Pages

20 Januari 2013

Jika asap kelihatan, tentu ada api yang menyala

ISU amanat Haji Abdul Hadi di polemik dalam pro dan kontranya. Yang kontra menyatakan walaupun itu isu lama tetapi ia sudah membudaya dalam gerak kerja politik orang Pas. Pas merasakan mereka lebih Islam dari yang lain. Lalu orang lain atau parti lain tidak sama dengan Pas mengenai keIslamannya.
Yang kontra mengatakan Abdul Hadi perlu diberi peluang tampil di media arus perdana supaya isu ini dapat dijelaskan dalam konteksnya.
Amanat Abdul Hadi ini sangat jelas maksudnya dan akibat yang terjadi pun sangat jelas bentuknya. Tidak mungkin terbitnya asap sekiranya tidak ada api yang membakar.
Isu dua imam adalah kisah benar terutama berlakunya di Terengganu. Isu nikah semula kerana berlainan latar politik pasangan dan jurunikah adalah perkara benar. Tak makan sembelihan dan tak pergi kenduri orang UMNO adalah cerita benar. Mengkafirkan ayah dan abang adalah cerita benar. Dan banyak lagi.
Tak mungkin ini terjadi kalau tidak ada latar yang merangsangnya supaya isu takfir ini terjadi. Asap itu terus berkepul dan tidak ada pula pihak yang cuba memadamkan api itu. Yang menyalakan api itu tentu seronok kerana cetusan amanat itu sedang membakar dan merebak.
Bahayanya sangat nyata. Umat Islam pecah-belah dan jalan muzakarah dan mencari kejernihan semakin mustahil. Dalam mengkafir sesama Islam, berpelukan pula dengan orang lain. Suatu sisi keras dengan orang Islam dan lunak dengan orang kafir. Ini suatu kenyataan yang terbentang luas dan mudah dianalisis.
Ulama dan ilmuan Islam yang faham tentang makna kebenaran dan haq harus bangkit memperbetulkannya. Al-Quran menggariskan batas iman dan kufur. Ulama dan ilmuan Islam sebagai pendakwah dan pendidik tentu faham mengenai kaedah dakwah dan kaedah hukum.
Buku tulisan pemimpin Ikhwan Muslimin Hasan Hudhaibi " Nahnu du'at La Qudha' " - Kita ini pendakwah bukan penghukum, amat baik untuk dijadikan rujukan peristiwa takfir di Mesir adalah perulangan apa yang berlaku di zaman Khawarij dan berulang pula di zaman kini.
Sebab itu bila kalimah taghut digunakan dalam ceramah, kenyataan kafir, firaun, undi bulan masuk syurga digunakan sebagai kaedah politik ia menggambarkan keadaan yang disebutkan tadi.
Rasulullah SAW dalam hadisnya melarang kafir-mengkafir ini terjadi kerana kebimbangan kekafiran ini akan kembali semula kepada pengucapnya. Di luar dari hukum syara' mengkafirkan seseorang atau sesuatu kumpulan yang masih bersyahadah, bersolat semata-mata berbeza kerana faham politik berlaku.
Isu takfir ini adalah jalan mudah untuk memenangi pengaruh politik tetapi amat mahal harganya terhadap perpaduan ummah. Apalagi situasi politik Malaysia memerlukan kesatuan ummah yang tinggi supaya umat Islam tidak akhirnya terpinggir dengan percaturan yang berlaku.
Setiap warga umat harus berjiwa besar. Belajarlah dari gelagat Khawarij yang memecahbelahkan umat, belajarlah dari pengalaman Andalusia yang menyebabkan tamadun Islam hancur dan belajarlah dari peristiwa takfir di Mesir dan gerak kerja Takfir wal Hijrah yang banyak membawa kerosakan.
Ulama' dan ilmuan Islam yang juga pendakwah dan pendidik harus bangkit mengajak setiap pihak kembali kepada pedoman al-Quran dan As Sunnah bila berbalah.
Kalau kita membisu dan bersifat memihak semata-mata kerana kepentingan politik kepartian dan menafikan anjuran al-Quran dan As Sunnah ia bukanlah suatu langkah bijaksana.
Malaysia sebagai sebuah negara majmuk tidak mudah untuk diurus. Ia menuntut kebijaksanaan yang tinggi antara cita-cita Islami dengan pemahaman terhadap realiti yang menuntut kebijaksanaan yang tinggi juga.
Antara matlamat dan proses ia menuntut titik-keseimbangan. Fokus untuk membangun sumber daya Islami adalah suatu keutamaan supaya tidak saja produktiviti rohaniahnya tinggi tetapi produktiviti amaliahnya tinggi juga.
Perjuangan Islam bukan sekadar retorik, bidasan tajam dan sindiran pedas semata-mata. Ia menuntut perancangan bijaksana, kemampuan sumber daya yang berkualiti, memahami realiti dan merencana agenda diiringi dengan faktor kesabaran, istiqamah supaya antara cita-cita memartabatkan Islam diimbangi dengan dakwah berkesan dan tarbiyyah yang menghasilkan bakal mencetuskan natijah yang baik.
Tiada jalan pintas ke arah cita-cita ini. Ia menuntut tekad tinggi dan pengorbanan serta perancangan bijaksana dengan mengambil pendekatan wasatiyyah dan berimbang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan