Pages

13 Januari 2013

Pendapat Mufti Masjidilharam perlu diberi perhatian

WAWANCARA Sheikh Dr. Sulaiman al-Salumi, Mufti Masjidilharam dengan Mingguan Malaysia baru-baru ini patut diteliti dengan hati yang terbuka.
Prihatinnya dengan perpecahan umat Islam di Malaysia adalah sesuatu yang wajar. Ia cuba mengambil pendekatan ilmu dan syarak dalam mengupas isu perpecahan dan lain-lain. Beliau menyebutkan sejarah kejatuhan Andalusia adalah berakibat dari perpecahan di kalangan umat.
Katanya, - "Sebahagian orang Islam di Andalusia meminta bantuan orang Kristian menentang pemerintah mereka yang juga beragama Islam. Akibatnya, kerajaan Islam Andalusia hancur dan kini tinggal sejarah."
Datuk Seri Abdul Hadi Awang harus berjiwa besar terhadap isu ini kerana penulis tidak fikir ada rasa kedengkian Dr. Sulaiman terhadap sesiapa kerana wawancaranya amat objektif berasaskan nas yang jelas dan terang benderang.
Salah satu isu yang berbangkit dalam wawancaranya ialah isu pluralisme agama. Sambil memetik ayat-ayat dalam Surah AlKafirun beliau memperjelaskan, - ''Tiada seorang pun orang Islam di muka bumi ini yang mengucapkan dua kalimah syahadah dan faham tentang maknanya akan mengucapkan kata-kata yang menjurus kepada pluralisme agama atau menyokongnya".
Pluralisme agama ialah menyamakan status agama itu sama. Al-Quran memberikan asas, "Innaddeen nain dal'lah hil Islam - agama yang Allah redha ialah agama Islam", "Laqum deenukum walyadeen - Kamu agama kamu dan kami agama kami". Allah memberikan asas yang jelas mengenai agama yang diredainya dan batas yang jelas antara Islam dengan agama lain.
Secara jelas akibat fahaman pluralisme agama ini iaitu ada pihak yang cuba menyamakan kalimah "Allah" dengan konsep "Trinity". Beriman dengan kitab Injil tidak sama dengan maksud "Trinity" dalam Bible. Kitab Injil mendukung agama hanif yang mengesakan Allah sedangkan Bible memberikan asas ketuhanan satu dalam tiga, Tuhan, anak Tuhan (Nabi Isa) dan Ruhhul quddus.
Secara akidah, Jesus atau Nabi Isa, umat Islam menghubungkannya sebagai Nabi bukannya anak Tuhan. Keyakinan akidah umat Islam adalah jelas, Tuhan tidak beranak atau diperanakkan.
Menyamakan kalimah Allah yang memberi makna tentang Satu Tuhan sama seperti Satu Dalam Tiga (Trinity) itu amat menyalahi dan ia disebutkan oleh Dr. Haron Din sebagai syirik. Dosa syirik tidak akan diampunkan Allah.
Fahaman pluralisme agama juga membawa salah tafsir ayat dalam surah Al-Baqarah, "Laa iqra hafidden - tiada paksaan dalam agama". Jumhur atau keseluruhan ulama tafsir bersetuju bahawa maksud ayat itu ialah, tidak boleh memaksa orang bukan Islam memeluk agama Islam.
Nurul Izzah, anak Anwar Ibrahim mentafsirkan lain pula. Nurul Izzah bukan ulama. Dia bersekolah di Convent, Petaling Jaya, menyambung di Universiti Petronas di Tronoh dan UNITEN dan di Amerika Syarikat bukan dalam bidang pengajian Islam.
Ini juga gambaran fahaman pluralisme yang diwarisi dari ayahnya yang menyebut hal ini semasa berceramah beberapa tahun lalu di London School of Economics di United Kingdom. Malangnya, Pas yang dikatakan terhimpunnya sebahagian ulama dan ilmuan Islam tidak merasakan apa-apa dengan pendirian Anwar dan tafsiran Nurul Izzah terhadap maksud ayat "tiada paksaan dalam Islam".
Pas harus berbincang secara objektif. Kalau sesuatu di salah faham dan disalah anut katakan demikian. Jangan tuduh orang lain mengeksploitasi atau melakukan konspirasi. Ini hanya dalih politik. Perkara tafsir dan syarak tetap memandu kita kepada kebenaran.
Bahayanya fahaman pluralisme yang didukung oleh Barat ini bakal memberi kesan terhadap faktor tasawwur Islami atau world-view Islam terhadap umat Islam sendiri. Apabila semua agama sama, kesan langsungnya ialah terhadap generasi muda Islam yang lemah iman dan dangkal ilmu agamanya yang berpendirian semua agama itu sama dan menerima agama Kristian sebagai sesuatu yang dibolehkan.
Hairannya Pas masih mendukung budaya kafir mengkafir dan dalam masa sama bersetuju dengan faham pluralisme Anwar dan tidak melihat serius mengenai tafsiran Nurul Izzah mengenai ayat Allah. Satu sisi Pas agak rigid atau keras sesama Islam dengan isu kafir mengkafir dan di sisi lain amat liberal dengan orang kafir yang sebenarnya dan sangat toleran dengan pendirian Anwar dengan pluralisme agamanya.
Benarlah apa yang disebut oleh Dr. Sulaiman - "Islam adalah agama yang diwahyukan oleh Allah dan dijamin oleh Allah. Sementara idea pluralisme sebenarnya dibawa oleh orang Yahudi. Tujuannya adalah melemahkan penyatuan dan perpaduan orang Islam".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan