Pages

1 Januari 2013

Abdul Hadi berdosa jika tidak tarik amanatnya - Abdullah


KOTA BHARU 29 Dis. - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang wajib menarik balik amanat yang dibuatnya pada 1981 sehingga menyebabkan umat Islam di negara ini berpecah-belah.
Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa‘amah berkata, sekiranya Abdul Hadi enggan berbuat demikian, maka beliau akan berdosa di dunia dan akhirat kerana amanatnya itu telah menyebabkan ada umat Islam yang putus saudara dan bermusuhan sesama sendiri.
Malah katanya, persengketaan umat Islam angkara Amanat Haji Hadi hanya membuka ruang kepada pihak-pihak berfahaman pluralisme dan golongan yang menyokong gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mengukuhkan kedudukan mereka.
“Kesan daripada Amanat Haji Hadi itu juga wujud fahaman assabiyah dan kumpulan yang taksub kepada Pas serta pemimpin parti sehingga memberi kesan berpanjangan kepada perpaduan sesama umat Islam," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Abdullah berkata, pengalaman beliau selama kira-kira 30 tahun dalam Pas turut menyedarkannya bagaimana pengikut Pas begitu taksub dengan amanat yang dikeluarkan oleh pemimpin mereka.
Beliau turut mengakui tidak memakan daging sembelihan orang UMNO dan hanya makan nasi berlaukkan sambal serta acar sekiranya menghadiri majlis anjuran ahli parti tersebut lantaran terikut Amanat Haji Hadi.
Malah katanya, beliau mendukung perjuangan Pas kerana beranggapan parti itu benar-benar hendak menegakkan Islam dan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Bagaimanapun jelasnya, selepas melakukan kajian selama kira-kira lima tahun, beliau mendapati perkara itu tidak berlaku dan amanat tersebut ternyata salah serta boleh menyesatkan.
“Lantaran itu, saya bertindak keluar Pas kerana tidak bersetuju dengan dasar-dasar parti yang diterajui Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz (Mursyidul Am) yang saya lihat semakin menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.
Mengenai tindakan Nik Abdul Aziz yang meminta Abdul Hadi tidak tunduk kepada tekanan banyak pihak supaya menarik balik amanatnya itu, Abdullah berpendapat, kenyataan Mursyidul Am Pas tersebut hanya menunjukkan bagaimana pemimpin Pas begitu taksub dengan perjuangannya yang kononnya berpaksikan Islam.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20121230/po_03/Abdul-Hadi-berdosa-jika-tidak-tarik-amanatnya---Abdullah#ixzz2GgzbDOuu
© Utusan Melayu (M) Bhd | hwa, 1/1/13

Tiada ulasan:

Catat Ulasan