KUALA LUMPUR 16 Jan. - Pucuk pimpinan Pas perlu membuang ego masing-masing dan mengakui pendirian mereka berhubung penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam sebelum ini bercanggah dengan pandangan Majlis Syura Ulama parti itu.
Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad berkata, pengikut fanatik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat sewajarnya sedar kedua-dua pemimpin berkenaan telah melakukan kesilapan.
Menurut beliau, Abdul Hadi juga sepatutnya merujuk kepada Majlis Syura Ulama terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan membabitkan persoalan akidah umat Islam.
"Baguslah sebab mereka telah memperbetulkan keadaan dan tidak lagi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz yang akur dengan pendirian Mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas baru-baru ini iaitu tidak membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah.
Keputusan itu bercanggah dengan pendirian awal kedua-dua pemimpin berkenaan yang bersetuju dengan desakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya kalimah Allah dibenarkan digunakan dalam kitab Bible versi bahasa Melayu.
Selain Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang sebelum ini menyokong penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam turut mengubah pendirian.
Sementara itu, bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin menggesa kesemua pemimpin Pas yang terlanjur menyatakan pendirian berhubung isu penggunaan kalimah Allah tersebut menarik balik kenyataan masing-masing.
"Bagi saya, dapatkan pandangan Majlis Syura Ulama Pas terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan