RANTAU PANJANG 8 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin
menggariskan beberapa prasyarat untuk membolehkan Barisan Nasional (BN)
mencapai kemenangan selesa termasuk kemungkinan merampas kembali
negeri-negeri diperintah pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, prasyarat utama ialah perpaduan
antara ahli dan parti komponen yang perlu diselesaikan kerana perkara
itu merupakan 'inti kekuatan' kepada UMNO dan BN bagi menghadapi pilihan
raya akan datang.
Selain perpaduan kata beliau, jentera parti di semua peringkat juga
perlu mendekati pengundi supaya mereka kekal memberikan sokongan kepada
parti apabila tiba hari pengundian.
"Kita minta ketua-ketua cawangan bekerja keras menentukan pengundi
terus memberikan sokongan mereka supaya kekalahan dalam pilihan raya
lalu dapat ditebus," katanya ketika berucap dalam majlis Jamuan Rakyat
1Malaysia di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, di sini hari ini.
Yang hadir sama, isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman;
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa
Mohamad; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin;
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar
Mustapha dan Penyelaras Parlimen Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat
Yasim.
Dalam majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan sebanyak
RM900,000 bagi membaiki rumah rakyat miskin di Parlimen Rantau Panjang,
bantuan untuk ibu tunggal sebanyak RM100,000 dan RM20,000 untuk kelab
penyokong The Red Warriors daerah ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata,
jentera parti di semua peringkat perlu membuat persiapan dari sekarang
dengan gerak kerja telah disusun rapi tanpa menunggu tarikh pilihan raya
diumumkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan