Pages

9 Januari 2013

Mengapa Pas tidak sepakat isu kalimah Allah?

TIMBALAN Presiden Pas Mohamad Sabu menegaskan parti itu kekal menyokong penggunaan kalimah Allah untuk penganut bukan Islam seperti yang diputuskan oleh Presidennya Abdul Hadi Awang pada 2010.
Mengapa Hadi sendiri tidak tampil membuat penegasan ini. Kalau penegasan itu lahir daripada mulut Mat Sabu bimbang ia adalah strategi taqiyyah memintas pandangan Dr. Haron Din kerana pendukung Syiah memang ahli dalam menggunakan pendekatan ini.
Mengapa Hadi yang memutuskannya pada tahun 2010 dan tidak Majlis Syura yang mempunyai kuasa tertinggi dalam parti. Isu kalimah Allah adalah isu pokok dalam Islam. Ia menyangkut tentang akidah tauhid. Pas memberi petanda yang salah kepada umat Islam di Malaysia. Nampaknya Pas kelihatan semakin liberal.
Apakah kerana Haron Din mengambil sikap menentang penggunaan kalimah Allah, Harun Taib dan Tuan Ibrahim Tuan Man mengambil sikap adalah salah menterjemahkan God kepada Allah dan sepatutnya Tuhan menyebabkan Majlis Syura tidak bersidang.
Keputusan Majlis Syura Pas adalah penting kerana keputusan menggunakan kalimah Allah harus dilihat dari sudut syarak bukan dari sudut kepentingan dan strategi politik semasa semata-mata.
Haron Din sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Syura patut ada kuasa memanggil sidang Syura supaya di kalangan ahli Syura mempunyai kesepakatan tentang isu penting ini. Kalau tidak pandangan peribadi Haron Din yang berasaskan syarak tidak memberi makna apa-apa kepada institusi politik yang diwakilinya.
Penggunaan kalimah Allah dalam Islam memberi implikasi atau kesan besar terhadap tawasur Islami. Implikasi tauhidik daripada penggunaan kalimah Allah ini tidak saja terkait dengan ibadah, syariah dan fikah tetapi juga dalam akhlak.
Dalam Islam, Allah Yang Satu membawa maksud tentang Kesatuan Allah dan kaitannya dengan hukum-hakam, ilmu pengetahuan, bukti-bukti penciptaan, rahmah dan ni'mah yang dilimpahkan supaya asas tauhidik ini tidak saja diimani tetapi diamalkan dalam diri dan sistem.
Apakah implikasi atau kesan penggunaan kalimah Allah dalam akidah Kristian membawa kesan yang sama terhadap cara berfikir mereka, world-view mereka terhadap hukum-hakam, ilmu pengetahuan dan juga corak beribadah mahupun cara hidup mereka.
Yang pastinya maksud Trinity, Satu Dalam Tiga adalah menyalahi akidah tauhid. Surah al-Ikhlas dan Surah al-Kafiruun sangat jelas menyatakan hakikat ini. Nabi Isa atau Jesus pada faham Islam adalah Nabi bukannya anak Tuhan. Kalau Tuhan mempunyai anak dan ia menyalahi akidah tauhid Islam bahawa Tuhan itu tidak beranak mahupun diperanakan.
Lebih-lebih lagi sumber hukum dalam Islam ialah al-Quran dan As-Sunnah. Apakah penganut Kristian menggunakan al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber rujukan. Kitab Bible yang ada tidak sebenarnya menggambarkan Kitab Injil yang diimani oleh umat Islam.
Apakah kitab Bible menggambarkan ketulenan Injil. Al-Quran dipelihara oleh Allah sehingga ke hari Kiamat. Tetapi ia boleh dirosakkan tafsirnya oleh para ulama yang ada kepentingan diri dan kuasa. Ini juga yang terjadi kepada kitab Injil pada suatu ketika dulu.
Haron Din, Harun Taib, Tuan Ibrahim sudah ada kesedaran ini. Mengapa biarkan Nik Aziz, Hadi, Mat Sabu, Mujahid Yusof Rawa membuat kenyataan tanpa terlebih dahulu merujuk kepada Majlis Syura.
Percanggahan pendapat dan pendirian yang ada pasti memberi kesan kepada pengikut. Nik Aziz, Hadi dan Mat Sabu harus bawa isu ini ke Majlis Syura dahulu.
Apakah Pas bimbang akan timbul perselisihan pendapat dalam kalangan pihak yang berbeza pandangan yang boleh membawa perpecahan kepada parti itu? Pendirian Haron Din mengenai isu ini amat jelas berasaskan hujah syarak. Pendirian Harun Taib dan Tuan Ibrahim adalah serupa. Mengapa tidak pendirian syarak diutamakan lebih daripada kepentingan politik.
Apakah Pas bimbang Anwar Ibrahim akan 'murka' dengan keputusan Majlis Syura nan
ti. Ia tidak harus berbangkit kerana kebenaran hanya boleh dicapai sekiranya hukum syarak dijadikan landasan menentukan boleh atau tidak disamakan maksud Allah dengan konsep Trinity.
Kalau pertimbangan Nik Aziz, Hadi dan Mat Sabu ialah 'kemurkaan' Anwar yang ingin dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia sekiranya pakatan pembangkang menang dalam PRU-13 nanti, ia bermakna kepentingan politik lebih diutamakan daripada kepentingan Islam.
Sebab itu Lim Guan Eng dengan nasihat Evangelis Kristian berani mencabar Kerajaan Persekutuan supaya kalimah Allah digunakan menyedari bahawa Pas kena ikut telunjuk Anwar untuk sampai ke Putrajaya dan politik DAP telah berjaya melenyapkan perjuangan Negara Islam dan hudud dan menerima konsep Negara Berkebajikan. Apakah ini hala tuju perjuangan Pas?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan