Pages

13 Januari 2013

Kalimah Allah eksklusif umat Islam

KOTA BHARU 9 Jan. - Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad (gambar) mengingatkan semua pihak di negeri ini tentang kalimah Allah yang eksklusif untuk orang Islam dan tidak boleh digunakan oleh penganut agama lain.
Menurutnya, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 1 Disember 1981 telah meluluskan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam 1981 iaitu satu enakmen untuk menjaga kesucian kalimah itu.
Katanya, enakmen itu yang diwujudkan bagi mengawal dan menyekat penyebaran iktikad dan kepercayaan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam, secara jelas telah menyenaraikan 24 perkataan termasuk kalimah Allah di bawah Jadual (Seksyen 9) Bahagian 1 enakmen sebagai hak eksklusif agama Islam.
Sehubungan itu, beliau secara sinis 'meminta' enakmen tersebut dipinda atau dimansuhkan sekiranya sudah lapuk dan tidak relevan lagi.
"Perkataan-perkataan itu ialah Allah, firman Allah, ulama, hadis, ibadah, Kaabah, kadi, Ilahi, wahyu, mubaligh, syariat, kiblat, haji, mufti, rasul, imam, dakwah, solat, khalifah, wali, fatwa, iman, nabi dan sheikh.
"Undang-undang Islam negeri ini sudah lama memperuntukkan bahawa kesemua perkataan itu tidak boleh dikaitkan dengan agama lain.
"Kita sebagai orang Islam seharusnya patuh pada peraturan yang sudah sekian lama terpakai dan tidak membangkitkan isu penggunaan kalimah Allah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam timbul kembali selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika sambutan Krismas lalu meminta kerajaan membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah itu dalam Bible.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini menyatakan kekesalan baginda terhadap perkara itu dan menitahkan dengan tegas bahawa kalimah Allah yang merupakan kalimah suci khusus bagi orang Islam tidak boleh sama sekali digunakan di negeri Islam di negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam.
Bagaimanapun Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan menyatakan kesediaan beliau menerima penggunaannya dalam kalangan bukan Islam dengan alasan sebagai kaedah dakwah mendekatkan mereka kepada Islam.
Ketika diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz itu, Mohamad Shukri enggan mengulas lanjut namun menasihatkan semua pihak di negeri ini agar menghormati keputusan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2008 dan enakmen itu sendiri yang telah menyatakan pendirian mengenai penggunaan kalimah Allah.
''Enakmen ini diluluskan Sidang DUN 1981, saya tidak tahulah bagaimana kedudukannya sekarang sama ada peruntukan di dalamnya masih berkuat kuasa atau tidak.
''Terserahlah sama ada kita mahu hormat atau tidak pada undang-undang yang kita sendiri gubal," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan