Pages

10 Januari 2013

Jauhi kanak-kanak daripada demonstrasi

Seorang bapa bangga membawa anaknya menyertai perhimpunan Bersih 3.0 di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada 28 April 2012. Sedarkah dia kesalahan yang dilakukannya? - Gambar hiasan.
DENGAN meningkatnya umur kita saban tahun, akan bertambahlah cabaran hidup yang perlu kita tempuhi. Begitu juga cabaran yang bakal dihadapi oleh golongan kanak-kanak mutakhir ini yang tidak kurang getirnya. 
*****
Aspek kesihatan, pendidikan, kebajikan dan perkara lain berkaitan kanak-kanak menjadi tanggungjawab kepada ibu bapa dan penjaga apabila bermulanya sesi persekolahan tahun 2013.
Di Malaysia, tafsiran kanak-kanak di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) bermaksud "seseorang yang di bawah umur 18 tahun; dan berhubung dengan prosiding jenayah, ertinya seseorang yang sudah mencapai umur bagi tanggungjawab jenayah sebagaimana yang ditetapkan dalam seksyen 82 Kanun Keseksaan."
Akta Kanak-Kanak 2001 (AKK2001) mempunyai skop yang luas dan dipecahkan kepada 15 bahagian utama. Antara intipati akta ini ialah "Mengakui bahawa keluarga merupakan kumpulan asas dalam masyarakat yang menyediakan suasana semula jadi bagi pembesaran, penyaraan dan kebajikan semua anggotanya, khususnya kanak-kanak, supaya mereka boleh membesar dalam suasana aman, bahagia, kasih sayang dan persefahaman untuk memperoleh keyakinan penuh, maruah dan nilai diri seseorang manusia."
Dalam suasana politik tempatan yang kebelakangan ini sering dihangatkan oleh perhimpunan tanpa kebenaran pihak berkuasa, kanak-kanak di bawah umur 18 tahun tidak terkecuali daripada menyertainya.
Mereka diheret oleh ahli keluarga atau rakan-rakan yang lebih dewasa tanpa mengetahui tujuan sebenar perhimpunan. Walaupun masyarakat Barat selalu melaungkan sentimen hak asasi manusia, namun apabila bercakap tentang kanak-kanak dan politik, mereka bersetuju agar golongan itu dipisahkan daripada menyertai aktiviti politik.
Dalam Bahagian V, Bab 3 Akta Kanak-Kanak 2001 mengenai Kesalahan Berhubung Dengan Kesihatan Dan Kebajikan Kanak-Kanak, Seksyen 31(1)(a) AKK2001, menyatakan, "Mana-mana orang, yang merupakan orang yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak: yang menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiayai, diabaikan, dibuang atau didedahkan sedemikian; melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi 20 ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya. Pengabaian kanak-kanak di tempat awam dalam cuaca panas terik boleh menyebabkan kecederaan fizikal apabila orang ramai bersesak, bertolak-tolak serta berkemungkinan pitam, terjatuh, dipijak atau tercedera.
Ibu bapa, ahli keluarga dan penjaga seharusnya mengawasi anak-anak mereka agar tidak dipengaruhi oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab. Mereka mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak dan belia yang masih kurang pengetahuan.
Golongan ini sepatutnya berada di rumah mengulang kaji pelajaran, membaca buku, menghadiri kelas tuisyen, menyertai aktiviti sukan, muzik atau menziarahi keluarga serta rakan pada hujung minggu.
Kanak-kanak yang masih mentah ini memerlukan pemeliharaan dan perlindungan agar pada masa hadapan boleh turut serta dalam menyumbang secara positif ke arah mencapai wawasan negara. Bukannya menyertai tunjuk perasaan jalanan yang memperjuangkan isu remeh-temeh individu-individu tertentu.
Seksyen 33 (a), AKK 2001 seterusnya menegaskan mengenai kesalahan kerana membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan iaitu, "Mana-mana orang, yang merupakan ibu atau bapa atau penjaga atau orang yang pada masa itu mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak, yang meninggalkan kanak-kanak itu: tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan yang berpatutan bagi kanak-kanak itu, melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi 5 ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya."
Kanak-kanak adalah pemimpin pada masa hadapan. Kalau hari ini mereka diajar untuk tidak mematuhi undang-undang, apakah esok mereka akan menjadi warganegara yang berdisiplin? Negara manakah yang akan aman jika rakyatnya selalu melanggar undang-undang.
Kanak-kanak adalah satu komponen penting dalam masyarakat yang akan menentukan perpaduan dan kemakmuran Malaysia. Kita harus bersyukur kerana kerajaan telah menjalankan pelbagai program pendidikan dan kebajikan untuk memastikan generasi muda tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
Apabila sesuatu demonstrasi jalanan berlaku, agensi penguatkuasaan kerajaan terpaksa bekerja lebih masa dan banyak sumber terpaksa digunakan sekali gus membazirkan wang rakyat.
Kebajikan masyarakat dan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama dan bukannya tugas pegawai-pegawai kerajaan semata-mata khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat. Apabila berlaku sesuatu insiden yang tidak diingini, penjawat awam yang akhirnya akan dipersalahkan.
Jadikanlah peristiwa di negara-negara yang bergolak seperti di Pakistan dan Syria sebagai pengajaran. Kanak-kanak akan menjadi lebih menderita dan terseksa dalam keadaan huru-hara serta kekacauan. Awasilah anak-anak anda pada setiap masa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan