Pages

2 Januari 2013

Abdul Hadi perlu sedia diperbetulkan - Rais

KUALA LUMPUR 31 Dis. - Tokoh agama dan mufti negeri-negeri akan dijemput untuk bersama Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam forum yang akan memberi peluang kepada Presiden Pas itu memperjelas amanatnya yang telah memecah belahkan umat Islam di negara ini.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Ahli Parlimen Marang itu tidak boleh membuat keputusan bersendirian dan terlalu yakin dengan kebolehannya yang mempunyai latar belakang pendidikan agama kerana ‘sentiasa terdapat pihak yang lebih bijak daripada kita’.
“Forum ini bukan tempat yang mana orang bertepuk dan sebagainya tetapi (lebih kepada) suasana untuk menjelaskan ilmu masing-masing dan kita perlu memberi ruang pandangan mereka. Ini kerana RTM adalah hak rakyat dan boleh digunakan bagi menjelaskan sesuatu tetapi bukan daripada satu saluran sahaja.
“Malah, forum sebegini sebaliknya perlu disertai pihak-pihak yang juga mempunyai ilmu nas dan pengalaman dalam bidang ini. Jadi Abdul Hadi perlu bersedia untuk bertembung pendapat agar beliau berundur dari (melakukan) perbuatan yang memecahbelahkan ummah itu," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program Larian Tahun Baharu 1Malaysia 2013 di Dataran Merdeka, di sini hari ini.
Beliau menjelaskan demikian ketika mengulas hasrat Abdul Hadi yang mahu muncul di kaca televisyen secara langsung selama sejam untuk menerangkan keadaan sebenar berhubung isu perpecahan umat Islam selepas mengeluarkan amanatnya yang mengkafirkan UMNO pada 1981, di Manir, Terengganu.
Rais berkata, Abdul Hadi bukan ahli jawatankuasa fatwa atau majlis agama Islam negeri sebaliknya hanya seorang ahli politik yang mengeluarkan pandangan sendiri dan pandangan itu pula berasaskan sentimen yang diselubungi politik.
Tambah beliau, Abdul Hadi harus menggunakan platform yang bakal disediakan kementerian itu untuk menarik semula amanatnya itu dan sekiranya gagal berbuat demikian maka beliau perlu bersedia untuk diperbetulkan oleh penghujah kedua pada forum berkenaan.
Beliau turut bersedia membuka peluang kepada mana-mana mufti negeri untuk menjadi penghujah kedua yang menentang Abdul Hadi tersebut agar forum satu jam itu mempunyai elemen keseimbangan dan ilmiah dalam usaha menghuraikan isu berkenaan.
Buat masa ini jelas beliau, kementerian sedang menunggu permohonan daripada Abdul Hadi untuk mendapatkan slot satu jam tersebut dan pada masa yang sama pihaknya sedang menyediakan prasarana dan infrastruktur di dalam studio sebaik mungkin dalam menjayakan program berkenaan.
“Sehingga kini, belum ada lagi permohonan rasmi dari Hadi tetapi segala perancangan untuk menyediakan rancangan berbentuk forum tanpa kehadiran penonton studio itu sedang berjalan," katanya.
Berhubung isu penetapan harga siling telefon pintar bagi rebat RM200 kepada golongan belia, Rais menjelaskan, kementerian akan membawa isu berkenaan dalam mesyuarat Kabinet yang dijadualkan lusa.
Kata beliau, kementerian akan membincangkan berkaitan bantahan banyak pihak terhadap isu berkenaan dan dijangka satu keputusan akan dikeluarkan selepas mesyuarat berkenaan dilangsungkan.
“Pada 3 Januari ini, saya akan memaklumkan kepada media tentang situasi harga siling itu, apakah ia akan ditingkatkan atau dikekalkan berdasarkan hasil mesyuarat berkenaan. Kita mengharapkan yang terbaik daripada mesyuarat itu nanti," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan