Pages

20 Januari 2013

Karpal digesa nyatakan pendirian DAP isu kalimah Allah

KUALA LUMPUR 16 Jan. - Pengerusi DAP, Karpal Singh didesak segera menyatakan pendirian parti itu berhubung kontroversi penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible versi bahasa Melayu.
Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, beliau hairan kerana sehingga hari ini, Karpal tidak tampil menyatakan pendirian parti itu berhubung perkara tersebut.
"Adakah Karpal mendiamkan diri kerana diarah senyap, takut atau sengaja mahu lari daripada tanggungjawab memberi sebarang penjelasan tentang perkara ini? Ini adalah isu yang sangat besar.
"Bukankah Karpal seorang pemimpin yang tegas dengan pendirian beliau serta parti? Mengapa kini mendiamkan diri? Guan Eng telah mencetuskan keadaan tidak harmoni dengan sengaja mencampuri urusan politik dan agama dan menjadi tanggungjawab beliau memperbetulkan keadaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kontroversi berhubung desakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya kalimah Allah dibenarkan digunakan penganut bukan Islam sekali gus mengundang reaksi tidak senang dalam kalangan mufti, tokoh agama serta ulama Pas.
Pas juga menerima kesan daripada permintaan itu apabila menyatakan persetujuan namun menarik balik selepas mendapat bantahan termasuk daripada ahli akar umbi mereka.
Menurut Tunku Abdul Aziz, Guan Eng tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama semata-mata kerana kepentingan politik.
"Jika beliau seorang pemimpin berwibawa, beliau wajib tampil memohon maaf atas keterlanjurannya, bukannya dengan berterusan melarikan diri atau menyalahkan orang lain.
"Jawapan Guan Eng yang tidak mahu menjawab soalan media adalah sungguh mengecewakan. Mengapa terus mengelak dengan menuduh media mungkin akan putar belit penjelasan beliau? Siapa sebenarnya yang putar belit? Jangan cuba memperbodohkan umum dengan penjelasan seperti ini," tegasnya.
Tunku Abdul Aziz turut membidas sikap pemimpin Pas yang seolah-olah hilang hala tuju dalam isu tersebut.
"Mengapa demi kuasa dan politik, ada yang sanggup menjual pendirian serta prinsip mereka? Kalimah Allah adalah hak eksklusif umat Islam, ini bukan perkara main-main. Ia tidak harus sesekali dipolitikkan.
"Pas juga tidak seharusnya tunduk kepada semua kehendak 'melampau' DAP, jangan gadaikan agama yang kita cintai demi retorik politik murahan," tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan