itu memaklumkan bahawa negara itu berminat menawarkan kepakaran dalam
industri minyak gas kepada Malaysia.
Beliau turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri
Pakistan, Raja Pervaiz Ashraf yang menyifatkan Malaysia sebagai rakan
rapat.
Mengenai ASEM, Najib berkata, ia satu forum yang sangat berguna bagi
negara-negara di rantau Asia dan Eropah walaupun benua Eropah kini
menghadapi krisis ekonomi dan kewangan.
Negara-negara ASEAN dan Asia boleh memanfaatkan kepakaran dan
teknologi daripada Eropah dan negara-negara Eropah pula melihat Asia
sebagai potensi pasaran perdagangan yang berpotensi, katanya.
Katanya, Eropah mengakui Malaysia dan ASEAN merupakan sebuah jentera
pertumbuhan ekonomi yang pesat di Asia dan atas dasar itu mereka
memerlukan hubungan yang lebih mendalam dengan rantau ini. - UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan