Pages

1 Januari 2013

Jangan kerana mahu undi


KENYATAAN seorang pemimpin politik baru-baru ini yang mahu penggunaan kalimah Allah dibenarkan kepada orang Kristian di Semenanjung sebenarnya membuka semula polemik isu tersebut yang didiamkan untuk beberapa ketika.
Sejak isu ini dibangkitkan beberapa tahun dulu, tidak sedikit ahli-ahli politik beragama Islam yang menyokong pembebasan penggunaan kalimah Allah kepada mana-mana agama sekalipun bagi menunjukkan keterbukaan pemikiran mereka kepada penganut agama Kristian khususnya. Hujah-hujah agama yang mengharuskan penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam diuar-uarkan sedangkan satu ketika dahulu orang-orang inilah juga yang bermati-matian nampaknya mempertahankan kalimah Allah ini.
Menyingkap lembaran sejarah, Kementerian Dalam Negeri sejak 1998 telah menyerahkan beberapa surat-surat peringatan kepada sebuah pertubuhan Kristian agar tidak menggunakan kalimah Allah dalam mana-mana penulisan dan penerbitan mereka. Ini bersesuaian dengan arahan kerajaan pada 5 Disember 1986 yang memutuskan bahawa empat istilah huruf agama Islam iaitu Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah adalah eksklusif hanya untuk kegunaan agama Islam dan oleh yang demikian tidaklah boleh untuk digunakan oleh mana-mana agama lain di negara kita.
Pertubuhan agama Kristian itu telahpun pada 2008 memfailkan satu permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membuat semakan kehakiman yang antara lain meminta agar Mahkamah Tinggi membuat keputusan bahawa perintah larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian tersebut yang dibuat oleh kerajaan Malaysia tersebut adalah salah di sisi undang-undang, batal dan tidak sah.
Ini seterusnya membawa kepada perintah Hakim Lau Bee Lan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membuat keputusan pada 31 Disember 2009 yang antara lain menyatakan bahawa pihak pertubuhan Kristian tersebut dibenarkan untuk menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan majalah mereka dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri yang bertanggungjawab untuk menasihati Duli Yang Maha Mulia Sultan dalam isu-isu agama Islam adalah tidak dibenarkan untuk membuat pencelahan dalam prosiding tersebut.
Pertubuhan Kristian ini menyampaikan hujah bahawa hak bagi penggunaan kalimah Allah oleh agama lain ini adalah atas dasar bahawa hak kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat telah termaktub di dalam Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan dan hak kebebasan agama di dalam Fasal 11 Perlembagaan Persekutuan dan penggunaan kalimah Allah ini telahpun diguna pakai di negara-negara lain contohnya di Mesir dan Indonesia. Ironinya, tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh pertubuhan Kristian ini hanyalah untuk Kitab Bible berbahasa Melayu. Bagi Bible berbahasa Inggeris tuhan mereka tidak pula dirujuk sebagai Allah. Dalam negara kita ini bukanlah sukar untuk menjawab persoalan akan kaum manakah sebenarnya yang menjadi sasaran utama untuk membaca Bible atau Al-Kitab dalam Bahasa Melayu tersebut.
Berdasarkan rekod, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan beberapa Majlis Agama Islam Negeri telah juga memfailkan permohonan bagi pencelahan untuk turut sama membantu pihak kerajaan Malaysia dan Jabatan Peguam Negara bagi mempertahankan keputusan asal larangan penggunaan Kalimah Allah kepada agama lain. Majlis Agama Islam Negeri-Negeri sebagai institusi yang telah dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan agama Islam di negeri-negeri sudah tentu turut merasakan bahang tuntutan ini kerana jikalah penerbitan makalah Kristian itu diedarkan, ia dalam sekelip mata akan turut sampai ke hadapan pintu-pintu rumah di negeri-negeri yang mana mereka telah dipertanggungjawabkan untuk memartabatkan dan melindungi agama Islam sebagaimana kuasa yang diperturunkan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan.
Jawatankuasa Fatwa Johor sebagai contoh pada 2 Jun 2008 mengeluarkan satu Fatwa (JMJ.351/05/AQ/19) yang antara lain menyatakan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah tidak diharuskan, tidak dibenarkan, ditegah serta dilarang atas alasan kalimah Allah bukanlah kalimah yang sekadar menjadi rujukan bagi nama Tuhan semata-mata tetapi lebih dari itu penggunaan kalimah Allah bagi umat Islam menunjukkan keesaan, kemuliaan teragung, pencipta dan pemerintah alam semesta yang sudah semestinya berbeza dengan konsep triniti atau tiga dalam satu yang dianjurkan oleh agama Kristian.
Keengganan banyak pihak untuk menerima cadangan penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam bukanlah sesuatu yang menghairankan. Setelah lama merdeka, apa lagi yang hendak diserah oleh agama Islam dalam negara yang mana agama Islam adalah agama persekutuan kepada penganut agama lain sehingga nama Allah yang secara eksklusif telah diguna pakai sejak merdeka tanpa gangguan itupun nak digunapakai. Prinsip utama dalam Perlembagaan Persekutuan adalah ketertinggian agama Islam yang telah diangkat sebagai agama persekutuan negara kita.
Sementara kita mengangkat martabat agama Islam pada tahap tertinggi, rakyat negara kita diajar bahawa kepercayaan dan anutan agama lain juga hendaklah diraikan dan mereka ini bebas mengamalkan ajaran agama mereka. Yang menjadi masalah sekarang apabila sebahagian pemimpin agama lain mula menjuarai kepentingan agama dan kaum mereka dan dalam masa sama melanggar batas-batas yang telah selama ini diamalkan dalam masyarakat kita.
Contohnya, apabila perlembagaan menyatakan bahawa agama lain bebas mengamalkan ajaran agama mereka maka terdapatlah pula pendakwah-pendakwah agama lain yang secara sengaja cuba pula menyebarkan ajaran agama mereka kepada orang Islam. Ini dilakukan dengan pelbagai cara. Kebenaran penggunaan kalimah Allah kepada mereka akan memudahkan lagi proses ini. Alasan mereka mudah, kebebasan beragama, hak asasi manusia.
Kalimah Allah merupakan asas tauhid akidah umat lslam membawa erti kemuliaan dan kesucian agama Islam itu sendiri dan itulah amalannya sejak kita menubuhkan negara ini. Ia sangat berbeza dan tidak boleh dikongsi dengan orang bukan Islam sebagaimana mudahnya kita hendak berkongsi kuasa dalam pemerintahan dan pentadbiran negara. Malaysia dibina dalam bentuk dan acuan kita sendiri hinggalah wujudnya keharmonian antara kaum yang dinikmati hari ini. Tidak semua perkara yang dituntut oleh kaum-kaum itu dapat dilaksanakan dalam negara majmuk ini. Ada perkara yang tidak dibenar di negara lain tetapi dibenar di negara kita.
Satu ketika dahulu hampir tidak pernah mendengar orang Cina Indonesia berbahasa Cina kecualilah semua daripada mereka berbahasa Indonesia hingga menjadi kesukaran pula bagi kita membezakan kaum sebenar orang Indonesia itu lebih-lebih lagi mereka menggunakan pula nama yang tidak langsung bercirikan bangsa Cina. Di Malaysia, kita lebih bertoleransi dalam bab identiti budaya hingga orang Cina di Malaysia terus mempertahankan budaya mereka secara berterusan. Maknanya, sesuatu yang dibenarkan di negara lain tidak semestinya baik di negara kita. Sukar untuk kita gambarkan satu hari nanti kita terpaksa berhadapan pula dengan senario di mana akan diwujudkan pusat-pusat aktiviti agama Kristian yang dinamakan dengan Allah.
Pengiktirafan Islam sebagai Agama Persekutuan dalam Artikel 3 (1) Perlembagaan memberikan hak kepada Islam untuk diberikan keistimewaan mengatasi agama lain. Pelbagai enakmen diwartakan di setiap negeri khusus bagi mengawal sedia dan menentukan perjalanan agama Islam disetiap negeri berjalan dengan tersusun. Pada majlis rasmi kerajaan, bacaan doa mengikut ajaran agama Islam akan dibuat walaupun hadirin adalah dari pelbagai kaum sebagai manifestasi bahawa itulah dia agama yang diiktiraf sebagai agama persekutuan. Begitulah istimewanya agama Islam hingga sesiapa yang didapati menyebarkan agama lain kepada orang Islam boleh dikenakan hukuman atas kesalahan jenayah.
Umat Islam di negara kita sentiasa mengamalkan sikap toleransi dalam beragama dan memberikan kebebasan untuk orang lain mengamalkan ajaran agama mereka. Banyak gereja, kuil dan rumah ibadat yang gah dibina di negara kita dilawati oleh pelawat dari negara asal agama itu sendiri. Umat Islam tidak pernah menghalangnya.
Kita mahu membina sebuah negara berbilang kaum yang masing-masing menghormati agama yang dianuti oleh individu itu. Bagaimanapun oleh kerana Islam adalah agama yang dianuti oleh majoriti rakyat maka sudah tentu ia harus memimpin hala tuju negara ini. Sejak penubuhan negara ini dan penganut agama Kristian dibenarkan untuk mengamalkan ajaran agama mereka, adakah berkurangnya iman penganut agama Kristian terhadap agama mereka tanpa menggunakan kalimah Allah? Justeru, bagi menjamin ketertinggian agama Islam apa yang menjadi milik agama Islam tidak dapat tidak perlu terus dipertahankan.
Ikbal SalamPeguambela dan Peguamcara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan