Pages

9 Januari 2013

Sandiwara jenaka DAP silap kira undi CEC

CUBA perhatikan watak-watak berikut. Siapa Pooi Weng Keong? Lebih mesra dengan gelaran 'Ah Pooi', dia merupakan ahli yang sangat setia kepada dinasti Lim.
Sudah bersama DAP lebih 10 tahun, 'Ah Pooi' berpendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dipercayai memiliki perniagaan sendiri.
Bagaimana seseorang seperti Weng Keong boleh diberi kepercayaan oleh parti untuk memikul tanggungjawab sebagai Pengarah Pilihan Raya DAP? Siapa di sebalik perlantikan Weng Keong?
Apabila dia meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta ekoran kesilapan pengiraan undi dalam pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) dalam Kongres DAP Kebangsaan pada 16 Disember, siapa yang harus bertanggungjawab? Adakah Weng Keong sekadar dijadikan 'kambing hitam' dalam insiden ini?
Kedua, Zairil Khir Johari. Bagaimana seorang yang hanya bersama parti kurang dari tiga tahun mampu berada dalam pimpinan tertinggi DAP? Mengapa dari kedudukan 39, akhirnya diberi tempat ke-20? Seperti seolah-olah dirancang.
Bagaimana dia mampu memperoleh undi sebanyak hampir 500 lagi? Kenapa kesilapan teknikal ini berlaku?
Perwakilan DAP tidak begitu mengenali Zairil yang berwajah 'kecinaan' ini tetapi bagaimana mereka boleh mengundinya sedangkan ramai lagi pemimpin DAP Melayu yang jauh lebih kanan dan popular.
Ketiga, Ahli Parlimen Kepong Tan Seng Giaw yang juga bekas Timbalan Pengerusi DAP sudah tujuh penggal sebagai ahli Parlimen. Isterinya Oon Hong Geo (bekas ADUN Taman Aman, Petaling Jaya) pernah meninggalkan DAP kerana kecewa dengan cara kepimpinan yang tidak 'telus'.
Berikutan 'percaturan' terbaru DAP, perbezaan undi antara Zairil dan Seng Giaw hanya satu undi sahaja (Seng Giaw memperoleh 802 undi).
Jadi, bagaimana Zairil (803 undi) boleh mengalahkan Seng Giaw?
Adakah ini juga komplot untuk memastikan Seng Giaw terus terkeluar politik? Atau juga terdapat ura-ura Lim Guan Eng hendak menggantikan beliau dengan calon lain.
Keempat, Vincent Woo yang awalnya di tangga keenam dengan 1,202 undi, kini di tangga ke-26 ekoran kiraan baru DAP mengatakan dia hanya memperoleh 669 undi.
Vincent merupakan pemandu peribadi Penasihat, Lim Kit Siang sejak beberapa tahun ini. Orang kuat Kit Siang ini sanggup berbuat apa sahaja demi 'Lim', juga 'berlakon' kalah dalam CEC untuk memastikan Zairil masuk CEC. Namun DAP 'besar hati' memastikan Vincent kekal dengan jawatan lamanya.
Oleh sebab Pilihan Raya Umum Ke-13 sudah semakin hampir dan tertekan dengan gelaran cauvinis, DAP sanggup buat apa sahaja. Ini termasuklah menguarkan-uarkan mengaku tersilap dalam keputusan pemilihan anggota CEC parti itu - helah untuk memastikan 'seorang Melayu' terpilih ke dalam jawatankuasa itu.
Inilah sandiwara paling terdesak DAP untuk 'mendapatkan' kembali undi orang Melayu. DAP sebenarnya sudah muak dengan calon Melayu. DAP dipercayai masih terpana dengan tindakan bekas Naib Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang berterusan mendedahkan kelemahan dan keburukan parti itu. Malah dikatakan pemimpin DAP lain turut meluahkan kemarahan dengan 'adegan' opera terbaru ini.
Ahli DAP dan masyarakat umum yang menyokong DAP turut marah dengan kesilapan 'teknikal' microsoft Excel dan lakonan Weng Keong meletak jawatan secara biasa sahaja. Mengapa pula tiba-tiba timbul 'rancangan' dalam tempoh hampir tiga minggu untuk cuba mendapatkan undi orang Melayu pada PRU depan.
Bukankah DAP berbangga dengan slogan Cekap, Akauntabiliti, Telus (CAT) khusus di Pulau Pinang. Tetapi kerana mahu 'menelan' sesuatu, Guan Eng dengan mudah melafazkan: "Saya menerima berita mengenai kesilapan kiraan undi ini kira-kira dua hari selepas kongres dan atas rasa tanggungjawab, kami tetap mengumumkan kembali keputusannya walaupun parti akan mendapat kesan negatif.
"Saya sendiri tidak faham bagaimana ia (pengiraan undi) boleh jadi begitu."
Ini sahajakah yang mampu diungkapkan oleh Guan Eng. Isu ini amat pelik kerana kesilapan hanya membabitkan dua pemimpin dan bukan kesemua calon yang terlibat dalam pemilihan berkenaan. Tindakan itu macam ada niat yang tersirat setelah rakyat mempertikaikan apa nasib wakil Melayu dalam DAP?
Kalau mahu dikira yang lebih layak 'diberi tempat' dalam kedudukan ke-20 itu ialah seorang lagi calon Melayu yang mendapat undi tertinggi iaitu Senator Ariffin S. M. Omar. Dia memperoleh 348 undi, hanya di tempat ke-37 daripada 63 calon bertanding. Kalau bukan pun Ariffin, setidak-tidaknya bekas ahli CEC bagi penggal 2008-2012, Ahmad Ton yang juga Naib Pengerusi DAP Johor.
Beliau mendapat 327 undi dan berada di tangga ke-38. Tetapi kalau disingkap luahan hati Ahmad Ton selepas pemilihan Kongres DAP itu tempoh hari, semua maklum akan kedudukan Melayu dalam parti itu.
Ahmad Ton mengambil contoh dirinya sendiri yang sudah berjuang hampir 36 tahun dalam DAP, namun masih belum mampu mendapat kepercayaan perwakilan untuk mengundinya.
Nada sama juga diluahkan oleh Dr. Ariffin. Konsep parti berbilang kaum yang dilaung-laungkan DAP, kata beliau, masih belum diterima sepenuhnya oleh perwakilan sehingga tiada calon Melayu yang berjaya menembusi tembok kebal jawatan penting yang didominasi kaum tertentu dalam parti itu.
Yang pasti, DAP perlu lebih banyak menggunakan slogan 'UBAH' untuk 'mengubah' parti tersebut sebelum cubaan mengubah kerajaan.
Malah Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S.Ambiga disaran tampil 'membersihkan' corak pemilihan jawatankuasa CEC DAP sebelum cuba mengubah sistem Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedia ada.
Cubaan untuk mengaburi mata rakyat khususnya orang Melayu selain mengalihkan 'kemarahan rakyat' Kelantan terhadap kontroversi pelaburan besar dalam projek pembalakan melibatkan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Khoo Ham bersama sepupunya yang juga Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming seolah-olah berjaya dengan 'drama' pengiraan undi terbaru ini.
Dengan CEC langsung tidak membangkitkan isu ini, kerajaan Pas di Kelantan juga terselamat daripada terus dihujani pelbagai pelbagai persoalan. Nga dan Ngeh juga terlepas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan