Pages

7 Januari 2013

Nik Aziz patut selar Hadi Awang kerana keluarkan amanat - Zahid Md. Arip

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Tindakan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menuduh kerajaan lebih teruk daripada binatang kerana membatalkan forum 'Amanat Haji Hadi' disifatkan sebagai keterlaluan dan menggambarkan beliau semakin 'nyanyuk'.
Bagi Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip, Nik Abdul Aziz sepatutnya menyelar Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana Presiden Pas itu adalah individu yang bertanggungjawab mengeluarkan amanat tersebut.
Tambahan pula, kata beliau, persoalan pokok yang didesak rakyat bukan soal forum tetapi meminta Abdul Hadi menarik balik amanat mengkafirkan UMNO sehingga membawa perpecahan kronik dalam masyarakat Islam di negara ini.
"Perkara lebih penting ialah Abdul Hadi nak tarik atau tidak? Kalau Nik Abdul Aziz anggap pembatalan forum itu lebih teruk daripada binatang, apa pula label paling layak untuk tindakan Abdul Hadi mengkafirkan UMNO?
"Amanat ini menyebabkan ramai isteri jadi janda, suami jadi duda, anak jadi derhaka dan sanak-saudara bermusuhan. Apakah itu lebih baik daripada binatang? Sebab itu saya kata Nik Abdul Aziz jangan buat-buat nyanyuk.
"Bagi kami keputusan kerajaan membatalkan forum tersebut adalah tepat kerana Majlis Fatwa Kebangsaan telah buat keputusan berhubung amanat itu," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.
Semalam, Nik Abdul Aziz menyifatkan keputusan membatalkan forum membincangkan Amanat Haji Hadi sebagai tidak demokratik selain membuktikan 'perangai hodoh' kerajaan yang lebih teruk daripada 'binatang'.
Sementara itu, bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata, tindakan Menteri Besar Kelantan itu jelas menunjukkan beliau lebih mengutamakan kepentingan politik daripada memastikan orang Melayu bersatu.
Katanya, walaupun dilihat mempunyai keperibadian yang tinggi, Mursyidul Am Pas itu seperti juga Abdul Hadi, terlalu ego dalam isu amanat kerana sedar perkara tersebut boleh dijadikan senjata untuk Pas meraih laba politik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan