Pages

23 Januari 2013

Guan Eng 'rimas' diasak pemberita

PULAU PINANG 21 Jan. - Selepas tersentak dengan 'pusingan-U' yang dibuat oleh pemimpin Pas berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di negara ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilihat terus selesa untuk mengambil pendekatan mengunci mulut.
Beliau yang juga Ketua Menteri kelihatan 'rimas' apabila pemberita sekali lagi memintanya mengulas tentang perkara itu dalam sidang akhbar di pejabatnya di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.
Guan Eng yang hadir bersama Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy berkata, beliau hanya mahu menjawab soalan berkaitan dengan penganjuran satu program larian pada hari sambutan Thaipusam nanti yang mencetuskan kontroversi dalam kalangan penganut Hindu di negeri ini.
"Saya hendak bercakap tentang hal sidang akhbar ini sahaja. Ada apa soalan lagi?" katanya.
Minggu lalu, Guan Eng juga meninggalkan sidang akhbar dalam majlis dihadirinya lebih awal berbanding kebiasaannya apabila beliau akan menunggu sehingga semua soalan selesai diajukan wartawan.
Isu kalimah Allah itu dibangkitkan Guan Eng dalam perutusan sempena sambutan Hari Krismas hujung bulan lalu dengan menggesa Kerajaan Persekutuan membenarkan pengunaan kalimah berkenaan di dalam kitab Bible versi bahasa Melayu.
Desakan beliau itu pada mulanya mendapat sokongan beberapa pemimpin tertinggi Pas termasuk Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, namun mereka kemudiannya menarik balik sokongan itu selepas mesyuarat Majlis Syura Ulama membuat keputusan sebaliknya.
Semalam Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan beliau tidak akan tunduk dengan desakan DAP agar mengkaji semula keputusan Majlis Syura Ulama parti itu yang berpendirian kalimah Allah hanya untuk umat Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan