Pages

10 Januari 2013

Hadi bertanggungjawab jika kalimah dipermain

PULAU PINANG 8 Jan. - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu bertanggungjawab jika ada mana-mana pihak terutama orang bukan Islam di negara ini sengaja menyalahgunakan kalimah Allah pada masa hadapan.
Penyelaras Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP), Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku berikutan kenyataan Abdul Hadi sendiri yang menegaskan tiada halangan jika penganut agama lain mahu menggunakan kalimah tersebut.
Beliau kesal dengan kenyataan pemimpin Pas itu yang dilihat dibuat tanpa perbincangan dan kajian menyeluruh, semata-mata mahu mengambil hati serta menjaga hubungan baik dengan sekutu politiknya terutama DAP.
"Mana nas yang menyokong kenyataan itu?. Adakah dia ada membuat kajian secara terperinci terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan berkenaan?.
"Kalau itu pendirian yang diberikan, dia kena terima hakikat sekiranya selepas ini ada orang bukan Islam yang membuat tatu dengan kalimah Allah di segenap tubuh badan mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Majlis pimpinan pakatan pembangkang hari ini sepakat bersetuju penggunaan kalimah Allah wajar diberikan untuk semua agama dengan syarat kalimah itu tidak disalahgunakan.
Keputusan tersebut diumumkan selepas mesyuarat pemimpin tertinggi pakatan pembangkang yang dihadiri Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Abdul Hadi.
Abdul Hadi dalam sidang akhbar selepas mesyuarat itu berkata, Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah Allah dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.
Mohamed Hafiz yang juga bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang dalam pada itu menambah, Abdul Hadi, Pas dan pembangkang seharusnya melihat isu kalimah Allah melalui konteks masyarakat di negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan