Pages

27 Januari 2013

Pas akan terus tersepit jika bersama pakatan

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Kepemimpinan Pas akan terus tersepit sekiranya bersama dalam pakatan pembangkang dan meminggirkan suara akar umbi yang mahu parti itu kembali kepada perjuangan asal mereka.
Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad berkata, desakan demi desakan yang dilakukan oleh akar umbi Pas perlu dipandang serius kerana kebanyakan perkara dibangkitkan adalah berkaitan usaha melindungi akidah umat Islam.
"Saya berpendapat pemimpin-pemimpin Pas tidak akan keluar daripada pakatan pembangkang kerana mereka terlalu ingin mendapatkan Putrajaya dan mahu sokongan bukan Islam.
"Dalam keadaan ini, Pas akan terus berada dalam keadaan tersepit dan kemungkinan ramai ahli mereka akan memberontak dan seterusnya mengambil tindakan keluar dari parti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, sekumpulan ahli Pas yang diketuai bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin mengadakan bantahan terhadap tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang meminta Pas mengkaji semula penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.
Bantahan di hadapan firma guaman Karpal di Jalan Green Hall, Pulau Pinang itu diadakan kerana tindakan Karpal dianggap sebagai biadab serta cuba mencampuri urusan agama Islam.
Menurut Nakhaie, tindak-tanduk Pas sejak berada dalam pakatan pembangkang sering mengundang kekeliruan sehingga perkara-perkara yang melibatkan akidah umat Islam terutamanya isu kalimah Allah turut menjadi taruhan.
"Pas mahukan undi daripada bukan Islam sebab itu mereka sanggup mengeluarkan kenyataan-kenyataan kontroversi dan sensitif dalam kalangan umat Islam.
"Pas boleh terus sandarkan sokongan kepada pengikut fanatik mereka tetapi saya tidak yakin umat Islam keseluruhannya akan berdiam diri," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan